Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Caves, Amirudin Shari berkata, Kerajaan Negeri sentiasa mahu membantu meringankan kesusahan rakyat di Selangor termasuk penyampaian bantuan untuk pelajar sekolah.
Menurutnya, Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Rakyat (PR) akan meneruskan agenda untuk tahun ketiga bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan dengan pemberian sebanyak 20 buku setiap seorang.
Katanya, 14,000 buku latihan akan diberikan kepada 700 pelajar sekolah rendah dan menengah di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di Negeri Selangor sebelum sesi persekolahan 2011 dibuka.
“Kerajaan Negeri bukan sahaja membantu pelajar bahkan rakyat di Selangor mendapat pelbagai manfaat dengan hasil usaha daripada pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor pada masa ini untuk dikongsi bersama rakyat,” katanya.
Amirudin berkata demikian ketika Majlis Berkhatan beramai-ramai dan Majlis Perasmian Hari Mesra HKP Zon 13 dan 14 Majlis Perbandaran Selayang (MPS) di perkarangan Dewan Kampung Baru Batu Caves baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 13, Hasbullah Ridzuan.
Hasbullah berkata, selain peluang masyarakat untuk beramah mesra dengan pemimpin, pelbagai aktiviti juga dianjurkan termasuk pertandingan mewarna yang disertai seramai 45 kanak-kanak dan pertandingan futsal
“Selain itu diadakan juga majlis penyerahan sijil penghargaan kepada AJK JKP yang telah menjalankan tanggungjawab mereka dengan baik selama berkhidmat di zon kawasan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Seramai 36 kanak-kanak berumur antara tujuh hingga 12 tahun menyertai majlis berkhatan beramai-ramai yang diarak menaiki lori sambil mengelilingi sekitar kawasan DUN Batu Caves.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan