FREE MALAYSIA TODAY
PETALING JAYA: Pendedahan Wikileaks tentang fitnah liwat terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menguatkan keyakinan wujudnya satu konspirasi peringkat tertinggi didalangi oleh para pemimpin negara ini.
Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataannya hari ini berkata, fitnah liwat ciptaan Polis Cawangan Khas Malaysia terhadap Anwar yang didedahkan oleh Wikileaks tidak boleh dipandang enteng.
"Lebih memeranjatkan menurut pendedahan Wikileaks, pimpinan tertinggi Singapura dan agensi perisikan negara itu sengaja serta dengan bersahaja mengiyakan fitnah tersebut kepada agensi perisikan Australia; Office of National Assessment (ONA)," katanya.
Menurut beliau, penglibatan bersekongkol memfitnah Anwar menguatkan curiga rakyat tentang sebab sebenar kerjasama ini. Apatah lagi Ahli-Ahli Parlimen Australia seperti ramai lagi anggota masyarakat antarabangsa telah mempersoalkan kebebasan pendakwaan terhadap Anwar.
Tegas beliau, "harus diingat Wikileaks mendedahkan maklumat pihak ketiga yang dikutip oleh pihak perisikan Australia dan disampaikan kepada pihak Jabatan Negara Amerika Syarikat.
"Pelbagai jenis maklumat termasuk pandangan peribadi dan khabar angin dikutip menerusi kabel-kabel diplomatik ini," kata Nazmi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia.
Ujar beliau, "saya berharap risikan teknikal yang disebut dalam Wikileaks dapat didedahkan pada umum memandangkan itu yang disebut menjadi sandaran pihak perisikan Singapura dalam membuat kesimpulan mereka.
"Jelas, pendakwaan kali kedua terhadap Anwar mengekalkan corak yang sama dengan pendakwaan pertama dahulu: ketempangan proses perbicaraan serta kenyataan pakar perubatan yang lemah di pihak pendakwa, membuktikan bahawa tuduhan ini merupakan konspirasi pihak tertinggi," tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan