| BERNAMA | ||
| |
Gazali Rashid, 50, didakwa menggunakan wang daripada hasil aktiviti haram di dalam membuat bayaran di antara RM318 dan RM13juta kepada beberapa syarikat, diri sendiri serta individu lain di antara Mac 2006 hingga Januari 2007.
Dia didakwa melakukan semua kesalahan tersebut di Malayan Banking Berhad, No. 3, Jalan Pasar 2, Semenyih, Kajang.
Gazali, bekas pengarah Malaysian Sea Best Sdn Bhd, didakwa mengikut Subseksyen 4(1)(a), Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Jika didapati bersalah, tertuduh boleh didenda sehingga RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun.
Pada 5 Julai lalu, Gazali turut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur di atas pertuduhan menipu HSBC USA bank bersama bekas pengurus kanan Majuikan Sdn Bhd, Mohd Khairuddin Abu Bakar, 53, dengan menggunakan dokumen palsu membabitkan wang berjumlah €10 juta (kira-kira RM40 juta).
Dalam pertuduhan itu, kedua-dua mereka didakwa secara curang telah mendorong HSBC di dalam membuat bayaran euro10 juta kepada Malaysian Sea Best.
Untuk pertuduhan hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiq Razali meminta agar jaminan ditetapkan pada RM300,000 dan semua kes dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur untuk dibicarakan bersama.
Peguam Md Yunos Shariff yang mewakili Gazali meminta mahkamah menggunakan sekuriti yang sama iaitu dua bidang tanah yang digunakan sebagai jaminan ketika pertuduhan pertama.
Beliau berkata, syarat tambahan iaitu pasport telah diserahkan kepada mahkamah, tidak dibenarkan meninggalkan Lembah Klang tanpa kebenaran mahkamah dan laporkan diri sebelum enam haribulan setiap bulan di Balai Polis Hulu Langat, sudah memadai.
Hakim Susana Hussin membenarkan kes tersebut dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan menetapkan kes disebut semula pada 23 September.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan