Sebahagian kanak-kanak pelarian Myanmar yang mendapat kemudahan pendidikan di Malaysia.
PERSEKITARAN sunyi sepi deretan bangunan kedai empat tingkat terbengkalai yang dipenuhi rumput lalang begitu menyeramkan.
Pasti ramai beranggapan lokasi yang jauh daripada kawasan perumahan itu sekadar menjadi markas penagih dadah atau kongsi gelap.
Namun rasa hiba menyelubungi diri penulis tatkala melihat sebilangan kanak-kanak kecil berbaris menuruni tangga dari aras satu di salah sebuah unit blok bangunan itu.
"Itulah kanak-kanak pelarian Myanmar yang sedang menunggu waktu rehat," kata Henry Martinus kepada penulis yang tergamam melihat keadaan itu.
Masakan tidak, walaupun dalam keadaan serba daif yang mungkin tidak pernah difikirkan manusia bahawa kawasan itu sebenarnya dibangunkan sebagai sekolah.
Hakikatnya, itulah senario yang dihadapi Henry, seorang rakyat tempatan yang menjadi sukarelawan demi memperjuangkan nasib kanak-kanak pelarian di negara ini.
Dia mengasaskan sekolah Joy Bausum yang dahulunya dikenali sebagai Agape Home School sejak tahun 2007 bagi memberi peluang pendidikan kepada golongan itu.
Sekolah berkenaan mempunyai empat kelas yang menghimpunkan seramai 75 pelajar berusia dari lima sehingga 17 tahun.
Pada masa ini, seramai lima guru secara sukarela mengajar kanak-kanak pelarian itu bagi subjek Bahasa Inggeris, Sains, Matematik, Pendidikan Seni dan Muzik.
Henry berkata, sebilangan kanak-kanak itu tidak pernah pergi ke sekolah dan antaranya sudah lama meninggalkan alam persekolahan selama beberapa tahun.
"Idea membuka sekolah ini bertujuan memberi kesedaran mengenai betapa pentingnya pendidikan dalam kehidupan manusia, ibarat kehidupan semula selepas merasai keperitan dan kesengsaraan ekoran kemelut yang berlaku di negara asal.
"Keadaan ini sebenarnya mematangkan diri malah sebagai persediaan untuk mereka menyesuaikan kehidupan baru apabila dihantar ke negara ketiga," katanya.Riak wajah tenang Henry bagaimanapun tidak dapat menyembunyikan kesedihannya kerana tidak mampu menyediakan kemudahan lengkap untuk kanak-kanak yang sudah dianggap seperti anaknya sendiri.
Itulah cabaran yang terpaksa dihadapi dengan sumber kewangan terhad yang mengharapkan ihsan sumbangan daripada gereja dan individu perseorangan.
"Namun kanak-kanak ini tidak pernah merungut malah lebih ceria kerana menerusi pendidikan itu mereka dapat merasai kehidupan seperti orang lain.
"Mereka tidak minta kemewahan. Apa yang mereka mahu adalah kehidupan dan itu yang mereka peroleh apabila belajar di sekolah," katanya.
Sementara itu, di sekolah lain di Kuala Lumpur, Khampi seorang warga Myanmar cekal membantu anak-anak senegaranya mendapatkan peluang pendidikan.
Dia yang tiba di Malaysia empat tahun lalu merupakan antara tulang belakang di Pusat Pendidikan Zomi (ZEC) untuk kanak-kanak pelarian Myanmar bagi etnik Zomi.
Bermula hanya satu cawangan dengan seramai 30 kanak-kanak pada November 2007, ZEC kini mempunyai lebih 300 pelajar di enam cawangan.
Memulakan sesi pembelajaran dari pukul 10 pagi hingga 3 petang itu, masing-masing beroperasi sekitar Kuala Lumpur, Cheras, Klang dan Kajang.
Khampi berkata, sekolah itu memberikan pengalaman sebenar kepada kanak-kanak pelarian itu bagi membina masa depan lebih baik.
"Pendidikan membantu kanak-kanak ini membangunkan negara mereka bagi mengembalikan harapan selepas melalui kemelut sebelum ini.
"Ia juga sebagai usaha memupuk kesedaran agar mereka lebih memahami tentang dunia luar termasuk penerimaan komuniti pelarian di negara ini," katanya.
ZEC mengenakan yuran sebanyak RM25 sebulan turut menyediakan kemudahan asrama bagi pelajar yang tinggal berjauhan dengan sekolah.
Pusat pendidikan itu turut menerima sumbangan kewangan serta keperluan daripada individu, gereja dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Bukan mudah untuk mengawal selia kanak-kanak pelarian di bawah satu bumbung, kata Khampi yang turut dibantu oleh sukarelawan Myanmar dan Malaysia.
Cabaran besar baginya apabila kanak-kanak itu tidak didaftarkan dengan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR).
Senario itu paling dibimbangi Khampi serta ibu bapa kanak-kanak terbabit namun pada masa sama tidak menafikan pendidikan amat penting dalam kehidupan.
"ZEC adalah sekolah komuniti yang membuka minda kanak-kanak pelarian ini agar mereka berasa lebih dihargai seolah-olah diterima oleh masyarakat tempatan.
"Sekolah ini adalah peluang untuk mereka membuka hari baru dalam kehidupan mereka yang lebih baik maka berikanlah ruang yang lebih untuk itu," katanya.
36 ulasan:
Hopefully one day they are allowed to go back to their homeland.
setiap orang memerlukan pendidikan termasuklah anak-anak pelarian.
harap satu hari nanti kemelut di negara asal mereka akan selesai dan mereka dapat pulang ke negara asal mereka.
Hopefully one day these kids could safely go back to their country.
walaupun mereka telah lama berada di negara ini sebagai pelarian, mereka juga menyimpan harapan yang tinggi untuk pulang ke kampung halaman mereka. namun begitu hampir mustahil untuk pulang selagi negara mereka diperintah oleh kerajaan yang sama semasa mereka mula2 menjadi pelarian. mereka kini di Malaysia untuk mencari perlindungan dan cuba untuk terus hidup menyara keluarga mereka. mereka juga inginkan kemudahan pendidikan untuk anak2 mereka dan juga kemudahan kesihatan agar mereka dapat keluar dari kepompong kemiskinan.
Janganlah membiarkan anak-anak kita melepak di luar. Semua orang ada peluang sendiri.
Satu hari nanti mereka pasti berterima kasih kepada Malaysia.. Sudah lama sebenarnya Malaysia menjadi tempat berteduh sementara mereka mengalami peperangan..
pengorbanan mereka dalam memberi pendidikan kepada anak2 pelarian amat dihargai.
pendidikan memang penting kepada manusia...namun adakah patut hak tersebut di mana untuk rakyat tempatan diberikan juga kepada pelarian2 ini? sedangkan masih ramai lagi anak2 tempatan yang tidak mendapat tempat atau tidak mampu untuk
memperoleh hak ini..
mengapa tidak membantu anak2 tempatan dahulu sebelum membantu anak2 pelarian ini?
lama-kelamaan pelarian2 ini akan meminta hak yang sama dengan rakyat malaysia...pada masa itu adakah UNHCR akan bertanggungjawab?
setelah pelarian2 tersebut merasa selesa di sini berbanding dengan negara asal mereka, apakah mereka akan menurut jika dihantar pulang? apa penjelasan UNHCR? apakah mereka tidak pernah terfikir akan hal ini yang tentu sekali akan menjejaskan kehidupan rakyat tempatan seperti apa yang berlaku di sabah?
jangan terlalu taksub membantu pelarian2 ini kerana bila pertolongan ini memakan diri, menyesal pun tidak berguna...pelarian2 ini harus segera dihantar pulang ke negara asal mereka kerana di sini BUKAN tempat mereka.
Pendidikkan memang perkara yang penting sekarang, mungkin sekolah perlarian ini dapat mendidik anak-anak pelarian untuk kegunaan pada masa hadapan.
Semoga masalah negara mereka akan dapat diselesaikan secepatnya. Ini untuk memberikan kanak-kanak ini menambah ilmu mereka disekolah. Ilmu tidak akan hilang sampai bila-bila akan sentiasa kita bawa kehadapan.
Dengan pembukaan sekolah khas untuk pelarian ini satu idea yang baik. Daripada mereka melakukan perkara yang tidak berfaedah.
pelarian juga perlu diberi pendidikan bagi memastikan mereka menjadi insan berguna.
Kanak2 yang selalu menjadi mangsa keadaan. Apa yang kita harus buat?
hhmm.. uasaha yang baik tapi saya harap kank2 tempatan pun dibantu juga utk mendapatkan pendidikan sempurna. Sebab saya yakin di kawasan pedalaman pasti ada kanak2 yang perlukan perhatian sebegini.
Tapi bila fikir balik, kesian juga la tengok ini budak... Dorang pun bukannya minta dilahirkan sebagai anak pelarian.. huhu
Semoga dgn cara ini anak2 ini akan membesar dgn azam utk kembali ke negara mereka dan membuat perubahan baik di negara mereka.
Sekurang-kurangnya jika negara mereka stabil takkan ada lagi pelarian yang masuk ke Malaysia.
Apapun semoga usaha ni mendatangkan sesuatu yang positif.
Usaha saudara Henry patut disokong. Pedidikan untuk kanak-kanak tidak boleh diabaikan walau mereka bukan rakyat tempatan.
Inilah manusia yang benar-benar menyumbang dan tidak menonjol diri. Tidak seperti segelintir manusia yang mengelar diri mereka dermawan.
Derma 500 ringgit minta dipapar dalam suratkhabar.
Semua orang berhak mendapatkan pendidikan, hanya dengan pendidikan mereka boleh mengubah masa depan mereka.
Usaha para sukarelawan untuk mengajar anak-anak pelarian ini amat dikagumi. Teruskan usaha, semoga tuhan sentiasa memberkati mereka.
I hope they will have a better place to stay with.
Perlindungan harus diberi kepada mereka2 ini.
Keamanan negara harus dihargai.
Bayangkan anak kita yang jadi mangsa sebagai pelarian sekiranya negara tidak aman.
Jika ada yang mampu, hulurkan bantuan kepada mereka. Wangkah, ruang untuk membina sekolah ke, apa pa je.
Walau mereka bukan rakyat Malaysia, usaha ini dapat membantu mereka menyesuaikan diri jika mereka dihantar pulang ke negara asal.
Kanak-kanak ini pasti berasa terima kasih nanti.
Sekurang-kurangnya mereka boleh membaca.
harap mereka mampu menguasai ilmu yang diajar dan berguna dalam kehidupan masa depan mereka.
Satu usaha yang baik...mungkin ini akan merubah nasib mereka...
Catat Ulasan