Oleh Frederick Luccas
BUKIT JALIL - Sebanyak 41 keluarga yang di Ladang Bukit Jalil memprotes arahan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang mahu merobohkan rumah mereka yang didiami sejak awal tahun 1950an lagi.
Penduduk yang membantah tindakan yang dianggap zalim itu telah menghalang jalan memasuki kawasan perumahan dengan sebuah jentolak sejak awal pagi semalam.
Kampung Ladang Bukit Jalil yang dibuka lebih 60 tahun dahulu pada asalnya merupakan sebuah ladang getah yang kemudiannya ditanam dengan kelapa sawit. Operasi ladang tersebut telah dihentikan sejak tahun 1980 namun pekerja ladang dan keluarga mereka masih lagi mendiami kawasan perumahan tersebut sehinggalah ke hari ini.
"Tindakan pihak DBKL menggunakan perintah 'pembersihan setinggan', yang menguatkuasakan Ordinan Kecemasan sebagai alasan untuk mengusir penduduk keluar dari kawasan perumahan ini adalah tidak wajar.
"Isu ini pernah dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Khalid Ibrahim serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Masyarakat Selangor dan Wilayah Persekutuan, Suara Rakyat Malaysia dan Jaringan Rakyat Tertindas," kata Setiausaha Agung Suaram, S Arutchelvan.
Beliau yang bertindak sebagai jurucakap penduduk Ladang Bukit Jalil menegaskan walaupun terdapat rancangan untuk membangunkan kawasan tersebut sebagai tanah perkuburan di masa hadapan, tetapi memandangkan tidak ada pengumuman rasmi daripada DBKL, tindakan ini hanya satu alasan yang digunakan untuk menghalau penduduk keluar.
Selain rumah penduduk, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Bukit Jalil, Kuil Sri Maha Mariamman Ladang Bukit Jalil dan Tanah Perkuburan India Ladang Bukit Jalil juga diancam dengan tindakan perobohan.
"Kita telah berhadapan dengan pelbagai kes sebegini di mana pada mulanya penduduk akan dipaksa keluar dan apabila penduduk keluar, pihak berkuasa tempatan akan mula merobohkan semua tinggalantermasuk kuil dan sekolah," tegas Arutchelvan lagi.
Timbalan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Amin Nordin yang ditemui di kawasan Ladang Bukit Jalil berkata beliau tidak tahu berkenaan status sekolah, kuil mahupun tanah perkuburan kerana itu bukan dibawah tanggungjawab DBKL.
Selepas desakan berterusan dan protes daripada penduduk, Amin akhirnya bersetuju untuk memberikan surat tawaran pindah rumah semalam juga kepada wakil penduduk, Thiagarajan Sathasivam.
Thiagarajan menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap layanan DBKL yang seolah-olah mengganggap penduduk Ladang Bukit Jalil terutamanya kaum India sebagai kaum minoriti yang terpaksa mengemis meminta bantuan daripada agensi kerajaan.
"Kita telah menyaksikan nasib yang sama di kawasan setinggan yang lain tetapi kawasan perumahan di sini kawasan setinggan. Kenapa DBKL melayan kami seolah-olah kami penduduk setinggan? Ini tidak harus berlaku kerana ia menghina harga diri penduduk di sini," tegas beliau.
Setelah perbincangan di antara Amin, Arutchelvan, Thiagarajan dan Eksekutif Khas kepada Menteri Besar Selangor, Azman Abidin, satu kompromi dicapai di mana surat tawaran DBKL akan dikaji oleh penduduk sebelum menyatakan persetujuan mereka.
Amin pula memberi jaminan tidak akan merobohkan rumah penduduk semalam tetapi notis pindah kekal dikuatkuasakan.
Ini masih bermakna DBKL mempunyai kuasa untuk merobohkan rumah penduduk tanpa memberi notis kepada penghuni.
Sehubungan itu Arutchelvan mengingatkan penduduk agar sentiasa bersedia kerana DBKL masih berkuasa sepenuhnya untuk merobohkan rumah mereka dan meminta penduduk agar bersatu memperjuangkan hak tanah yang diduduki.
Beliau berkata pada dasarnya, semua penduduk ladang patut diberi rumah percuma dan bukannya perlu membeli seperti dalam kes penduduk setinggan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan