Latar Belakang Kajian
Kemelut dalaman yang melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang membabitkan beberapa orang ahli parlimen dan dewan undangan negeri yang bertanding atas tiket parti tersebut dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 meninggalkan parti, dan kecelaruan yang berlaku dalam pemilihan pimpinan parti baru-baru ini telah menarik perhatian rakyat secara umumnya. Gambaran terhadap krisis dalaman yang dihadapi oleh PKR ini diperburukkan dengan gembar-gembur dan serangan secara besar-besaran oleh media arus perdana yang turut menjadikan Penasihat Umum parti tersebut, iaitu Anwar Ibrahim sebagai sasaran.
Bagi mendapatkan gambaran terhadap persepsi masyarakat berhubung dengan perkembangan ini, satu kajian lapangan telah dijalankan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya, Universiti Malaya (UMCEDEL). Kajian lapangan telah dilakukan pada 19-21 dan 27-28 November 2010 yang lalu ketika isu ini hebat dipaparkan oleh media arus perdana dan televisyen.
Kawasan yang menjadi tumpuan kajian ini ialah di sekitar Lembah Klang dan Selangor yang melibatkan kawasan Parlimen, antara lain termasuklah Cheras, Bandar Tun Razak, Titiwangsa, Ampang, Bukit Bintang, Subang Jaya, Wangsa Maju dan Lembah Pantai. Kawasan ini dipilih memandangkan penduduknya secara relatif agak terdedah kepada perkembangan politik yang lebih dinamik dan menunjukkan sikap menyokong politik pembangkang.
Selain itu, kawasan yang dipilih terletak di Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan kawasan yang merekodkan paling ramai ahli PKR yang terlibat dalam proses pengundian dan pemilihan pimpinan parti. Di samping itu, Selangor merupakan negeri yang ditadbir oleh PKR dan perkembangan semasa yang berlaku secara langsung atau tidak mempunyai kaitan dengan masa depan parti tersebut, khususnya di negeri tersebut.
Kajian lapangan mengambil masa selama lima hari dan melibatkan seramai 1,124 orang responden yang ditemu bual secara rawak melalui borang soal selidik berstruktur. Para penemuduga (enumerators) seramai lapan orang merupakan calon pasca sarjana Melayu dan Cina dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya yang mengemukakan soalan secara bersemuka. Lantaran itu, sampel responden yang dilibatkan dalam kajian ini terdiri daripada orang Melayu dan Bukan Melayu.
Dari aspek jantina pula responden yang dipilih adalah seimbang di antara lelaki dan perempuan merangkumi mereka yang berada dalam lingkungan umur 20-an hingga 50-an. Tahap keralatan bagi kajian lapangan ini adalah 2.92% atau 95% tahap keyakinan. Secara khusus kajian lapangan yang dilakukan ini adalah untuk melihat "Persepsi Masyarakat Terhadap Parti dan Kepimpinan PKR".
Analisis 1
Persoalan pertama yang diikaji adalah berkaitan dengan kerelevenan Anwar Ibrahim dalam politik negara berikutan krisis dalaman yang melanda PKR dan serangan peribadi terhadap beliau yang hebat oleh pelbagai pihak dengan menggunakan media arus perdana dan televisyen. Persoalan ini dikemukakan bertujuan bagi menguji tahap keyakinan masyarakat terhadap beliau dan PKR. Hasil kajian menunjukkan bahawa, walaupun dengan pelbagai usaha dilakukan bagi menjatuhkan imej beliau, namun 43% responden masih menaruh keyakinan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim, berbanding 41% responden berpendapat sebaliknya. Sebanyak 16% responden pula menyatakan tidak pasti terhadap soalan yang dikemukakan.
Respons yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa, walaupun dengan kempen dan usaha dilakukan bagi menghakis pengaruh beliau, namun peratus anggota masayakat yang masih menaruh keyakinan kepada Anwar Ibrahim (gambar kiri) masih tinggi. Apabila ditunjukkan hasil kajian yang memperlihatkan 41% responden berpendapat bahawa beliau sudah tidak releven dengan politik negara, Anwar Ibrahim menganggapnya sebagai sesuatu yang sudah diduga, dan malahan berpendapat bahawa usaha memburukkan beliau dan PKR masih tidak begitu berjaya kerana masih terdapat peratus yang tinggi yang menaruh meyakinan kepada kepimpinan beliau.
Sebaliknya, Anwar Ibrahim berpendapat bahawa kempen oleh media arus perdana terhadap PKR dan beliau telah memberikan publisiti kepada parti tersebut yang selama itu sukar medapat liputan. Beliau juga menaruh keyakinan bahawa dengan masalah rumah tangga PKR yang akan secara pro aktif akan diselesaikan setelah berakhirnya pemilihan parti dan gerak kerja seluruh negara yang akan dipergiatkan, beliau yakin prestasi parti akan dapat diperbaiki. Hasil kajian berhubung dengan kerelevanan Anwar Ibrahim kepada politik negara adalah seperti yang ditunjukkan dalam Carta di bawah.
Analisis 2
Kepada persoalan sama ada kemelut dalaman yang berlaku dalam PKR menghakis keyakinan terhadap parti dan kepimpinan Anwar Ibrahim, 52% responden memberikan jawapan "YA". Sebanyak bahawa 29% mengatakan "TIDAK", manakala 19% mengatakan "TIDAK PASTI". Krisis dalaman yang melanda PKR ternyata memberikan impak negatif kepada PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim.
Namun begitu, jumlah 29% yang berdiri teguh di belakang PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim menunjukkan bahawa terdapat peratus yang tinggi yang masih merupakan penyokong tegar parti dan kepimpinannya.
Kajian yang dilakukan ini juga jelas menunjukkan bahawa keyakinan masyarakat mengalami penghakisan dengan kemelut dalaman yang melanda PKR dan sekaligus turut menghakis keyakinan terhadap Anwar Ibrahim. Respons yang diberikan oleh responden juga menunjukkan bahawa mereka mengambil perhatian terhadap perkembangan dalaman PKR dan mempengaruhi keyakinan mereka terhadap parti tersebut dan kepimpianannya. Hasil kajian berhubung dengan sejauahmana kemelut dalaman menghakis keyakinan terhadap PKR dan Anwar Ibrahim ditunjukkan seperti dalam Carta di bawah.
Analisis 3
Bagi persoalan sejauhamana krisis dalaman yang berlaku dalam PKR menghilangkan keyakinan terhadap parti tersebut, menunjukkan 49% responden menyatakan kehilangan keyakinan pada parti tersebut berikutan kemelut yang berlaku. Walau bagaimanapun, 30% responden masih menaruh kepercayaan kepada parti tersebut, meskipun dengan pelbagai kemelut yang melanda. Peratus ini hampir konsisten dengan peratus dalam carta 2 di atas yang berkaitan dengan keyakinan terhadap parti dan kepimpinan PKR.
Walaupun tahap ketidakyakinan terhadap PKR secara relatifnya tinggi, tetapi peratus tidak pasti juga agak tinggi iaitu sebanyak 21%. Peratus yang ditunjukkan ini memperlihatkan bahawa saingan kepada PKR masih belum mampu meraih sokongan yang meyakinkan berikutan pendirian masyarakat yang prihatin terhadap kemelut yang melanda PKR. Peratus yang ditunjukkan oleh responden juga memperlihatkan bahawa kempen anti PKR yang dilakukan oleh saingan PKR dalam politik negara masih belum menunjukkan hasil yang meyakinkan.
Di pihak PKR pula peratus ini jelas memperlihatkan bahawa krisis dalaman yang berpanjangan yang melanda parti tersebut menyebabkan masyarakat terhakis keyakinannya terhadap parti tersebut. Hasil kajian berhubung dengan sejauh mana krisis dalaman yang berlaku dalam PKR menghilangkan keyakinan terhadap parti tersebut, ditunjukkan seperti dalam Carta di bawah.
Analisis 4
Persoalan yang paling kritikal yang cuba ditunjukkan oleh kajian ini melalui maklumbalas oleh para responden ialah yang berhubung dengan bagaimana krisis dalaman yang berlaku ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi jika pilihan raya diadakan. Responden menunjukkan bahawa sebanyak 43% hilang keyakinan kepada PKR dan ini akan mempengaruhi pendirian mereka apabila mengundi. Walau bagaimapun, sebanyak 35% responden masih menaruh kepercayaan kepada PKR dan akan terus menyokong parti tersebut, manakala 22% berpendirian "TIDAK PASTI".
Walaupun dari segi peratus sokongan mengikut angka memperlihatkan PKR jauh tercicir, namun medan masih terbuka luas kerana peratus yang menolak PKR masih belum mencapai jumlah yang meyakinkan (lebih 50 peratus) dan jumlah mereka yang dikategorikan sebagai "ATAS PAGAR" agak tinggi. Prestasi yang ditunjukkan oleh parti-parti yang bersaing menjelang PRU Ke-13 masih merupakan faktor penentu sebelum pengundi membuat keputusan muktamad apabila berada di peti undi menjelang hari membuang undi tiba. Hasil kajian berhubung bagaimana krisis dalaman yang berlaku ini akan diterjemahkan dalam bentuk undi jika pilihan raya diadakan ditunjukkan seperti dalam Carta di bawah.
Analisis 5
Kajian yang dilakukan ini juga cuba mendapatkan maklum balas tentang sumber maklumat kemelut yang dihadapi oleh PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim oleh masyarakat. Melalui sumber maklumat ini penilaian dapat dibuat bagaimana peranannya dalam mempengaruhi pendirian para responden ketika membuat penilaian dan mempengaruhi persepsi mereka terhadap parti dan kepimpinannya. Dapatan kajian menunjukkan sejumlah 24% responden mendapat maklumat daripada pelbagai sumber.
Namun begitu, peratus ini tidak jauh bezanya dan secara relatif agak tinggi jika dibandingkan dengan mereka yang mendapat sumber maklumat tentang PKR dan kepimpinannya dari media arus perdana dan televisyen (19.8% dari sumber media arus perdana dan 18.1% dari sumber televisyen). Selain itu, sebanyak 11.6% responden mendapatkan sumber maklumat tentang PKR dan kepimpinannya melalui sumber internet.
Hasil kajian mengenai sumber maklumat ini jelas menunjukkan mengapa terdapat persepsi yang yang pelbagai terhadap PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim. Dalam konteks persepsi masyarakat terhadap parti dan kepimpinan PKR ternyata peranan media arus perdana dan televisyen adalah penting. Di satu segi yang lain peranan internet dan sumber lain turut juga mempunyai pengaruh dalam mencorakkan persepsi masyarakat terhadap PKR dan kepimpinannya lantaran peranannya dalam menyiarkan secara meluaskan kemelut yang dihadapi.
Hasil kajian berhubung bagaimana sumber maklumat tentang kemelut yang dihadapi oleh PKR dan kepimpinan Anwar Ibrahim yang mempengaruhi pendirian para responden dalam membuat penilaian dan mempegaruhi persepsi mereka terhadap parti dan kepimpinannya ditunjukkan dalam rajah 1.
Maklumat lanjut tentang kajian tentang persepsi masyarakat terhadap parti dan kepimpinan PKR boleh didapati dengan melayari laman web UMCEDEL.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan