KUALA LUMPURs — Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) akan mengadakan kempen gotong-royong bagi mengatasi kerosakan surau di Taman Pulai Impian di Seremban yang terjejas ekoran tindakan disimbah cat merah awal pagi semalam.
Pengerusi SAMM, Badrul Hisyam Shaharin melihat perkara ini ialah gerakan terancang untuk menaikkan sentimen perkauman dan agama di tengah masyarakat.
Beliau akan bertemu jawatankuasa surau hari ini bagu menyampaikan kesediaan SAMM memperbaiki premis itu.
“SAMM dengan segera, esok (hari ini) akan menemui jawatankuasa surau menyatakan kesediaan SAMM untuk membaiki semua kerosakan.
“SAMM telah merancang untuk bawa aktivis dari perbagai latar kaum dan agama untuk gotong-royong baiki kerosakan.
“Ini secara tidak langsung hancurkan hasrat pelaku untuk lihat pergaduhan,” kata beliau.
Katanya, sudah tentu ada kaitan dengan pihak yang mendapat keuntungan apabila suhu perkauman dan sentimen agama meningkat.
“Tahun 1969 dan 1987, contohnya dua peristiwa terancang membakar sentimen memencah belah rakyat apabila gabungan parti perkauman lemah, dan apabila terjadi pergeseran kaum atau agama, sudah tentu yang untung ialah parti-parti perkauman dan lebih malang lagi usaha terancang ini juga berdasarkan pengalaman akhirnya memangsakan pemimpin progresif rakyat,” katanya dalam blognya hari ini.
Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR ini juga menuntut supaya polis bertindak tanpa prejudis terhadap jenayah “terancang ini”.
“Di Seremban gereja pernah dirosakan dan kini surau pula... polis harus segera bertindak jangan hipokrit bila bab khutbah sanggup tubuh jawatankuasa khas tetapi apabila berdepan dengan persoalan yang serius hanya diam membisu,” katanya.
Badrul Hisham yakin rakyat akan terus tenang dan matang berdepan dengan provokasi ini.
Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata kejadian itu disedari oleh jemaah surau semasa solat subuh pagi semalam dan memaklumkan kepadanya.
“Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya telah membuat laporan polis secara rasmi,” katanya kepada Bernama.
Hasbi berkata selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan