KUALA LUMPUR — Tun Dr Mahathir Mohamed hari ini memberi amaran kepada parti-parti komponen agar tidak membawa isu-isu perkauman atas alasan tindakan sedemikian boleh menjejaskan sokongan kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya.
Bekas perdana menteri memberi peringatan keras kepada parti komponen BN seperti MIC, MCA dan Gerakan bahawa BN adalah perikatan bagi semua kaum dan oleh itu, harus berhenti daripada bermain galeri perkauman.
“Masalah di kalangan parti komponen BN ialah kemahuan menjadi popular, mereka suka membawa isu-isu perkauman.
“Dan, tindakan ini boleh menjadi (membawa kesan) negatif kerana anda hanya mempromosikan satu kaum dan kaum-kaum lain sakit hati.
“Apabila ini berlaku, mereka tidak akan mendapat sokongan,” kata Dr Mahathir yang juga bekas pengerusi BN. “Mereka (komponen BN) kena tahu perkara ini... BN mewakili (kepentingan) semua kaum, bukan hanya satu kaum,” kata Dr Mahathir kepada pemberita di sini hari ini.
Dr Mahathir (gambar) memberikan pandangan ini seminggu selepas BN - perikatan 13 komponen selesai mengadakan konvensyen dan di sebalik persekitaran spekulasi bahawa pilihan raya umum ke-13 akan diadakan tahun depan.
Pada konvesnyen BN itu, Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek mengejutkan rakan-rakannya khususnya Umno dengan meminta agar istilah-istilah seperti “Ketuanan Melayu” dilarang daripada digunakan.
Isu Ketuanan Melayu juga menjadi fokus polemik sejak dua minggu lalu. Malah Dr Chua memberitahu bahawa tidak harus ada ungkapan atau rujukan status sistem “abang, adik” dalam BN — yang dilihat merujuk kepada satu parti mendominasi yang lain perikatan tersebut.
Di samping itu, Dr Chua juga menekankan bahawa dasar-dasar utama kerajaan tidak seharusnya diputuskan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno, yang lazimnya diadakan setiap bulan, sebaliknya perlu dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Kabinet.
Pendirian Dr Chua itu dilaporkan menyinggung ramai pemimpin Umno, antaranya pada Rabu lalu, Naib Presidennya Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Menteri Dalam Negeri melahirkan rasa tidak senangnya secara terbuka pada sidang media di bangunan Parlimen.
Malah kelmarin, Dr Mahathir menyifatkan kenyataan Dr Chua sebagai tidak logik dan tidak berasas.
“Saya tidak menyatakan parti yang saya jadikan rujukan, anda lebih tahu daripada saya.” kata beliau ketika ditanya sama pendiriannya hari ini merujuk kepada MCA. Pada masa yang sama, Dr Mahathir tidak yakin bahawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan memanggil pilihan raya umum pada suku pertama tahun depan.
“Saya tidak boleh membaca fikiran Perdana Menteri, tetapi pada pandangan saya, kita harus diberi masa,” kata beliau sambil menambah, ramai yang belum bersedia ke arah itu.
“Saya merasakan Perdana Menteri mahu memastikan bahawa BN menang dengan majoriti yang baik,” kata beliau lagi.
Pada Rabu lalu, Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon juga meminta parti-parti komponen BN memfokuskan perhatian kepada proses transformasi dan merealisasikan konsep 1Malaysia yang dipelopori Najib.
Adalah lebih baik para pemimpin tidak bertindak balas terhadap satu sama lain secara terbuka dan menggunakan sepenuhnya mekanisme dalaman sedia ada seperti mesyuarat Kabinet dan BN, katanya.
Sementara itu, anggota jawatankuasa pusat MCA Loh Seng Kok berkata anggota komponen BN perlu meneruskan usaha memberikan motivasi berhubung prinsip dan perjuangan BN di kalangan anggotanya.
Katanya para pemimpin BN perlu bermuhasabah dalam usaha mempelajari kesilapan mereka sendiri dan melakukan penilaian sendiri dalam usaha menarik semula sokongan rakyat.
“Ini perlu dilakukan agar selaras dengan saranan Datuk Seri Najib yang mahukan anggota BN mengikis gejala penyakit khayal, lupa diri, jumud dan angkuh, daripada beranggapan bahawa semuanya sempurna,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan