HALAMAN SANTAI

Ahad, 12 Disember 2010

Mahasiswa Bantah Kenaikan Harga Barangan, Roboh Surau Al-Falah

Oleh Suara Keadilan

gamis2010KUALA LUMPUR - Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) bersama-sama Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)akan melancarkan 'Jentera Bela Rakyat berikutan isu kenaikan harga barangan keperluan serta usaha merobohkan Surau Al-Falah di Pantai Permai.

Kedua-dua badan pelajar itu berpendapat tindakan dan inisiatif segera perlu diambil supaya rakyat tidak terus menerus menjadi mangsa saban hari bagi setiap masalah yang dicipta oleh kerajaan Umno-Barisan Nasional.


"Dalam isu usaha merobohkan Surau Al-Falah di Pantai Permai hak rakyat benar-benar telah dibelakangkan. Bahkan keputusan sama ada dirobohkan atau tidak masih lagi tidak diketahui sehingga ke hari ini.

"Sepanjang sesi perbincangan dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) masih tiada kata putus bahkan pihak DBKL tidak mampu menyatakan sebab yang kukuh untuk merobohkan surau di kawasan itu.

"Keadaan ini menyebabkan timbulnya keraguan dalam kalangan masyarakat dan mahasiswa yang berada di sekitar kawasan tersebut, adakah wujudnya tangan-tangan ghaib yang ingin merobohkan surau tersebut. Apakah sebab dan bukti yang rasional sehingga memerlukan surau tersebut dirobohkan? Perkara ini masih menjadi tanda tanya kepada semua pihak," kata badan itu dalam kenyataannya Selasa lalu.

Menurut badan itu, notis yang diberikan kepada pihak Ahli Jawatankuasa Surau mengarahkan premis tersebut dikosongkan sebelum 9 Disember 2010.
Berhubung isu kenaikan harga petrol dan gula yang semakin menekan rakyat badan itu menganggap ia bukanlah fenomena baru di negara ini.

"Bahkan kita melihat ianya bagaikan rutin bulanan kerajaan hari ini. Jika kita lihat, dari unjuran kenaikan harga petrol dan barangan keperluan seperti gula semakin menjadi-jadi bermula dari beberapa tahun kebelakangan ini.

"Seperti mana yang kita ihat, petrol dan gula sekali lagi mengalami peningkatan harga pada 4 Disember yang lalu. Kerajaan telah mengumumkan penyelarasan harga kali kedua bagi petrol RON95, diesel dan petroleum gas cecair (LPG) sebanyak lima sen manakala gula diselaras pada harga 20 sen berkuat kuasa serta merta sebagai langkah kedua Program Rasionalisasi Subsidi.

"Berikutan itu, harga RON95 yang diselaraskan menjadi RM1.90 seliter, diesel kepada RM1.80 seliter dan LPG RM1.90 sekilogram manakala gula RM2.10 sekilogram. Seperti yang kita sedia maklum, kali pertama penyelarasan harga bahan berkenaan dilakukan pada 16 Julai lalu dengan petrol dan diesel diselaraskan lima sen seliter bagi semua sektor, LPG (10 sen sekilogram), gula (25 sen sekilogram), sekali gus menyebabkan rakyat menanggung kenaikan harga barangan yang mendadak.

"Kita yakin dan percaya kenaikan ini memberi tekanan yang sangat berat kepada rakyat Malaysia hari ini terutamanya bagi mereka yang berpendapatan rendah. Kami sebagai mahasiswa amat yakin dan percaya, kos hidup dan barangan runcit akan turun mengalami peningkatan harga seiring dengan kenaikan harga petrol dan gula ini. Mahasiswa juga turut terkesan dengan kenaikan harga yang sedang berlaku ini," tegas Gamis dan SMM.

Kedua-dua badan itu menuntut agar tindakan merobohkan Surau Al-Falah yang terletak di Pantai Permai dipandang serius dan sewajarnya rundingan diteruskan serta permintaan penduduk setempat mestilah diutamakan dalam membuat keputusan mengenai surau tersebut.

Golongan mahasiswa juga mencadangkan supaya kenaikan harga petrol dan gula ini dikaji dan disemak semula dalam tempoh masa terdekat.

"Kami juga ingin mengemukakan cadangan supaya penarikan subsidi daripada rakyat dinilai semula. Hal ini kerana,umum mengetahui bajet dan kewangan negara dapat dibantu dengan mengurangkan kadar elaun-elaun yang telah diberikan kepada barisan menteri hari ini.

"Bebanan kewangan dan perbelanjaan negara tidak wajar dibebankan ke atas rakyat semata-mata. Rakyat berhak mempunyai taraf kehidupan yang selesa di dalam negara yang merdeka," kata kenyataan itu lagi.

Gamis dan SMM berkata pelancaran jentera “Mahasiswa Bersama Rakyat” akan bermula dengan penyerahan Memorandum Bantahan Kenaikan Harga Petrol dan Gula kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak esok pada pukul 12.00 tengah hari, bertempat di Putrajaya.

"Akhirnya, bertepatan dengan slogan 1Malaysia yang kini dibawa oleh Perdana Menteri kita, “rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan” sewajarnya direalisasikan bukan hanya menjadi laungan semata-mata. Masa depan dan keperluan rakyat perlu diutamakan dalam memimpin sesebuah negara.

"Kami di peringkat mahasiswa amat tidak bersetuju atas sebarang tindakan yang dikira membelakangkan kepentingan dan kebajikan rakyat Malaysia hari ini. Kami dengan ini menggesa agar pihak kerajaan sekali lagi mengkaji sebarang tindakan yang telah diambil sama ada berkaitan isu untuk merobohkan surau Al-Falah dan kenaikan harga minyak dan gula ini segera. Mahasiswa menuntut keadilan daripada kerajaan terhadap rakyat," tegas mereka.

Tiada ulasan: