JAKARTA — Malaysia menghantar nota bantahan kepada Kementerian Luar Negeri dan Polis Indonesia berikutan kerosakan yang dilakukan oleh penunjuk perasaan terhadap harta benda Kedutaan Besar Malaysia di Kuningan, Jakarta Selatan, Isnin.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Munshe Afzaruddin Syed Hassan berkata beliau dukacita dengan kejadian itu terutamanya pihak polis Indonesia yang gagal melindungi harta benda kedutaan itu daripada dirosakkan oleh penunjuk perasaan yang mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan itu hari ini.
“Jika mereka ingin mengadakan demonstrasi di luar kedutaan itu, silakanlah kerana mereka mempunyai hak untuk berbuat demikian, namun mereka tidak harus merosakkan harta benda kedutaan.
“Pihak polis Indonesia didapati tidak mengambil tindakan menghalang penunjuk perasaan daripada melakukan kerosakan-kerosakan itu,” katanya di sini petang ini.
Syed Munshe Afzaruddin berkata dalam kes hari ini, polis Indonesia didapati gagal melindungi harta benda pejabat perwakilan asing sebagaimana yang diperuntukkan oleh Konvensyen Vienna.
Duta Besar Malaysia itu turut menyampaikan rasa kecewa beliau secara lisan kepada seorang wakil polis Indonesia, yang masih berada di luar Kedutaan Besar Malaysia selepas para penunjuk perasaan itu bersurai.
Para penunjuk perasaan juga enggan menanggalkan bendera kumpulan itu serta bendera merah putih, yang dipasang di atas pintu pagar kedutaan besar itu.
Dalam demonstrasi yang berlangsung selama kira-kira sejam, sekumpulan 80 penunjuk perasaan dari kumpulan Laskar Merah Putih telah bertindak agresif mencungkil beberapa huruf tembaga pada plak batu marmar yang mencatat nama Kedutaan Besar Malaysia dan Perwakilan Tetap Malaysia ke Asean Jakarta.
Mereka turut mengotorkan tulisan itu dengan lumpur longkang selain memanjat sambil menggoyang-goyangkan pintu pagar kedutaan itu dan berdiri di atas tembok pintu pagar serta bumbung pondok pengawal keselamatan di pintu masuk utama ke kedutaan besar itu.
Demontrasi itu diadakan bagi membantah tindakan Polis Marin Malaysia menahan tiga pegawai penguatkuasa Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia di perbatasan perairan Malaysia dan Indonesia berhampiran Kepulauan Riau, Indonesia Jumaat lepas.
Para pegawai penguatkuasa itu ditangkap ketika dalam proses menahan tujuh nelayan Malaysia yang didakwa menceroboh perairan Indonesia.
Ketujuh-tujuh nelayan Malaysia itu masih ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia.
Pagi ini, Syed Munshe Afzaruddin telah mengadakan pertemuan berasingan dengan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Fadel Muhammad dan Ketua Suruhanjaya I Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia mengenai Hubungan Luar Negeri Kemal Aziz Stamboel bagi membincangkan perkembangan kes itu.
Pada pertemuan itu Malaysia dan Indonesia, katanya, sepakat untuk menyelesaikan masalah itu dengan cara terbaik agar hubungan baik dan akrab antara kedua-dua negara dapat terus dipelihara.
Fadel telah meminta agar ketiga-tiga pegawai penguatkuasa kementerian beliau dapat segera dilepaskan bagi mengelakkan isu itu daripada berlarutan sehingga ke dewan perwakilan rakyat Indonesia.
“Sebagai Duta Besar, saya telah melaporkan hasil kedua-dua perbincangan itu ke Kuala Lumpur.
“Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Anifah Aman dan rakan sejawatannya dari Indonesia Dr Marty Natalegawa telah juga berhubung antara satu sama lain hari ini untuk membincangkan cara penyelesaian terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, Indonesia bersetuju untuk membebaskan tujuh nelayan Malaysia yang ditangkap oleh petugas Kementerian Kelautan dan Perikatan Indonesia Jumaat lepas kerana dikatakan menceroboh perairan negara itu.
Kementerian Luar dalam kenyataannya hari ini memaklumkan persetujuan itu dicapai hasil perbincangan Menteri Luar kedua-dua negara yang turut menyaksikan persetujuan Malaysia untuk melepaskan tiga petugas Kementerian Kelautan dan Perikanan Indonesia yang ditahan Pasukan Gerakan Marin Malaysia dalam insiden yang sama.
Anifah dan Marty dalam perbincangan mereka bersetuju agar perkara tersebut diselesaikan secara baik dan segera.
“Kesemua mereka akan dibebaskan setelah keterangan selesai diambil,” demikian menurut kenyataan itu lagi.
16 ulasan:
orang indonesia ni, kalau nak tunjukan perasaan pun,tak perlulah smpai nak merosakkan barangan di Kedutaan Malaysia. mereka seharusnya berfikir secara rasional.
demonstrasi seperti ini tidak patut dilakukan kerana ianya hanya menimbulkan kerosakan. dalam apa pekara sekalipun penyelesaian perlu dicari dengan cara yang baik.
Any problems should be solved in a civilize way.
Even if they want to do a demonstration, there is no need to vandalize the property.
hal ini boleh diselesaikan dgn cara baik, tak perlulah sampai nak merusuh dan merosakkan harta benda kedutaaan Malaysia.
Boleh dikatakan keterlaluan tindakan tersebut. Semua perkara mesti ada jalan penyelesaian, dan merosakkan harta benda dan bertindak tidak terkawal di bulan ramadan adalah sangat2 menyedihkan. Saya percaya tindakan mereka ini, telah dipengaruhi oleh perasaan dan emosi yang tidak terkawal..
kata sepakat memang baik untuk menyelesaikan satu perkara dengan aman. apapun, diharapkan mereka yang ditahan akan dilepaskan dan dihantar semula. tidak perlu mahu membuat tunjuk perasaan.
kenapa orang indonesia ini begitu sensitif sangat dan agresif. Orang malaysia tidak pula melakukan perkara seperti mereka lakukan. dalam mana-mana masalah pasti ada penyelesaian, dan tidak perlu memberontak seperti itu. Harap mereka lebih berfikiran terbuka dan bukan seperti ini lagi.
Kerajaan Malaysia boleh meminta bayar ganti rugi dari kerajaan Indonesia kerana ini sudah berada di bawah tanggungjawab mereka..dan tindakan perlu diambil demi menjaga maruah kedua2 negara.
ini sungguh memalukan perangai rakyat Indonesia yang bertindak tunjuk persaan tetang kes penahanan 3orang orang indonesia. Sepatutnya keadaan sebegini terkawal dan pihak berkuasa harus mengabil tindakan dan bukan hanya menengok keadaan itu berlaku.
It been a wonder whether Indonesians can act or think rational. Rupanya sangkaan ku meleset sama sekali..fffuuuuu~
tidak kira apa pekara pun, penyelesaian perlu dilakukan dengan cara baik. merosakkan harta benda bukan cara yang baik dan tidak patut dilakukan.
saya pelajar malaysia di medan indonesia. ya, kalau betul kedua2 pihak bersetuju untuk selesai dengan baik, alhamdulillah. tetapi di indonesia, mereka tidak menyebarkan berita menteri mereka sendiri bersetuju selesaikan dengan baik malah semakin membatu api kan negara kita di mata rakyat indonesia. masalah tak akan selesai, saya duduk di indonesia dah 5 tahun, dah masak sgt, mereka tidak akan sebarkan yang baik, tetapi mereka sebarkan yang FITNAH.
harap demonstrasi seperti ini tidak berlaku lagi kerana ianya tidak membawa sebarang manfaat.
Catat Ulasan