SHAH ALAM - Seorang bekas anggota polis berpangkat Sarjan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah meminta dan menerima rasuah daripada seorang ahli perniagaan, empat tahun lepas.
Hakim Azhaniz Teh Azman Teh menjatuhkan hukuman itu selepas berpuas hati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan yang munasabah terhadap tertuduh, Tuan Hussin Tuan Ismail, 52.
Tuan Hussin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM10,000 atau penjara enam bulan kerana meminta suapan RM1,000 daripada V.Lohanathan di Balai Polis Pelabuhan Klang, Klang, pada pukul 1 tengah hari, 15 Nov 2006.
Tertuduh juga dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM20,000 atau penjara 12 bulan kerana menerima suapan RM4,000 daripada Lohanathan, antara pukul 4.30 petang dan 5 petang di tempat dan tarikh yang sama.
Kedua-dua perbuatan itu sebagai dorongan untuk membebas dan menyelesaikan kes seorang tahanan lokap, P.Vikinesvaran yang disyaki memiliki kereta curi.
Tuan Hussin didakwa mengikut Seksyen 10 (a)(bb) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.
Azhaniz Teh memerintahkan kedua-dua hukuman penjara berjalan serentak tetapi membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu proses rayuan.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Zainal Ayob manakala Tuan Hussin diwakili peguam Ariff Azami Hussin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan