SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Kerajaan diminta segera menjalankan siasatan menyeluruh punca penuntut Institut Pengajian Tinggi (IPT) terlibat aktiviti pelacuran dipercayai bagi menampung kos pengajian mereka.
Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat (DPPP) Nasrudin Hassan berkata, hal itu perlu dipandang serius kerana ia bukan sahaja menjejaskan masa depan mereka sebagai generasi pewaris pentadbiran Malaysia malah menjatuhkan maruah dan imej negara.
Menurutnya, isu ini telah lama diperkatakan namun tindakan susulan yang diperlihatkan hanyalah sikap tuding jari dan menyalahkan orang lain.
“Saya mewakili DPPP meminta kepada pihak yang berkenaan secara langsung ataupun tidak untuk menyiasat apakah punca kegiatan ini dilakukan di samping menilai sejauh mana keterlibatan mereka di dalam kegiatan ini.
“Sekiranya benar sebagaimana yang dilaporkan, kerajaan wajar untuk memikir jalan keluar bagi mengatasi masalah yang membelenggu Malaysia ini,” katanya dalam kenyataan ketika mengulas pendedahan Ketua Pergerakan Wanita Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Bersatu (Upko), Dr Jaina Sintian, awal bulan lalu.
Dalam simposium pertubuhan itu, Jaina dipetik sebagai berkata, kebanyakan pelajar IPT terlibat kes pelacuran untuk menampung kos pengajian.
Menurutnya, mereka yang terbabit itu terdiri daripada kalangan keluarga bermasalah seperti berlaku penceraian ibu bapa yang menyebabkan mereka kehilangan tempat bergantung.
Nasrudin berkata, sikap melepaskan diri dan menyalahkan pihak lain hanya akan mengakibatkan peningkatan masalah sosial golongan pelajar di negara ini.
“Kita perlu menyelesaikan isu ini secara bersama. Dalam hal ini, DPP bersedia untuk membantu dalam apa jua termasuk memberi khidmat bimbingan dan kaunseling kepada pelajar terlanjur dengan kerjasama dan kelepasan daripada pihak universiti dan kerajaan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan