HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Disember 2010

50 pindaan akta jalan, wajib maklum JPJ alamat baru dalam 2 bulan

KUALA LUMPUR — Akta Pengangkutan Jalan 1987 melalui 50 pindaan komprehensif - yang memberikan kuasa meluas kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan polis bagi mengurangkan kemalangan, antara lain mewajibkan setiap pemilik kenderaan atau pemandu memaklumkan pertukaran alamat dalam masa dua bulan apabila berpindah tempat tinggal.

Kerajaan yakin bahawa peruntukan mengenai pertukaran alamat itu akan mengurangkan kes saman tertunggak yang nilainya mencecah RM2 bilion antara tahun 2000 hingga 2008.

Rang undang-undang dijadual untuk dibahaskan di Dewan Rakyat hari ini selepas tertangguh sejak April lalu ekoran bantahan banyak pihak. Ia dilihat pindaan paling komprehensif sejak 1987.

Di bawah pindaan itu, buat masa ini, peruntukan sedia ada hanya membabitkan perubahan maklumat yang terhad kepada pemilik kenderaan sahaja, kata Ketua Pengarah JPJ Datuk Solah Mat Hassan.

“Di bawah cadangan pindaan, adalah menjadi tanggungjawab pemilik kenderaan atau pemegang lesen memandu memaklumkan pertukaran alamat kepada JPJ dalam tempoh dua bulan apabila berlaku pertukaran alamat,” kata beliau ketika ditemui The Malaysian Insider.

Kira-kira 90 peratus pemegang lesen tidak mengemaskinikan perubahan alamat kepada JPJ.

Di bawah pindaan ini jika disabitkan kesalahan mereka boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau kompaun sekitar RM300.

Justeru kata beliau, jika pertukaran alamat tidak dimaklumkan, alamat dalam pangkalan data akan dianggap sebagai alamat yang sah pemilik kenderaan atau pemegang lesen memandu.

“Peruntukan ini dibawa untuk mengelakkan penafian penerimaan sebarang notis daripada JPJ atau polis,” kata beliau yang menambah bahawa pindaan-pindaan itu kini diterima ramai selepas taklimat dan penjelasan termasuk sebanyak lima kali kepada anggota Kelab Penyokong-penyokong Kerajaan Barisan Nasional.

“Semua pemilik kenderaan dan pemegang lesen memandu adalah bertanggungjawab memaklumkan sebarang pertukaran alamat,” katanya.

Maklumat mengenai alamat menjadi isu dalam kes-kes membabitkan ‘saman ekor’ di mana sebahagian besar pemilik kenderaan menafikan mereka menerima notis saman daripada JPJ ataupun polis, yang sekali gus membawa kepada saman tertunggak.

JPJ mengeluarkan kira-kira 10,000 saman dalam sehari di seluruh negara, kebanyakannya berpunca daripada sikap ambil mudah pengguna jalan raya dan suka melanggar peraturan jalan raya.

Selain itu menurut Solah, beberapa inisiatif baru turut diperkenalkan untuk memantapkan tindakan penguatkuasaan JPJ — yang antara lain bertujuan mengurangkan kadar kemalangan maut dan meningkatkan integriti sistem penguatkuasaan lalu lintas menerusi sistem penguatkuasaan secara automatik (AES).

Jumlah saman tertunggak membabitkan kesalahan yang direkodkan oleh JPJ, polis dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi tempoh 2000 hingga 2008 ialah sebanyak 16,985,635 yang mencecah nilai RM2.5 bilion.

Malah pindaan kali ini juga memberi kuasa kepada JPJ untuk menyekat semua urus niaga terhadap kenderaan dan pemandu yang terbabit dengan apa-apa kesalahan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkuatn Jalan atau mana-mana undang-undang bertulis lain.

“Kini sekatan hanya dikenakan ke atas urusan memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan.

“Jadi, peruntukan baru menambah sekatan ke atas semua urus niaga JPJ, meluaskan sekatan ke atas kesalahan di bawah akta atau mana-mana undang-undang bertulis lain yang dinyatakan.

“Langkah ini diambil untuk memaksa pesalah menyelesaikan saman, dan untuk mendaulatkan undang-undang,” katanya lagi.

Solah juga berkata, peruntukan baru juga mengekehendaki pemilik kenderaan yang menerima saman di bawah Seksyen 53A mengemukakan nama dan alamat pemandu sekiranya bukan dia yang memandu pada waktu kesalahan dilakukan.

“Sekiranya dia gagal berbuat demikian, dia akan dianggap melakukan kesalahan atas tanggungjawab pemilik berdaftar kenderaan berkenaan,” kata beliau sambil berkata, peruntukan baru ini diperkenalkan untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan menggalakkan proses tukar milik apabila menjual kenderaan.

Solah menambah, pindaan kali juga memberikan kuasa kepada polis dan JPJ untuk menguatkuasakan Akta Pengangkutan Jalan di atas mana-mana jalan termasuk yang dipunyai oleh pihak persendirian.

“Pada masa sekarang, penguatkuasaan hanya terhad kepada jalan yang ditakrif di bawah Seksyen 2 iaitu jalan yang dibiayai oleh peruntukan kerajaan dan boleh diakses oleh orang ramai,” katanya.

“Tetapi selepas ini mana-mana jalan persendirian datang di bawah penguatkuasaan Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.

Mengenai rasional peruntukan itu, kata beliau, ia akan membolehkan polis dan JPJ untuk mengambil tindakan apabila berlaku kemalangan di jalan persendirian.

Oleh itu katanya, peruntukan itu memberi kuasa kepada polis dan JPJ untuk menguatkuasakan Seksyen 41, 42, 43, 44, 45 dan 45A apabila kemalangan melibatkan kematian, memandu melulus, tidak cermat atau tidak bertimbang rasa dan memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dan kecederaan.

Menurut Solah, pindaan kali ini juga memberikan kuasa kepada JPJ, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengalihkan, mengapit atau menahan kenderaan yang menyebabkan galangan atau kesusahan kepada pengguna jalan raya yang lain.

Di bawah peruntukan sedia ada, katanya, hanya saman dikeluarkan ke atas kenderaan yang menghalang lalu lintas dengan penalti tidak melebihi RM2,000 atau dipenjara tidak melebihi enam bulan, malah kesalahan itu boleh dikompaun.

“Bagaimanapun peruntukan baru memberikan kuasa kuasa kepada polis, JPJ dan PBT untuk mengapit roda kenderaan dalam tempoh empat jam dan jika tidak dialih dalam tempoh empat jam, kenderaan boleh ditarik,” katanya.

“Untuk melancarkan lalu lintas seperti penguatkuasaan ke atas kenderaan berat yang ditinggalkan di tepi jalan dan menyebabkan galangan lalu lintas,” katanya.

Peruntukan itu juga memberi kuasa kepada JPJ untuk mengambil tindakan ke atas kenderaan-kenderaan yang diletakkan di tepi jalan atau di kawasan rehat dan rawat lebuh raya bertujuan bagi mengelakkan sekatan lalu lintas, kata Solah.

Tiada ulasan: