KUALA LUMPUR: Presiden MIC, Datuk G. Palanivel meminta semua pihak berhenti membuat sebarang kenyataan berhubung buku teks Interlok sehingga panel bebas mengkaji bentuk pindaan yang sesuai mengenainya.
Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat pertama ahli Majlis Tertinggi Pemuda MIC Kebangsaan Palanivel berkata: " Jadi biarlah versi yang sudah disunting ada. Apabila yang sudang disunting ada, saya akan tengok edisi pertama dulu...selepas itu saya boleh membuat apa-apa kenyataan."
Palanivel yakin ahli akademik, penulis novel dan pakar-pakar yang terlibat dalam panel bebas itu akan meneliti buku itu dengan terperinci dan dapat mencapai suatu keputusan menang-menang yang akan memuaskan hati semua pihak.
Palanivel berkata Kementerian Pelajaran telah menghentikan penghantaran bekalan novel itu untuk dijadikan KOMSAS untuk pelajar Tingkatan Lima di semua sekolah di ketiga-tiga negeri terbabit.
Menyentuh mengenai mesyuarat hari ini, beliau berkata antara isu yang disentuh mengenai persiapan Pemuda MIC menghadapi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Merlimau dan Kerdau serta pilihan raya negeri Sarawak dan juga pilihan raya umum.
"Kita akan bekerja kuat memandangkan sokongan masyarakat India terhadap Barisan Nasional (BN) semakin meningkat 75 peratus berdasarkan keputusan pilihan raya kecil DUN Tenang...kita akan bergiat di peringkat akar umbi sama ada dapat mengekalkan atau meningkatkan peratusan pengundi BN," katanya.
Penamaan calon bagi pilihan raya kecil Merlimau, yang merupakan PRK ke-15 selepas pilihan raya umum 2008, ditetapkan pada 26 Feb dan jika ada pertandingan, pengundian akan diadakan pada 6 Mac.
Sementara pilihan raya kecil Kerdau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum menetapkan tarikh penamaan serta pengundian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan