ASAJAYA: Pihak pembangkang umpama ‘lalat’ kerana mereka hanya muncul taktala pilihan raya hendak diadakan tetapi lenyap begitu sahaja selepas pilihan raya.
Ketua Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah menasihatkan masyarakat supaya tidak terpengaruh dengan mainan politik kotor pihak pembangkang yang sentiasa mencari jalan untuk memecah-belahkan penduduk.
Menurutnya, penduduk hendaklah mengawasi kehadiran orang luar yang tidak di kenali ke kampung mereka khasnya pihak pembangkang yang mempunyai niat yang tidak baik.
"Mereka (pembangkang) datang memasuki kampung-kampung, mendekatkan diri dan melaga-lagakan penduduk agar membenci kerajaan, selepas itu mereka hilang begitu sahaja.
"Sebab itu kita boleh umpamakan pihak pembangkang seperti lalat, " katanya ketika berucap di Majlis Sambutan Maal Hijrah 1432H Kampung Tanjung Apong Asajaya di sini semalam.
Program itu adalah anjuran bersama Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Asajaya, Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Asajaya, Penerangan Kota Samarahan, Kesihatan Kota Samarahan, PBB dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Tanjung Apong dan AJK Masjid Tanjung Apong.
Katanya, akibat pengaruh daripada pihak pembangkang, kempen pilihan raya boleh memecah-belahkan penduduk yang menyebabkan penduduk bermasam muka selepas itu.
"Kita harap penduduk pandai menggunakan kerasionalan untuk memilih mana yang baik dan mana yang buruk kerana pilihan raya Dewan Undangan Negeri(DUN) sudah semakin hampir dan berkemungkinan akan diadakan selepas Tahun Baru Cina," jelasnya.
Permasalahan yang timbul
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya itu berkata, setiap permasalahan yang timbul harus diselesaikan dengan sebaik yang mungkin melalui muzakarah.
Katanya, memandangkan kawasan DUN Asajaya sebuah kawasan yang agak besar adalah sukar untuk memenuhi semua permintaan penduduk, namun keutamaan akan diberikan kepada kawasan-kawasan yang memerlukan perhatian segera.
"Oleh itu, kita nasihatkan mereka yang telah diberi projek untuk penyediaan prasarana kepada penduduk hendaklah melaksanakan tugas dengan baik agar penduduk berpuas hati dengan kemudahan yang telah disediakan kepada mereka, "ujarnya.
Beliau turut menasihatkan penduduk supaya sentiasa berusaha untuk meningkatkan pencapaian diri untuk maju ke tahap yang lebih tinggi dan tidak sesekali mengenal erti putus asa.
"Untuk maju kita mesti sentiasa berusaha agar tidak ketinggalan, jika kita ketinggalan adalah tidak mustahil kita akan menjadi pengemis di negeri sendiri," katanya.
Hadir sama pada majlis itu ialah Temenggong Haji Cek Bujang dan Pegawai Tadbir Sarawak (SAO) Pejabat Daerah Asajaya Osman Let.
Turut diadakan sempena majlis itu ialah pemeriksaan kesihatan kepada penduduk, ceramah agama dan penyampaian anugerah Jasamu Dikenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan