BELADIN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.24 Beting Maro, Datuk Haji Bolhassan Haji Di yang mungkin tidak akan dicalonkan semula pada pilihan raya akan datang telah mendorong beberapa individu menawarkan diri sebagai calon pengganti.
Pengguguran jawatan yang disandang beliau sebagai Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri sebelum ini terus menguatkan lagi andaian bahawa anak jati Kampung Pusa itu tidak akan duduk di kerusi berkenaan.
Berikutan itu, rakyat akar umbi di kawasan DUN N24 Beting Maro mahukan agar muka baru yang dicalonkan pada pilihan raya akan datang terdiri daripada anak jati kawasan tersebut.
Penduduk Kampung Beladin yang menyuarakan perkara itu mencadangkan supaya Ir. Mohd Eden Mohd Ali sebagai calon baru Barisan Nasional (BN) menggantikan Datuk Bolhassan yang telah memegang kerusi kawasan selama empat penggal.
Kain rentang berbunyi: ‘Kami pengundi akar umbi dari N24 Beting Maro Kampung Beladin mencadang Ir Mohd Eden Mohd Ali untuk dipilih sebagai calon Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi pilihan raya umum negeri akan datang’ jelas mengambarkan hasrat lebih 200 penduduk kampung yang mahukan perubahan.
Sokongan padu
Pengundi peringkat akar umbi juga didakwa bersedia memberikan sokongan padu kepada calon baru berkenaan serta turut menurunkan tandatangan sebagai bukti keikhlasan mereka.
Ir. Mohd Eden yang ditemui berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat atas tiket BN jika itu kehendak dan kemahuan rakyat kawasan DUN Beting Maro.
Bagaimanapun, semua itu terserah kepada Presiden PBB merangkap Pengerusi BN Sarawak, Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud untuk membuat keputusan sama ada mengekal atau meletakkan calon baru.
"Sekalipun tidak terpilih, saya tidak akan berasa kecewa tetapi akan terus berdiri teguh menyokong BN di bawah kepimpinan Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud," tegasnya sambil menambah, tindakannya itu semata-mata kerana ingin memenuhi hasrat rakyat.
Ir. Mohd Eden anak kelahiran Kampung Semarang (terletak dalam DUN N24 Beting Maro) merupakan seorang jurutera profesional berkelulusan dari Universiti New South Wales Australia.
Kubu kuat PAS
Kampung Beladin pula yang terkenal sebagai perkampungan nelayan terbesar di Sarawak merupakan kawasan kubu kuat penyokong Parti PAS yang mempunyai lebih 2,000 pengundi berdaftar.
Selain Mohd Eden, seorang lagi pegawai atasan sebuah agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia (MOA) juga disebut-sebut antara calon yang bakal menggantikan Bolhassan.
Untuk rekod, Bolhassan nyaris ‘dimalukan’ oleh calon PAS yang pernah bekerja sebagai pembalak yang juga berasal dari Kampung Beladin dalam Pilihan Raya 2006 dengan majoriti kurang 1,000 undi.
Sementara itu, Keputusan Pilihan Raya 20 Mei 2006 menyaksikan PBB memiliki 34 kerusi DUN diikuti oleh SUPP sebanyak 11 kerusi, PRS sebanyak sembilan kerusi dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) sebanyak lapan kerusi.
Hanya SUPP dan PRS hilang kerusi DUN kepada pembangkang dalam pilihan raya negeri terakhir sebelum ini, sementara PBB dan SPDP menang semua kerusi yang ditandingi.
SUPP diperuntukkan 19 kerusi tetapi hilang lapan kerusi terutama kepada DAP, sementara PRS yang diperuntukkan 10 kerusi, kalah kerusi Ngemah kepada Bebas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan