SINAR HARIAN ONLINE
SHAH ALAM – Badan bukan kerajaan (NGO) menyambut baik cadangan pelaksanaan pendaftaran pemilih secara automatik bagi pengundi yang mencapai umur 21 tahun.
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Kebangsaan (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali (gambar),: menganggap ia adalah situasi menang-menang kepada rakyat dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Menurutnya, sesuai dengan peredaran semasa yang menggunakan teknologi, ia lebih memudahkan pengundi dan menjimatkan masa.
“Ia juga, memudahkan serta menjimatkan wang dan SPR tidak perlu lagi berkempen ke seluruh negara untuk memastikan lebih ramai pengundi mendaftar,” katanya kepada Sinar Harian.
Setiausaha Gabungan Badan NGO Malaysia, Mohd Jurit Ramli berkata langkah ini memberi peluang kepada rakyat menjalankan tanggungjawab, dengan keluar mengundi.:
“Sekarang ini, mereka terpaksa pergi mendaftar dan tidak ramai yang keluar mengundi. Sekiranya mereka berdaftar secara terus, lebih ramai akan keluar mengundi kerana nama mereka sudah berdaftar,” katanya.
Menurut Mohd Jurit, sikap segelintir rakyat yang sambil lewa untuk mendaftar amat dikesali.
“Mereka yang cukup umur mengambil sikap sambil lewa. Sama ada ada mereka akan keluar mengundi atau tidak terpulang kepada mereka.
"Namun sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kewajipan mengundi perlu dilaksanakan," katanya.
Bekas Presiden Pertubuhan Mantan Wakil Rakyat UMNO (Pakku), Tan Sri Adam Kadir berkata, ia wajar dilaksanakan kerana memudahkan banyak pihak.
Beliau berkata, secara tidak langsung lebih ramai golongan muda dapat keluar mengundi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan