KUALA LUMPUR — Lim Kit Siang menyifatkan langkah Putrajaya meluaskan skop suruhanjaya siasatan kematian Teoh Beng Hock, pembantu khas Exco kerajaan negeri Selangor, sebagai satu langkah yang “menuju arah betul”.
Bagaimanapun Penasihat DAP ini, yang secara konsisten menekankan agar kerajaan mengadakan suruhanjaya diraja sebelum ini, sangsi sama ada panel itu boleh datang dengan rumusan berwibawa.
“Kami menyambut baik suruhanjaya ini meskipun ia berhadapan halangan selama ini,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
“Kini keadilan mesti kelihatan diberikan (kepada keluarga Teoh),” kata Ahli Parlimen Ipoh Timur petang ini.
Bagaimanapun, kata Lim, walaupun langkah yang diumumkan hari ini menunjukkan usaha ke arah yang betul, tetapi beliau perlu menanti dan melihat sama ada panel siasatan akan menjalankan siasatan terperinci.
Beliau diminta mengulas pengumuman Perdana Menteri hari ini mengenai penubuhan suruhanjaya itu yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri James Foong Cheng Yuen bagi menyiasat kematian Teoh yang ditemui mati selepas beliau disoal siasat oleh SPRM dua tahun lepas.
Suruhanjaya itu ditubuhkan selepas perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, dianggotai dua bekas hakim dan dua pakar forensik dan dibantu empat pegawai undang-undang.
Mereka termasuk bekas hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman, bekas hakim Mahkamah Rayuan Datuk T. Selventhiranathan, pakar forensik iaitu Pakar Perunding Patologi Forensik, Jabatan Perubatan Forensik Hospital Pulau Pinang Datuk Dr Bhupinder Singh, dan Pakar Perunding Psikiatri Forensik dan Dekan Fakulti Perubatan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya Prof Dr Mohamed Hatta Shaharom.
Dalam pengumumannya, Perdana Menteri Najib Razak berkata suruhanjaya itu turut akan menyiasat sama ada terdapat apa-apa ketidakwajaran dalam perjalanan siasatan SPRM terhadap Teoh berhubung dengan Perintah-perintah Tetap dan amalannya dan untuk mengesyorkan sebarang tindakan yang sesuai, jika perlu.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, penubuhan suruhanjaya siasatan dengan skop luas, menunjukkan ketelusan dan kejujuran kerajaan dalam mencari punca kematiannya.
Beliau yang menganggap keputusan memperluaskan skop itu sebagai tepat memandangkan sekiranya sesebuah suruhanjaya ditubuhkan bagi mengkaji atau meneliti sesuatu prosedur, ia akan meneliti sama ada ia ada kaitan dengan sebab-sebab kematian bagi mendapatkan gambaran yang jelas.
“Sekiranya tidak, nama SPRM tidak dapat dibersihkan. Sekiranya terdapat apa-apa yang disyaki, tindakan boleh diambil,” katanya di Labis.
Sehubungan itu, Koh yang juga Presiden Gerakan berkata dengan kebijaksaan dan keyakinan Perdana Menteri, orang ramai akan mendapat tahu kebenaran dan memulihkan keyakinan pada SPRM.
“Perkara ini telah dibincang secara teliti dalam Kabinet. Selepas rundingan, beliau (PM) memaklumkan kepada Kabinet (keputusan menyiasat punca kematian itu) selepas kita bincangkannya beberapa kali,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan