HALAMAN SANTAI

Khamis, 27 Januari 2011

Kuan Yew: Saya tak pernah perlekeh pengganti macam Dr M



Dr Mahathir (kanan) bersara sebagai perdana menteri pada 2003. — Foto Bernama

KUALA LUMPUR — Bekas perdana menteri Lee Kuan Yew bangga kerana beliau tidak pernah memperlekehkan penggantinya sebagaimana dilakukan oleh rakan sejawatannya di Malaysia — Tun Dr Mahathir Mohamad, sambil mendakwa peranan beliau hanyalah memberi nasihat kepada barisan pemimpin yang menggantikannya di republik tersebut.

“Inilah niat saya. Jika perdana menteri yang baru gagal, saya gagal,” kata pengasas Singapura ini dalam buku terbaru baru “Lee Kuan Yew: Hard Truths To Keep Singapore Going”.

Buku 458 halaman ini diterbitkan oleh Straits Times Press awal tahun dan memuatkan siri temu bual dengan menteri mentor yang diadakan di antara Disember 2008 dan Oktober 2009.

Membandingkan dengan sikap perdana menteri keempat Malaysia, Lee seterusnya menulis: “Mahathir tidak pernah fikir begitu. Beliau memperlekehkan penggantinya.”

Sejak bersara pada 2003, Dr Mahathir terus kekal dalam radar arena politik negara ini.

Dr Mahathir lantang mengkritik Tun Abdullah Ahmad Badawi yang beliau pilih sendiri kira-kira setahun selepas menyerahkan tampuk kepimpinannya pada Oktober 2003.

Kemudian Dr Mahathir mengambil langkah drastik dengan meninggalkan Umno pada awal 2008, sejurus selepas pilihan raya umum pada tahun tersebut.

Bagaimanapun berbanding Lee (kanan), Dr Mahathir menolak syor agar beliau dilantik sebagai menteri kanan dalam Kabinet Abdullah.

Beliau kembali ke Umno selepas Abdullah berhenti pada April 2009.

Dan, sejak menjadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak juga kelihatan berhati-hati dalam membuat kenyataan agar tidak menyinggung Dr Mahathir.

Lee, yang kekal dalam Kabinet Singapura sebagai menteri kanan dan kemudian sebagai menteri mentor, bertindak sebaliknya dalam soal pengurusan dan kepimpinan pengganti beliau — Goh Chok Tong dan Lee Hsien Loong, yang merupakan anaknya.

Bagaimanapun Lee masih kekal sebagai pemimpin yang berpengaruh dan disegani di Singapura.

Bercakap mengenai sikapnya terhadap penggantinya dalam buku terbaru beliau, Lee memetik kata-kata bekas perdana menteri Britain John Major.

“Anda perlu melihat pada jawapan (Major). Beliau mahu memastikan bahawa perdana menteri baru berjaya,” katanya.

Dalam temu bual untuk buku tersebut, Lee yang berusia 87 tahun bercakap panjang lebar mengenai Malaysia dan juga mengulas mengenai Najib dan hubungan dua hala dengan Malaysia.

Bekas perdana menteri itu juga menyifatkan Najib sebagai seorang pemimpin rasional yang memahami hakikat Malaysia memperoleh manfaat daripada kerjasama dengan negara jiran di selatan itu, tetapi berhadapan dengan hambatan emosi masyarakat Melayu.

“Perdana Menteri Najib Razak seorang pemimpin rasional. Beliau mahu bekerjasama dengan kami sebab beliau melihat faedah bagi Malaysia.

“Bagaimanapun beliau perlu berhadapan dengan emosi peringkat domestik, seperti ahli-ahli politik di mana-mana negara,” katanya,

Beliau juga mempersoalkan sama ada Najib berupaya untuk membawa perubahan yang diidamkan apabila berhadapan dengan cabaran sedemikian.

“Jadi, adakah orang Melayu akan membolehkan kerjasama dengan Singapura? Sejauh mana mereka akan menyokong projek-projek yang sementara memanfaatkan Malaysia, ia juga akan membantu Singapura untuk makmur?

“Setiap pemimpin Malaysia perlu sedar persoalan ini. Kita tidak harus melupakan perkara ini,” kata negarawan yang terus kekal berpengaruh ini.

Pandangan itu sebahagian daripada buku terbaru Lee yang turut meminta Islam Singapura agar tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara.

Aspek itu mencetuskan rasa tidak senang di kalangan pemimpin Islam dan NGO Melayu negara ini sejak awal minggu ini.

Tiada ulasan: