| BERNAMA | ||
| |
"Di Malaysia, kita belum mengamalkan konsep gaji minimum ini. Kita punya pendirian memang dari dahulu, gaji diasaskan oleh kuasa pasaran dan itulah dasar kerajaan pada masa sekarang," katanya.
"Susahlah kita nak amalkan pada bidang yang satu ini sahaja, iaitu pembantu rumah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Motivasi dan Latihan Kerjaya untuk belia kaum India anjuran Pertubuhan Perpaduan Hindu Thamizar Negeri Sembilan di Pasir Panjang hari ini.
Beliau berkata jika tuntutan Indonesia berhubung penetapan gaji minimum itu dilayan, amaun yang sama juga mungkin terpaksa dibayar kepada pekerja di sektor lain.
Bagaimanapun, Dr Subramaniam bersetuju sekiranya gaji tinggi ditawarkan kepada pembantu rumah Indonesia yang berkemahiran serta dilatih khusus untuk bekerja di negara ini.
Beliau berkata tuntutan Indonesia berhubung perkara itu boleh dilaksanakan sekiranya Malaysia telah menetapkan gaji minimum di semua sektor pekerjaan, dan kedua-dua negara masih berbincang mengenai perkara itu dalam jawatankuasa bersama yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Indonesia membekukan pembekalan pembantu rumah ke Malaysia pada Jun 2009, berikutan beberapa kes penderaan pembantu rumah selain ketiadaan faedah pekerjaan seperti gaji minimum bulanan dan cuti rehat mingguan.
Kuala Lumpur dan Jakarta menandatangani Surat Hasrat pada Jun lalu bagi memberi dimensi baru terhadap pengambilan pembantu rumah di Malaysia dan kedua-dua negara bersetuju terhadap terma-terma yang dikaji semula.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan