MALAYSIA KINIPergolakan sepanjang 2010 mencetuskan gelombang yang sekaligus turut membentuk dan merobah pasir politik negara.
Dan orangnya ialah - tidak lain dan tidak bukan - ahli parlimen Bebas Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali yang menerajui badan ultra-Melayu - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA). Dia mungkin digelar 'super-katak' yang sering galak melompat, tetapi dapat dipertikaikan bahawa Ibrahim adalah Penglipur Malaysiakini bagi 2010.
Dilahirkan pada 25 Januari 1951 di Kampung Pasir Pekan di Tumpat, Kelantan, Ibrahim merupakan anak kelima dan anak sulung daripada 13 adik beradik. Dia anak manja ayahnya - seorang ketua kampung.
Ibunya yang merupakan seorang yang kuat agama, memastikan Ibrahim mendapatkan pendidikan agama sejak dari kecil lagi. Ayahnya, meskipun tidak berpendidikan, adalah seorang yang berpengaruh.
Bagaimanapun, elaunnya tidak seberapa untuk menanggung keluarga yang besar. Maka sewaktu kecilnya, Ibrahim menjalani kehidupan yang sederhana.
Ketika Ibrahim berada dalam Tingkatan Enam pada 1969, bapanya - seorang penyokong setia PAS - ditahan di bawah Akta Ketenteraman Awam 1958 dan peristiwa itu sekaligus membentuk masa depannya.
Penglibatannya dalam poltik bermula ketika Ibrahim menuntut di Universiti Teknologi Mara, yang ketika itu dikenali sebagai Institut Teknologi Mara.
Ibrahim meneruskan perjuangan ayahnya dalam membela nasib orang Melayu. Secara harfiahnya, dia mengikuti jejak langkah ayahnya, apabila dia ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Dia berkongsi bilik tahanan di Kamunting pada 1974 dengan pemimpin pelajar ketika itu, Anwar Ibrahim. Ibrahim kemudiannya menyertai Umno dan menjadi pejuang setia parti itu sehinggalah penubuhan parti serpihan Semangat 46 (S46).
Ibrahim mungkin merupakan satu-satunya ahli parlimen yang memenangi kerusi yang sama di bawah tiga parti yang berbeza - Umno (1986), S46 (1990) dan PAS (2008) - sehinggalah mendapat gelaran super-katak.
Bagaimanapun, beberapa bulan selepas memenangi parlimen Pasir MAS atas tiket PAS, Ibrahim telah 'berselisih dan berpisah' dengan kepimpinan parti itu, dan menjadi wakil rakyat Bebas.
Tahun lalu, Ibrahim kembali menonjol di arena politik tanahair apabila beliau menubuhkan PERKASA yang memperjuangkan Ketuanan Melayu dan hak istimewa orang Melayu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan