HALAMAN SANTAI

Ahad, 5 Disember 2010

Elak berpolemik, tunggu 12 Disember - PAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: PAS meminta semua pemimpinnya agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan sebarang polemik sehinggalah ia dibincangkan dalam mesyuarat mereka 12 Disember nanti.

“Saya meminta semua para pemimpin tertinggi parti tidak membuat sebarang kenyataan yang dimainkan oleh media sekarang ini sehingga menimbulkan terus polemik kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam mesyuarat kita 12 Disember ini,” kata Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar).

Dalam kenyataan dua perenggan kepada Harakahdaily itu, Mustafa bimbang kalau-kalau ia terus menyusahkan PAS dan Pakatan Rakyat kerana ia memang menjadi tujuan pihak-pihak dan media-media berkenaan untuk melagakan mereka.

Tambahan pula pilihan raya umum nampaknya semakin dekat dan konvensyen kedua Pakatan Rakyat akan diadakan 19 Disember ini di Pulau Pinang.

Ada di kalangan pemimpin Pakatan bimbang kalau-kalau konvensyen ini menjadi medan serang menyerang antara mereka bukan mempersiapkan Pakatan untuk menghadapi pilihan raya.

Sejak kebelakangan ini, media-media tertentu mula memainkan kembali isu sensitif yang melibatkan hubungan antara PAS dan lain-lain parti dalam Pakatan Rakyat.

Sesetengah pihak pula melihat, ia berlaku kerana sikap sesetengah pemimpin PAS yang terus melayan isu berkenaan apabila dipancing oleh media.

Antara isu panas sejak akhir-akhir ini adalah isu timbalan perdana menteri dan isu negara Islam dan hukum hudud.

Berdasarkan kenyataan Mustafa itu, PAS akan membincangkannya dalam mesyuarat mereka 12 Disember ini dan beliau berharap sehinggalah ia diputuskan, tidak ada mana-mana pemimpinnya memberikan pendapat di mana-mana media mengenainya.

“Tunggulah sehingga kita mesyuarat dan bincangkan isu ini terlebih dahulu,” katanya.

Tiada ulasan: