HALAMAN SANTAI

Isnin, 16 Ogos 2010

UNISEL tawar 200 tempat untuk pelajar Indonesia

BERNAMA

KUALA LUMPUR: Universiti Industri Selangor (UNISEL) mensasarkan pengambilan 200 pelajar baru dari Indonesia tahun ini ke arah memperkukuh program pengantarabangsaannya, sekali gus menyahut seruan kerajaan untuk meningkatkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Dua pegawai kanan UNISEL ditugaskan meneroka peluang kerjasama itu di empat bandar Indonesia iaitu Jakarta, Bandung, Palembang dan Semarang selama dua minggu pada Julai.

Pengarah Pemasaran, Komunikasi Korporat dan Antarabangsa UNISEL, Halid Hasbullah Boestamam, berkata misi itu dilaksanakan serentak dengan penyertaan UNISEL dalam promosi peluang pendidikan tinggi di Malaysia yang dianjurkan oleh Kedutaan Malaysia di Indonesia.

"Selain menawarkan 200 tempat di UNISEL untuk lepasan sekolah menengah dan sekolah menengah agama terutama sekolah swasta di bandar-bandar itu, kami juga mengadakan perbincangan kerjasama termasuk pertukaran guru dan penyelidikan ilmiah," katanya di sini.

Halid berkata Unisel mendapat sambutan menggalakkan daripada ibu bapa dan pelajar pada pameran yang berlangsung di Bandung dan Palembang khususnya, dengan lebih 800 pertanyaan serius diterima mengenai peluang dan bidang pengajian.

Pada perbincangan dengan pihak pengurusan sekolah-sekolah menengah pula, katanya, maklum balas yang diperoleh amat membanggakan, malah ada yang menawarkan kerjasama yang lebih besar.

"Contohnya, walaupun perbincangan kami diadakan hanya dengan Sekolah Menengah Agama Al-Azhar 1 tetapi pihak pengurusan sekolah menawarkan kerjasama luas merangkumi semua enam buah sekolah dalam rangkaiannya dengan jumlah murid lebih 6,000 orang," katanya.

Dengan Sekolah Menengah Kharisma Bangsa di Jakarta pula, Unisel ditawarkan kerjasama dengan semua tujuh sekolah lagi dalam rangkaiannya, yang sekali gus membuka potensi pasaran membabitkan ribuan pelajar.

"Maklumat balas yang kami peroleh menunjukkan ibu bapa pelajar di situ terdiri daripada golongan berada dan sememangnya berminat menghantar anak-anak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Malaysia adalah satu destinasi pilihan," kata Halid.

Beliau berkata, sekolah itu juga berminat menghantar tenaga pengajar mereka mengikuti kursus jangka pendek tertentu di UNISEL dan sedia juga menerima mahasiswa bidang pendidikan UNISEL bagi menjalani latihan amali di sekolah mereka.

UNISEL kini mempunyai 12,000 pelajar dalam dan luar negeri orang dalam 28 bidang pengajian diploma, 28 peringkat ijazah dan 23 program lepasan ijazah serta program asas, sejak penubuhannya pada 1999.

Universiti yang khusus bertujuan melahirkan graduan menepati kehendak sebenar pelbagai sektor industri itu, kini beroperasi di kampus bandar di Shah Alam dan kampus induk di Batang Berjuntai.

Mengulas lanjut penerimaan baik UNISEL oleh sekolah-sekolah menengah terkemuka di Indonesia, Halid berkata, banyak daripada sekolah itu sudah mengundang UNISEL memberi ceramah dan mengadakan pameran peluang pendidikan di kampus masing-masing."

"Mereka mahu UNISEL mengambil bahagian secara aktif dalam program-program yang sudah mereka jadualkan sepanjang tahun ini dan 2011 kerana dengan cara itu Unisel akan dapat didedahkan kepada seramai mungkin ibu bapa pelajar," katanya.

Halid berkata, UNISEL sedang menyediakan deraf bagi menandatangani memorandum persefahaman dan bentuk kerjasama dengan sekolah-sekolah yang dikenal pasti itu dan turut membuat persediaan tambahan untuk menerima kemasukan pelajar baru dari Indonesia.

Penasihat Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Datuk Dr Junaidi Abu Bakar, pula bangga dengan inisiatif UNISEL kerana usaha itu turut menyumbang kepada matlamat Kementerian Pengajian Tinggi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan serantau.

"Bukan saja UNISEL mendapat lebih ramai pelajar asing tetapi kesan positif turut dirasai oleh Malaysia, yang kini menampung 10,000 pelajar dari Indonesia dan kita sasarkan jumlah ini bertambah 2,000 orang lagi setiap tahun," katanya.

Junaidi berkata, pasaran bagi calon pelajar dari Indonesia bagi universiti di Malaysia sangat besar kerana jumlah lepasan sekolah mencapai hampir sejuta orang setiap tahun, dan terpulang kepada kebijakkan dan strategi universiti di Malaysia bagaimana hendak menarik mereka.

Beliau berkata, bagi banyak ibu bapa di Indonesia, melanjutkan pelajaran di universiti di Malaysia adalah satu pilihan utama kerana faktor jarak yang dekat, kos lebih murah berbanding di Eropah atau Amerika Syarikat, tiada kejutan budaya dan mutu pendidikan di Malaysia yang tinggi.

"Hakikat ini memang sudah diakui banyak ibu bapa, apatah lagi golongan berada yang mahu anak-anak mereka memiliki ijazah dari luar negara. Cuma, bergantung kepada universiti kita bagaimana mendekati ibu bapa itu dan meyakinkan mereka tentang kualiti yang ditawarkan," kata Junaidi.

Tiada ulasan: