HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Disember 2010

Lantikan DAP Selangor tugas berat pikat sokongan Melayu, kata Azman Masri



Azman berkata beliau terharu dengan kepimpinan Guan Eng di Pulau Pinang. — gambar fail

KUALA LUMPUR — “Saya sebenarnya sejak kecil lagi berminat untuk menyertai DAP kerana saya anggap DAP bukan parti perkauman sebagaimana dilabel oleh sesetengah pihak,” kata Azman Masri, yang kelmarin diumumkan sebagai ahli jawatankuasa lantikan dalam DAP Selangor.

Beliau merupakan wakil tunggal orang Melayu dalam barisan kepimpinan baru DAP Selangor, dilantik susulan pemilihan dua minggu lalu.

Azman, 40, yang menyertai DAP secara rasmi sebelum pilihan raya umum 2008 menegaskan, ia bukan parti yang bersifat perkauman atau memperjuangkan kepentingan satu kaum sahaja sebagaimana digambarkan oleh sesetengah pihak khususnya Umno-BN.

Kini, Azman merupakan Naib Setiausaha DAP Sungai Besar.

“(Label parti perkauman) itu adalah cakap-cakap mereka demi kepentingan politik mereka, mereka akan kata apa saja... sebenarnya tidak, bukan parti perkauman,” kata Azman ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Bilangan ahli DAP daripada kalangan orang Melayu dilaporkan meningkat dengan penubuhan cawangan-cawangan yang diketuai oleh wakil kaum itu di Selangor. Begitu juga di beberapa negeri lain seperti Perak.

Bagaimanapun Azman tidak dapat memberikan butiran tepat mengenai bilangan ahli kalangan Melayu dalam DAP Selangor.

Dengan merujuk kepada kepimpinan Lim Guan Eng yang menerajui Pulau Pinang, jelas Azman, pemimpin-pemimpin DAP juga memperlihatkan keterbukaan mereka dengan menghormati agama Islam.

“Saya melihat pemimpin-pemimpin atasan DAP menjaga kepentingan semua kaum, menghormati Islam... ini jelas apabila kita nampak keterbukaan Guan Eng di mana beliau amalkan prinsip yang dibawa Khalifah Umar Abdul Aziz, kita terharu dengan sikap beliau,” kata Azman, peniaga di pasar Sekinchan.

Ahli Majlis Daerah Sabak Bernam ini juga berkata, beliau sebenarnya menjangkakan bahawa kedudukan sebagai ahli majlis sudah cukup memadai untuk memberi sumbangan atas kapasiti sebagai pemimpin bahagian DAP.

“Tetapi kini saya diberikan tanggungjawab baru ini, yang saya anggap ini satu cabaran berat,” kata beliau sambil menambah akan mempertingkatkan usaha bagi mencari sokongan orang Melayu kepada DAP dalam pilihan raya umum akan datang.

Azman berkata, jika beliau hanya memberi tumpuan ke atas bahagian Sungai Besar selama ini, tetapi selepas ini akan memainkan peranan melibatkan seluruh negeri Selangor.

“Ini satu kepercayaan ke atas saya, saya kena menunjukkan komitmen saya... saya kena memenuhi kepercayaan yang diberikan oleh DAP Selangor,” kata beliau.

Ketika ditanya sama ada akan mempertingkatkan usaha menarik orang Melayu menyertai DAP, Azman berkata, beliau akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan DAP terlebih dahulu.

“Saya akan lakukan yang terbaik, saya akan mendapatkan pandangan YB Adun Sekinchan Ng Suee Lim,” katanya.

Selain Azman turut dilantik oleh kepimpinan baru yang diterajui Exco Kerajaan Negeri Selangor Teresa Kok ialah peguam dan bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) V. Ganabatirau, Lee Kee Hiong, anggota Majlis Bandar Raya Shah Alam Ang Leng Kiat, dan Lwi Kian Keong.

Pengumuman itu menyaksikan Exco Kerajaan Negeri Selangor Ronnie Liu digugurkan.

Pada 28 November lepas, Liu tewas dalam perebutan 15 kerusi yang dipertandingkan namun dijangka akan dilantik ke dalam barisan jawatankuasa DAP Selangor.

Tiada ulasan: