IPOH — Mengibarkan Jalur Gemilang di premis perniagaan dan kediaman sepatutnya lahir secara semulajadi daripada hati dan semangat patriotik dan bukan secara paksaan, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Beliau berkata semangat untuk menyemarakkan sambutan kemerdekaan negara bukan boleh dibuat-buat.
“Ia (kibar Jalur Gemilang) tidak boleh dijadikan sebagai syarat atau paksaan. Sama ada kita hendak kibar atau tidak, ia seharusnya datang secara semulajadi dan keinginan itu mestilah didorong oleh perasaan cintakan negara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Datuk Bandar Ipoh Datuk Roshidi Hashim bahawa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) bercadang menyenaraihitam pengusaha perniagaan yang gagal mengibarkan Jalur Gemilang di premis masing-masing sempena sambutan bulan kemerdekaan negara yang ke-53.
Zambry berkata beliau memahami niat baik Roshidi yang mahu menyemarakkan suasana sambutan kemerdekaan tetapi kemungkinan cara pelaksanaannya tidak sesuai.
Katanya kerajaan negeri sedang berbincang untuk melancarkan siri mengibarkan Jalur Gemilang bersama-sama PLUS dan Jabatan Kerja Raya bagi memeriahkan suasana sambutan kemerdekaan di peringkat daerah dan negeri serta mengedarkan Jalur Gemilang kepada orang ramai. — Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan