HALAMAN SANTAI

Selasa, 21 Disember 2010

Zaid yakin Kita mampu saingi Pakatan, BN

THE MALAYSIAN INSIDER


KUALA LUMPUR — Datuk Zaid Ibrahim dengan penuh yakin memberi amaran kepada pesaing-pesaingnya — Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (Kita) akan membawa impak signifikan dalam pilihan raya umum ke-13 meskipun ahlinya hanya sekitar 300 orang sekarang.

Bekas pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) ini berkata, walaupun parti barunya kecil dari segi keanggotaan, tetapi mampu memberi saingan kepada kedua-dua Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) dengan meletakkan calon-calon yang berkualiti.

“Sudah pasti kami boleh lakukan. Ya, kami sudah ada sejumlah calon. Saya tidak boleh mengatakan berapa ramai, tetapi ya, saya salah seorang daripada mereka.

“Kami ada keanggotaan yang kecil jumlahnya, hanya kira-kira 300 orang, tetapi bukan aspek keahlian yang menentukan sokongan, tetapi kualiti pemimpin-pemimpin kami,” kata beliau kepada The Malaysian Insider dalam satu pertemuan eksklusif baru-baru ini.

Rabu lalu, parti Angkatan Keadilan Insan Malaysia (Akim) yang berpangkalan di Kelantan ditukar menjadi Kita selepas Zaid dipilih sebagai presiden yang baru.

Zaid , yang keluar PKR bulan lalu berkata, bilangan keanggotaan Kita dijangka meningkat berlipat ganda dalam beberapa bulan akan datang menjelang pilihan raya umum ke-13.

Bekas menteri Kabinet ini juga mendakwa bahawa sementara musuh-musuhnya sudah pun menyangkal kesan kehadiran mereka dalam landskap politik negara, Zaid masih percaya pihaknya “sudah pun membawa kelainan” setakat ini.

“Saya percaya saya sudah pun bawa banyak kelainan (setakat ini). Jadi oleh itu, kehadiran kami akan dirasai,” kata beliau yang juga seorang peguam, menyertai Umno sebelum dipecat akhir 2008.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Baru pada 2004 semasa masih dalam Umno dan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor April lalu atas tiket PKR-Pakatan tetapi tewas.

Sambil berkata beliau membiayai Kita, Zaid menjelaskan bahawa pihaknya sedang menghimpunkan sumber-sumber untuk menghadapi menghadapi pilihan raya umum akan datang, yang disebut-sebut akan diadakan awal tahun depan.

Katanya, calon-calon yang mewakili Kita kemungkinan sepadan dengan mereka yang mewakili BN ataupun Pakatan Rakyat tetapi barisan calonnya mampu menarik sokongan memandangkan ia membawa dasar-dasar dan idelologi yang baik tanpa hanya terlibat dalam perkara-perkara yang remeh-temeh dengan parti saingan.

“Kami tidak banyak wang, jadi kami akan membelanjakan wang yang kecil jumlahnya tetapi kami akan berjuang bersandarkan pada kepercayaan kami, ideal kami, dasar-dasar kami,” kata beliau.

Zaid juga menekankan bahawa beliau tidak menggunakan Kita untuk mendapatkan “populariti segera” bagi dirinya selepas keluar dari PKR, di mana beliau bertanding jawatan timbalan presiden tetapi menarik diri dengan mendakwa wujud kecacatan dan manipulasi dalam proses pemilihan.

Zaid menyertai PKR pertengahan tahun lepas. “Memperoleh populariti segera atau cepat, bukan itu yang saya mahukan.

“Anda kena menang berdasarkan sesuatu yang substantif. Dari segi itu, saya tidak berlawan dengan mereka (BN atau Pakatan Rakyat), saya tidak perlu menyertai permainan mereka.

“Saya bermain dalam perlawanan yang saya rasakan terbaik untuk rakyat. Saya mahu tangani isu-isu rakyat, bukannya bermain politik atau hanya melaung-laungkan slogan,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Zaid yakin bahawa rakyat akan melihat tawaran Kita dengan baik tanpa melihatnya sebagai ahli politik gilakan kuasa.

“Orang ramai boleh mengatakan apa sahaja mereka mahukan, saya tidak bebas daripada semua ini.

“Tetapi saya pasti bahawa rakyat akan memandang saya dengan baik,” kata beliau sambil menambah, orang ramai masih menganggapnya sebagai seorang yang mempunyai prinsip dan seorang pemimpin yang tidak gementar untuk bercakap mengenai ketidakadilan.

“Jadi, saya lega dengan pandangan sedemikian,” katanya lagi. Kata Zaid, objektif Kita ialah membawa “kewarasan” kepada arena politik Malaysia yang didakwa “berbalah” di semua peringkat.

“Ia sangat bersifat kombatif tetapi bukan spesifik. Ia seperti enam lelaki buta bercakap mengenai seekor gajah tetapi menggambarkan dengan cara yang berbeza.

“Seorang bercakap mengenai Ketuanan Melayu, kemudian seorang lagi bercakap mengenai Ketuanan Rakyat,” katanya yang turut mengkritik Pakatan Rakyat dan BN hanya bercakap tentang slogan tetapi gagal menyelesaikan isu-isu menyentuh kepentingan rakyat seperti perkauman, mengadakan dasar ekonomi yang baik, keselamatan dan lain-lain.

“Pakatan tidak menyelesaikan apa-apa pun. Mereka hanya berminat untuk menang pilihan raya,” kata Zaid yang berpendapat perikatan itu sebenarnya tiga parti berasingan yang cuba mahu mendapatkan kuasa daripada BN.

17 ulasan:

samm berkata...

Zaid mungkin yakin mampu menyaingi PR dan BN. apa pun hasilnya terpulang dengan sokongan rakyat.

samm berkata...

sama ada parti yang dipimpin oleh Zaid ini akan berjaya atau tidak, hasilnya akan diketahui apa bila tiba masanya nanti.

nickko berkata...

Zaid mempunyai potensi menengelamkan populariti Pakatan tapi sukar untuk Zaid melepasi BN. bagi memperolehi keselesaan bersaing, Zaid perlu menewaskan Pakatan terlebih dahulu.

nickko berkata...

sebaik2nya Zaid tumpukan dahulu usaha memantapkan parti sebelum meletakkan keyakinan yang tinggi untuk menyaingi parti2 gergasi. jangan terburu2 dan gairah mencapai matlamat sedangkan parti yang diterajui masih baru dan masih banyak yang perlu dilakukan.

Tanpa Nama berkata...

kita lihat bagaimana parti baru ini memberi saingan kepada pakatan dan BN.

Antanum berkata...

Kita lihat bagaimana zaid dapat menyaingi kedua2 parti.

Jason berkata...

We will just have to wait and see.

Hamdan Hadillah berkata...

Semua parti boleh berkata demekian, tapi tidak pasti sampai mana kebenaran dalam cerita ini.

Mohd Ishak berkata...

Kita hanya berdaya tunggu dan lihat sajalah.

Tanpa Nama berkata...

Naif, sombong atau mata sudah kabur?

Tanpa Nama berkata...

Zaid disokong kerana langkah berani beliau meletak jawatan sebagai menteri demi mempertahankan prinsip-prisip tertentu.
Kini beliau dilihat sebagai seorang yang tidak berprinsip dan tidak tentu arah.

Unknown berkata...

Keyakinan Zaid terlalu tinggi. mUngkin beliau ada sedikit sokongan tapi cuma jumlah yang sangat kecil.

Tanpa Nama berkata...

Cita-cita Zaid tinggi -tinggi langit. Keyakinan Zaid tinggi-tinggi sampai angkasa.
Sejauh mana Akim dapat bertapak, masa akan menentukan.

Tanpa Nama berkata...

Akim baru ditubuhkan, jika dikatakan mampu bersaing dengan BN dan PR, kurang menyakinkan.

Tanpa Nama berkata...

Tidak ada yang mustahil, tapi semuanya bergantung pada pilihan rakyat.

Tanpa Nama berkata...

Apapun, tunggu dan lihat sajalah nanti :)

Unknown berkata...

Buktikan bahawa kamu boleh, jangan setakat cakap saja.