Dewan Pemuda Pas Kawasan Titiwangsa (DPPKT) membidas tindakan UMNO Bahagian Titiwangsa yang didakwanya menggunakan masjid bagi menjalankan aktiviti secara terbuka.
Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata, pada 31 Julai lalu, UMNO Bahagian Titiwangsa tanpa segan silu mempolitikkan masjid dengan mengadakan program gotong-royong membersihkan kubur di kawasan Perkuburan Islam Jalan Ampang dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Baru.
Menurutnya, semalam, UMNO Bahagian Titiwangsa dan UMNO Bahagian Cheras mengadakan program dialog bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Baharom, di Masjid Alam Shah, Jalan Tun Razak di ibu negara pula.
“UMNO dengan secara jelas melanggar prinsip mereka sendiri yang menganggap masjid adalah institusi yang suci dari anasir politik kepartian.
“Kalau selama ini UMNO menganggap sekiranya politik masuk ke dalam masjid, akan berlakulah perpecahan dan berpuak-puak di kalangan kariah masjid, tetapi nampaknya dalam kes terbaru ini mereka sendiri yang melanggar ‘fikrah’ mereka,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Beliau berkata, mengadakan aktiviti secara jelas menggunakan logo dan nama UMNO adalah tindakan yang menyalahgunakan institusi masjid tidak kira apa juga program yang dijalankan, walaupun berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan.
Katanya, bukan semua ahli kariah masjid adalah penyokong UMNO, justeru mengapa perlu program umum di masjid diadakan kerjasama dengan UMNO Bahagian.
“Atau mungkin UMNO Titiwangsa terlupa bahawa mereka telah kalah dalam Pilihan raya Umum (PRU) ke 12 yang lepas dan Ahli Parlimen Titiwangsa sekarang adalah dari Pas, bukan UMNO,” katanya.
Mohamad Suhaimi berkata, persoalannya, mengapakah UMNO sahaja boleh mengadakan aktiviti di masjid dan tidak kepada Pas atau Pakatan Rakyat (PR).
Menurut beliau, bagaimana sekiranya Pas mahu menggunakan masjid bagi menjalankan aktivitinya atas nama Pas, adakah masjid-masjid di Titiwangsa akan membenarkan.
“Sekiranya boleh, terlalu banyak aktiviti kebajikan dan kemasyarakatan yang boleh dicadangkan Pas Titiwangsa dengan kerjasama masjid.
“DPPKT juga ingin ingatkan bahawa bukan sedikit ahli-ahli kariah masjid terdiri dari kalangan penyokong dan ahli Pas.
“Lebih dari itu, ada kalangan ahli jawatankuasa termasuk Imam dan Bilal adalah ahli Pas,” katanya.
Menurutnya, justeru, DPPKT sekali lagi menyelar sikap biadap UMNO yang menyalahgunakan institusi masjid demi kepentingan mereka.
Katanya, DPPKT boleh bersetuju UMNO Titiwangsa mengadakan program dengan kerjasama masjid sekiranya masjid yang sama di Titiwangsa juga sanggup memberikan kebenaran kepada Pas untuk mengadakan aktiviti.
Sementara itu, Pemangku Timbalan Ketua UMNO Bahagian Titiwangsa, Affendi Zahari menafikan dakwaan DPPKT.
Katanya, program Gotong-royong membersihkan kubur di Kawasan Perkuburan Islam Jalan Ampang dengan kerjasama Masjid Jamek Kampung Baru adalah anjuran Persatuan Penduduk Pangsapuri Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru.
“Tiada logo UMNO diletakkan pada kain rentang bagi program ini dan ia adalah aktiviti kemasyarakatan yang langsung tidak berunsurkan politik.
“Tiada ceramah politik dan kita juga tidak menggunakan duit masjid untuk menjayakan program ini,” katanya. -SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan