| Ahmad Danial |
| BUKIT KATIL: Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengisytiharkan Melaka sebagai negeri maju pada 20 Oktober 2010. Ramai beranggapan bahawa apabila Melaka diisytiharkan sebagai negeri maju sudah tentu masalah asas seperti jalan raya, sistem perparitan, masalah banjir, kemiskinan, hutang negeri sudah selesai. Namun semua itu meleset belaka. Perkara asas yang masih membelenggu rakyat Melaka ialah masalah banjir. Apabila hujan lebat turun banyak tempat akan digenangi air. Walaupun kerajaan negeri berkali-kali berjanji untuk menyelesaikan masalah ini tetapi sehingga kini ianya masih berlaku. Beberapa kawasan rendah di bandar raya Melaka sering dilanda banjir kilat jika hujan lebat hampir turun beberapa jam. Sebagai contoh, Jun lalu beberapa kawasan dilanda banjir kilat antara 0.1 hingga 0.9 meter sehingga berlaku kesesakan lalu lintas. Ianya meliputi 13 kawasan penempatan penduduk di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ). Sembilan kawasan yang paling teruk dinaiki air dalam kejadian itu ialah Jalan Paya Ikan, Kampung Pulau Kelapa, Taman Wan Shaw, Rumah Pangsa Bakti Dua di Banda Hilir, Parit Cina di Ujong Pasir, Taman Harta Pertama, Taman Mewah, Jalan Utama Melaka Baru dan Taman Mas Merah. Kawasan lain yang pernah dilanda banjir kilat ialah Rumah Media Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Pusat K-Inkubator di Ayer Keroh, Kampung Bertam Ulu, Paya Rumput, Tanjung Minyak, Kampung Sungai Putat, Taman Pengkalan Indah, Kampung Pengkalan, Kampung Sungai Petai, Rembia dan Taman Seri Bayu, Alor Gajah.
Sebelum ini, taman ini merupakan antara kawasan yang sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat. Pada tahun lalu sahaja kawasan ini telah dilanda banjir kilat sebanyak tiga kali. Walaupun parit (gambar kiri) di dalam kawasan perumahan telah dibina namun dibimbangi ianya akan berulang akibat ia yang dibina tidak berfungsi dengan baik. Seorang penduduk, Wong Choy Foong, 53, berkata longkang besar yang terletak di belakang taman tersebut tidak dapat mengalirkan air dengan sempurna kerana ianya dipenuhi dengan rumput dan kotoran serta sampah. Wong berkata aduan telah dibuat beberapa kali kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Jabatan Parit dan Saliran (JPS) namun hasilnya adalah mendukacitakan di mana tiada tindakan diambil. “Saya bimbang bila hujan lebat banjir berlaku sebab air tidak dapat mengalir dan ia akan naik atas jalan. “Kita semua banyak takut ini banjir sebab banyak tempat di Melaka selalu banjir datang,” jelas Wong. Menurutnya, longkang tersebut telah dikorek sebelum ini oleh Jabatan Parit dan Saliran (JPS) tetapi air bertakung tetap bertakung walaupun saiz longkang semakin besar. Wong berkata pernah satu ketika air dari longkang tersebut melimpah ke kebun beliau yang terletak di kawasan tersebut sehingga menyebabkan tanaman yang diusahakan beliau mati.
Mereka juga mendapati saliran air menjadi lambat kerana di bahagian hujung longkang telah ditambak oleh penduduk tempatan dan hanya satu saliran kecil dibuat bagi mengalirkan air dari longkang tersebut. Sementara itu pihak Unit Peti Undi Kampung Ku Sayang telah mengambil inisiatif untuk mengutip tandatangan daripada penduduk Taman Harta Pertama terutamanya yang pernah terlibat dengan bencana banjir sebelum ini untuk diserahkan kepada Pusat Aduan Rakyat MTD Bukit Baru. “Ada penduduk yang mengadu bahawa masalah ini sudah berlarutan sekian lama, malah ada yang telah membuat tembok dan menambak sendiri rumah dengan simen namun kebimbangan masih lagi menyelubungi disebabkan masalah longkang yang tidak sempurna ini. “Pernah padang permainan di dalam taman perumahan ini tenggelam sepenuhnya ketika hujan lebat, malah pernah melimpah sehingga ke jalan raya berhadapan dengan rumah penduduk yang mendiami kawasan perumahan fasa baru yang telah siap dibina 2 tahun lepas,” jelas Haji Abdul. |
HALAMAN SANTAI
Khamis, 16 Disember 2010
Melaka Maju tapi longkang tak selesai
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan