HALAMAN SANTAI

Sabtu, 7 Ogos 2010

Ramadan: Gagasan Anak Muda desak Selangor tutup pusat hiburan


Sebahagian daripada penyokong Gagasan Anak Muda yang menyertai demonstrasi di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam petang tadi.
SHAH ALAM — Sekumpulan pemuda yang menggelarkan diri mereka sebagai Gagasan Anak Muda hari ini berhimpun di hadapan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini menggesa kerajaan negeri Selangor menutup semua aktiviti hiburan sepanjang bulan Ramadan.

Dengan membawa kain rentang dan papan sepanduk, 20 anak muda ini menuntut agar tiada lagi aktiviti maksiat sepanjang Ramadan yang merupakan bulan suci bagi umat Islam.

Mereka juga mendakwa pusat hiburan khususnya rumah urut merupakan punca bertambah pelacur dari luar negara yang menggunakan visa pelajar untuk melakukan kegiatan tidak bermoral di negara ini.

Pengerusi kumpulan ini, Mohd Razzdee Ab Rahman memberitahu, sebagai anak jati Selangor mereka mahu kerajaan negeri menjadi pemacu dalam perubahan ini.

“Pasal kita lihat ada pemimpin yang beberapa kali tegur pasal pusat maksiat dan rumah urut namun tiada tindakan diambil,” katanya ditanya motif mereka melakukan tindakan ini.

Razzdee menjelaskan beliau akan menghantar memorandum dalam masa terdekat kepada kerajaan negeri sebagai tanda bantahan.

Timbalan Presiden Gagasan Anak Muda, Mohd Khairol Ramli bagaimanapun menafikan mereka diupah atau berpihak kepada mana-mana parti politik.

“Matlamat gagasan ini adalah dalam pembinaan modal insan dan mengubah pemikiran orang melayu,” jelas beliau.

Bagaimanapun, tindakan dan permintaan kumpulan ini senada dengan parti politik Umno yang banyak mewar-warkan isu pusat hiburan dan rumah urut di Selangor sejak akhir-akhir ini.

Baru-baru ini Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Noh Omar sebelum ini mencabar kerajaan negeri Selangor menutup semua pusat hiburan dan rumah urut di negeri Selangor.

Beliau telah mempertanggungjawabkan Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Hassan Ali yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor supaya mendesak kerajaan negeri Selangor sekiranya PAS benar-benar memperjuangkan Islam.

Timbalan Presiden Majlis Belia Selangor, Badrul Hisham Badrudin mengeluarkan kenyataan mendesak kerajaan negeri Selangor menutup lebih 4,500 pusat judi dan rumah urut di seluruh negeri ini.

“Jika ini dapat dilakukan kami yakin negeri Selangor akan menjadi contoh kepada negeri-negeri yang lain,” katanya.

Tiada ulasan: