HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Disember 2010

1,000 unit rumah siap gagal cari pembeli

64245130_1-Pangsapuri-Pendamar-B-Jalan-PendamaranKS-5C-kota-pendamarOleh Dhia Daniel

KUCHING: Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) gagal mencari pembeli lebih 1,000 unit rumah yang sudah siap dibina sejak lebih lima tahun lalu di beberapa lokasi sekitar Sarawak.

Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar, Datuk Amar Haji Abang Johari Tun Abang Haji Openg berkata, kementeriannya akan berusaha menyelesaikan masalah itu dengan merangka pelan baru untuk melariskan rumah-rumah yang masih belum terjual itu.

Beliau berkata secara keseluruhan permintaan rakyat terhadap kemudahan untuk memiliki rumah menggunakan saluran HDC adalah sangat memberangsangkan.

"Masalah rumah tidak terjual melibatkan lebih 1,000 unit di beberapa lokasi negeri ini seperti di Pusa, Sri Aman dan Marudi yang berlanjutan sejak sekian lama akan cuba kita selesaikan.

"Kerja-kerja pembinaan ini telah selesai sejak lebih lima tahun lalu, tetapi masih tiada pembeli yang berminat," katanya sambil tidak menolak kemungkinan faktor harga atau lokasi yang menyebabkan perkara itu berlaku.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Hari terbuka HDC 2010 di Wisma Sultan Tengah, Petra Jaya di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Daya Bulders Sdn. Bhd merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai, Dr Abdul Rahman Junaidi, Ketua Pegawai Eksekutif HDC, Wan Mohd Yusop Wan Moss dan Setiausaha Tetap Kementerian Perumahan dan Pembangunan Bandar, Affandi Keli.

Penghijrahan penduduk luar bandar

Johari menambah, penghijrahan penduduk luar bandar ke kawasan bandar-bandar utama negeri ini dikenalpasti faktor yang menyumbang kepada peningkatan permintaan sektor rumah.

Berikutan itu, HDC bukan hanya menggiatkan usaha membina lebih banyak kawasan perumahan yang mampu dimiliki rakyat tetapi peka dengan keperluan dan kehendak pelanggan hari ini.

"Pembangunan perumahan hari ini mesti melihat keperluan dan kehendak yang diperlukan oleh pelanggan sepuluh tahun akan datang kerana perubahan sosial serta infrastruktur pasti berlaku terutama di kawasan bandar-bandar utama," jelasnya.

Beliau memberi contoh, kemudahan parkir yang kurang diberi perhatian serius dalam pembinaan projek rumah pangsa sebelum ini menyebabkan kawasan kediaman penduduk di rumah pangsa dilihat tidak teratur.

Selain mementingkan aspek reka bentuk rumah yang lebih menarik, Johari menyarankan agar HDC sentiasa mengaplikasi teknologi terkini dalam pembinaan rumah sejajar dengan peredaran zaman serta kualiti diutamakan.

Tiada ulasan: