KUCHING: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menggerakkan satu Pelan Induk Bahasa Sukuan secara bersepadu di Sarawak dan Sabah dalam usaha melestarikan bahasa sukuan di kedua-dua negeri itu.
Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi Haji Abdul Aziz berkata, pelan tersebut merangkumi proses penyusunan semula projek melibatkan bahasa sukuan dan menambah jumlah penerbitan buku dalam Bahasa Melayu daripada bahasa sukuan.
Menurutnya, proses memantapkan pendokumentasian bahasa sukuan, melahirkan penulis pelbagai kaum dan mengadakan program pemupukan bahasa dan sastera melibatkan masyarakat pelbagai kaum turut diberi penekanan.
"Penyelidikan bahasa sukuan Sarawak dan Sabah telah dimasukkan dalam perancangan Sasaran Kerja Utama (SKU) DBP bermula tahun 2011 hingga 2015 DBP.
"Ia melibatkan projek Glosari Istilah Budaya Tempatan Sarawak dan Sabah, pengumpulan data umum Bahasa Sukuan Sabah, Kamus Bahasa Sukuan Sabah, Daftar Kata Bahasa Sukuan Sarawak dan Sabah serta Kajian Inventori Bahasa Sukuan.
Melestari bahasa dan sastera etnik
"Kesemua usaha tersebut untuk melestarikan bahasa dan sastera etnik di Sarawak dan Sabah, katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kolokium Bahasa dan Sastera Pelbagai Kaum dengan tema ‘1Malaysia: Rupa dan Jiwa Bahasa dan Sastera di Sarawak yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak di sini, hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai Dr Abdul Rahman Junaidi yang mewakili Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu.
Hadir sama Ahli Lembaga DBP Profesor Emeritus Dato’ Dr Hajah Asmah Haji Omar dan Pengarah DBP Sarawak Jiso Rutan. Termuzi menjelaskan, DBP sentiasa prihatin dan bersedia untuk memberikan sokongan terhadap program yang boleh mengeratkan perpaduan antara kaum di negara ini.
Perpaduan kaum
"Perpaduan kaum boleh kita capai melalui penggunaan bahasa kebangsaan yang menjadi bahasa pengikat antara kita di negeri ini.
"Oleh itu, kita dari semasa ke semasa terus memperhebat usaha memartabatkan penggunaan bahasa kebangsaan," ujarnya.
Pada majlis itu, turut diadakan pelancaran tujuh buah buku terbitan DBP hasil penulisan anak kelahiran Sarawak seperti Permata Kalbu oleh Poul Nanggang, Ok Ok (Jong Chian Lai, Memanjat Langit (penulis pelbagai kaum), Namaku Epal (Roslan Jomel), Balang Lipang dan Busak Balan (Kumpulan Cerita Rakyat Sarawak), Tanah Emas (Yusuf Mustanir) serta Mawar Magenta (Beb Sabariah).
Seramai 160 penulis pelbagai kaum di negeri ini menyertai kolokium itu yang turut menyelitkan pembentangan tiga kertas kerja oleh Profesor Emeritus Dato’ Dr Hajah Asmah Haji Omar dengan tajuk ‘Bahasa dan Sastera Sukuan sebagai sumbangan peningkatan penyatuan masyarakat pelbagai kaum’, Dr Jeniri Amir (Pemugaran dan Pelestarian Budaya Etnik dalam Memaknakan Gagasan 1Malaysia) dan Dr Ramzah Dambul (Memartabatkan Bahasa dan Sastera Kebangsaan dalam Upaya Mempertingkat Ketahanan Budaya Se-Malaysia).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan