HALAMAN SANTAI

Rabu, 15 Disember 2010

Isu geran rumah bakal selesai

SINAR HARIAN ONLINE

KEPONG – Penantian selama 20 tahun penduduk Taman Daya, di sini yang mahu isu geran rumah mereka diselesaikan pihak berkenaan sudah semakin menghampiri penghujungnya.

Sebelum ini, selama tempoh itu, seramai 288 penduduk terutama dalam projek fasa kedua perumahan yang terlibat, terpaksa menghadapi kesulitan untuk mendapatkan hak geran mereka. Kawasan terlibat dibahagikan kepada tiga ‘master title’, di mana fasa pertama dipecahkan (sub-divisyen) pada 1991 dan diberi kepada pemilik pada 2001.

Selepas memberi tekanan kepada pihak Pejabat Tanah, satu mesyuarat berkaitan diadakan pada 29 Disember tahun lepas, di mana penduduk dimaklumkan jika mereka mahu mendapatkan geran individu hanya perlu membayar RM1,000.

Persatuan Penduduk Taman Daya yang ketika itu mahu mengumumkan berita baik berkenaan, kemudiannya diberitahu pegawai Pejabat Tanah baru pada 12 Februari, bahawa kadar bayaran terlibat adalah antara RM6,000 hingga RM7,000 per unit.

Setiausaha kepada Ahli Parlimen Selayang, Chan Foo Chuen berkata, penduduk kurang berpuas hati kemudiannya menggesa Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah, menyelesaikan isu timbul.

Menurutnya, Ahli Parlimen Selayang, William Leong Jee Keen dan Hian Wah kemudiannya menghantar surat berkaitan kepada pihak Pejabat Tanah mendapatkan penjelasan bayaran disifatkan agak tinggi berkaitan.

“Kita difahamkan, bayaran tambahan khas yang perlu dibayar penduduk itu berikutan tunggakan premium, yang disebabkan pemaju lepas gagal membuat bayaran berkaitan.

“Amaun terlibat kemudiannya kembali semula kepada pembeli rumah,” katanya.

Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Daya, Tan Chong Leng pula berkata, pihaknya selepas itu berjumpa dengan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad berkenaan isu itu.

Menurutnya, Iskandar juga dikatakan terkejut dengan jumlah pembayaran premium terbabit, dan ia antara sebab perkara itu diketengahkan dalam mesyuarat Kerajaan Negeri.

“Kita diberitahu perlu membuat semula penyelarasan bayaran tambahan itu, supaya ia kembali semula kepada jumlah asal iaitu RM1,000.

“Akhirnya penduduk menerima surat dari Pejabat Tanah pada 25 Oktober ini, mengesahkan hanya RM1,470 jumlah perlu dijelaskan untuk meneruskan proses sub-divisyen sebelum mendapat geran,” katanya.

Menurutnya, pemilik rumah diminta menghadiri satu perjumpaan Ahad ini (semalam) di pejabat persatuan penduduk yang turut dihadiri William, wakil Pejabat Tanah dan juru ukur.

“Dengan adanya pihak ‘liquidator’ dalam perjumpaan ini, kita harap mereka dapat memberikan penerangan sebenar, terutama kepada penghuni unit yang sering kali bertukar pemilik,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiada ulasan: