PETALING JAYA: Dalam program Selamatkan Selangor, rakyat negeri itu lebih suka mendengar ceramah bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ezam Mohd Noor dan bekas Naib AMK Zahid Mat Arip berbanding pemimpin Umno.
Pemimpin Umno Selangor yang turut berceramah dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Umno negeri, Datuk Noh Omar dan bekas Menteri Besar Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.
Program Selamatkan Selangor anjuran Umno negeri bermula 23 Julai hingga 8 Ogos lalu. Program itu bertujuan untuk menjelaskan pembohongan Pakatan Rakyat terhadap rakyat di Selangor.
Perkara ini dinyatakan oleh Ketua Penerangan Umno Selangor, Syukor Idrus ketika dihubungi hari ini.
Oleh kerana itu, katanya, Umno Selangor akan mendapatkan lebih ramai bekas pemimpin PKR dalam siri kedua yang dijangka diadakan selepas raya puasa ini.
"Kita akan berusaha mendapatkan Datuk Zahrain Mohammed Hashim (ahli Parlimen Bayan Baru), Zulkifli Nordin (Kulim-Bandar Baru) dan lain-lain bekas pemimpin PKR.
‘Perkara dalaman’ PKR
"Rakyat nampaknya mahu mendengar dari mulut bekas pemimpin PKR sendiri tentang `perkara dalaman’ PKR," katanya ketika ditanya mengenai program Selamatkan Selangor itu.
Menurut Syukor, berdasarkan pemerhatian awal, rakyat Selangor yang sebelum ini menyokong pembangkang mula mengalihkan sokongan kepada Barisan Nasional.
"Mereka sudah mendapat penjelesan sebenar mengenai kerajaan Pakatan Rakyat yang memerintah Selangor.
"Lebih menarik rakyat Selangor sendiri yang memohon untuk mengadakan program ceramah tersebut di tempat mereka.
"Maknanya bukan Umno yang menganjurkan program tersebut dan bukannya oleh Umno cawangan," tambahnya.
Syukor berkata, ceramah yang dibuat oleh pemimpin Umno turut dihadiri oleh kaum Cina dan India.
Katanya, secara keseluruhannya program Selamatkan Selangor mencapai matlamatnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan