HALAMAN SANTAI

Jumaat, 3 Disember 2010

Tarif air: Pemuda PAS gesa Pengerusi Syabas insaf

KUALA LUMPUR — Pemuda PAS akan menyokong mana-mana pihak yang mahu agar gaji Pengerusi Syabas Tan Sri Rozali Ismail dipotong — didakwa boleh menampung kos operasi syarikat itu, yang sebelum ini membuat keputusan mahu menaikkan kadar air.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Fadhil Osman berkata, Rozali perlu insaf kerana membuat keputusan yang akan membebankan rakyat terutamanya yang berpendapatan rendah di Selangor.

“Sepatutnya Pengerusi Syabas perlu insaf terhadap keadaan masyarakat khususnya yang berpendapatan rendah. Menaikkan harga air bererti menambah beban kepada rakyat.

“Rakyat baru mendapat hadiah dengan kenaikan harga minyak petrol RON 97 baru-baru ini, usah ditambah dengan pelbagai kenaikan lagi dan Syabas perlu melihat kesan kepada ekonomi negara dengan hampir semua harga barang keperluan akan meningkat.

“Justeru, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyokong sekiranya ada usaha kerajaan Selangor mahupun Syabas sendiri memotong gaji pengerusinya untuk menampung kos operasi mereka atau memberi bantuan keperluan asas kepada penduduk khususnya warga Selangor,” katanya dalam satu kenyataan.

Fadhil berkata pihaknya terkejut apabila dimaklumkan pendapatan Rozali mencecah RM5.1 juta setahun atau bersamaan dengan RM425,000.00 sebulan.

“Kami hairan bagaimana kerajaan Selangor sebelum era Pakatan Rakyat (PR) boleh meluluskan pendapatan sebegini banyak untuk seorang pengerusi syarikat yang mempunyai kepentingan dengan keperluan asas penduduk di negeri Selangor iaitu air.

“Kami tidak kisah sekiranya pendapatan tersebut diperolehi oleh pengerusi atau ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat gergasi yang mempunyai keuntungan berbilion ringgit setahun dan bersifat internasional.

“Tetapi nilai pendapatan sebegitu tinggi tidak wajar diperolehi oleh pengerusi sebuah syarikat yang menguruskan air untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan tindakan Syabas yang mahu menaikkan kadar air di Selangor sambil berkata, air adalah keperluan asas penduduk.

“Apakah Syabas mahu mengambil laba berlipat kali ganda dari rakyat hasil dari sedikit jasa menguruskan air untuk keperluan rakyat? “Meskipun air di Selangor diuruskan oleh Syabas, namun lupakah pengerusinya bahawa air dikurniakan oleh Allah swt untuk manusia?” soalnya.

“Air adalah keperluan asas penduduk. Tanpa air, tiadalah kehidupan. Kami kesal bagaimana air yang sangat penting boleh diniagakan dengan nilai yang tinggi kepada rakyat.

“Kami juga melihat mungkin inilah faktor Syabas mahu menaikkan harga air sebanyak 37 peratus kerana mahu menampung operasi mereka termasuk membayar gaji pengerusinya.

“Sedangkan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mahukan kebajikan untuk rakyat dengan memberi 20 meter padu air percuma kepada rakyat,” katanya.

Menurut Fadhil, Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan menyokong usaha kerajaan Selangor yang akan mengadakan himpunan besar-besaran pada Ahad ini untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai membantah kenaikan harga air oleh Syabas.

“Perang” antara kerajaan negeri Selangor dan Syabas mula memuncak dengan agensi itu diberi notis 14 hari supaya menghentikan program Tabung Budi atas alasan ia melanggar syarat perjanjian konsesi air.

Notis bertarikh 23 November dikeluarkan oleh Pengarah Kawal Selia Air Selangor Nor Azmi Diron di bawah Subseksyen 12(2) Akta Pembekalan Air 1997.

Tabung Budi dilancarkan Syabas pada 24 Ogos lepas melibatkan skim yang membolehkan pengguna air membayar balik kos 20 meter padu air bernilai RM11.40, yang disubsidi kerajaan negeri kepada rakyat Selangor setiap bulan, diserahkan kepada Syabas.

Wang kutipan itu nanti akan disalurkan kepada golongan kurang berkemampuan yang tidak menerima 20 meter padu air percuma bagi mendapatkan semula sambungan air bersih ekoran kegagalan mereka membayar bil.

Tiada ulasan: