MCA semestinya tidak merasai kemanisan di sebalik kemenangan Barisan Nasional dalam PRK Tenang, semalam. Meskipun Timbalan Pengerusi, Muhyiddin Yassin mendakwa BN "menang dua daripada tiga peti undi majoriti Cina", namun ia gagal menutup realiti bahawa Chua Soi Lek gagal mengembalikan sokongan pengundi Cina di kubunya sendiri.
Pertikaian berlaku di antara MCA dan DAP, yang masing-masing mendakwa dirinya meraih sokongan pengundi Cina yang lebih tinggi. Biar kita merujuk kepada statistik dalam PRU ke-12 untuk mengetahui gambaran sebenarnya. PAS berjaya menewaskan UMNO-BN di tiga peti undi majoriti Cina, iaitu Labis (421vs411 undi), Labis Timur (740vs669 undi) dan Labis Tengah (1013vs504 undi) pada tahun 2008.
Dalam PRK semalam, BN menang tipis di peti undi Labis (majoriti 64 undi) dan Labis Timur (37 undi), tetapi tewas dengan majoriti 486 undi di Labis Tengah. Perlu diingatkan bahawa nisbah pengundi Cina di Labis dan Labis Timur adalah sekitar 60%, namun Labis Tengah mencatat 95.7% pengundi Cina. Justeru itu, DAP mengambil keputusan di Labis Tengah sebagai kayu ukur untuk menyukat sokongan pengundi Cina.
Realitinya...
Demikianlah senarionnya jikalau dilihat kepada statistik. Apapun tafsiran yang diberikan semata-mata untuk menyuntik semangat mahupun menutup parut di muka, gagal membohongi diri sendiri. Realitinya berbunyi, BN tetap gagal menawan hati pengundi Cina, sungguhpun menawarkan hampir segala-galanya untuk memikat undi pengundi mereka.
Kecenderungan ini telahpun diperlihatkan dalam beberapa PRK yang lalu. Dalam PRK Hulu Selangor, janji peruntukan RM3 juta untuk SRJK (c) Rasa gagal merasuah pengundi Cina; malah, ungkapan "You help me, I help you" yang terkenal dari bibir seorang Perdana Menteri bersama tawaran RM5 juta (untuk menyelesaikan masalah banjir) gagal memancing undi Cina di Rejang Park, PRK Sibu yang lalu.
Jadi, apa yang istimewa di PRK Tenang? Jika dilihat kepada kesungguhan yang ada pada Presiden MCA, Chua Soi Lek, maka kita akan menemui jawapannya. DUN Tenang terletak di bawah kerusi parlimen Labis, yang pada asalnya diwarisi Chua Soi Lek daripada mantan Presiden MCA Ling Liong Sik pada tahun 2004, sebelum diserahkan kepada anaknya Chua Tee Yong pada tahun 2008, lantaran skandal seks yang memalit dirinya.
Chua Soi Lek memikul misi untuk membuktikan kepada Pengerusi BN, Najib Razak bahawa beliau diterima masyarakat Cina, dan cukup berwibawa untuk mewakili kaum Cina di Malaysia, apatah lagi di kawasan kubu sendiri. Maka Chua Soi Lek perlu sekurang-kurangnya memahami keperluan komuniti Cina, kalaupun masih gagal untuk menggarap imaginasi komuniti Cina dengan gagasan MCA-BN.
Kekentalan Chua Soi Lek
Keupayaan Chua Soi Lek disanjungi daripada dua aspek. Pertama, beliau dengan berani mengakui dirinya watak utama dalam vcd skandal seks yang tersebar pada akhir tahun 2007, sungguhpun beliau boleh berdolak-dalih dengan "it looks like me, sounds like me". Beliau tidak meneladani VK Lingam, lantas meletak jawatannya sebagai Menteri Kesihatan pada ketika itu.
Keduanya, Chua Soi Lek (gambar kiri) memperlihatkan kekentalannya ketika bangkit semula dalam pergelutan kuasa MCA pada tahun 2008. Ong Tee Keat, Presiden MCA pada ketika itu menggunakan segala sumber yang ada untuk menyekat Chua Soi Lek, yang dikhuatiri bakal mengancam kedudukan dirinya. Krisis yang berlanjutan hampir setahun ini berakhir dengan Chua Soi Lek sebagai Presiden baru MCA.
Namun demikian, keupayaan Chua Soi Lek langsung tidak terserlah dalam PRK Tenang kali ini. Malah, Naib Pengerusi DAP Selangor, Teng Chang Khim telah memberi amaran seawal hari penamaan calon lagi, bahawa MCA tersilap langkah dalam percaturan strateginya jikalau menggunakan isu Negara Islam dalam PRK ini.
Chua Soi Lek yang berdegil akhirnya ditenggelami air bah daripada pengundi Cina semalam, tsunami yang bukan kecil untuk membadai ego dirinya. Mungkin ramai yang tertanya-tanya, apa yang tak kena pada Chua Soi Lek dan MCA?
Perwatakan dan latar belakang Chua
Mungkin benar jika dikatakan ramai yang mengkagumi ketegasan Chua Soi Lek berbanding pemimpin MCA yang lain. Barangkali ada kaitan dengan latar belakang pendidikannya, yang berasal dari aliran Inggeris, dan kerjayanya sebagai doktor. Seperti Mahathir Mohamad, doktor biasa berterus-terang dengan keadaan sebenar.
Namun demikian, ramai yang tidak perasan bahawa Chua Soi Lek hanya menjadi pemimpin "peringkat kebangsaan" selepas PRU ke-11 pada tahun 2004, apabila beliau dilantik sebagai Menteri Kesihatan dalam kabinet Abdullah Ahmad Badawi. Chua Soi Lek tidak lebih sebagai pemimpin tempatan dan peringkat negeri sebelum ini. Beliau terpilih sebagai ADUN buat kali pertama pada tahun 1986, kemudian dilantik sebagai EXCO kerajaan negeri Johor pada tahun 1990.
Dengan kata lain, untuk hampir setengah hayat politiknya, Chua Soi Lek hanya bergiat dalam lingkungan negeri Johor. Maklumlah politik di Johor yang jauh berbeza dengan apa yang berlaku di Lembah Klang, yang menjadi pusat kepada segala pergelutan kuasa. Chua Soi Lek mungkin jelas dengan denyutan nadi penghuni desa, kampung baru Cina, pekan kecil, tetapi tidak semestinya mengetahui citarasa penghuni bandar.
Keadaan ini menjelaskan mengapa Chua Soi Lek berkeras kepala untuk menggunakan senjata "Negara Islam". Untuk Chua, paparan gambar tangan dipotong di bawah hukum hudud semestinya cukup ngeri untuk menakutkan penduduk Cina di kawasan desa. Apatah lagi apabila DAP perlu bertungkus-lumus membalas serangan setiap kali peluru "Negara Islam" dilepaskan - kesemua ini menunjukkan bahawa DAP masih gusar dengan isu ini.
Chua tersilap langkah
Jelas, Chua Soi Lek tersilap langkah kali ini. Pengundi hanya takut apabila berdepan dengan sesuatu yang tidak diketahuinya, atau sesuatu yang tidak menentu. Chua Soi Lek mungkin tidak sedar, Pakatan Rakyat mempunyai lebih masa dan ruang untuk menyebarkan maklumat dalam PRK kerana lebih tertumpu. Lebih-lebih lagi, senario selepas tsunami 8 Mac 2008 menyediakan model negeri PR yang nyata untuk pengundi - bagaimana PR akan mentadbir jikalau mengambil-alih kuasa. Apabila fakta digunakan sebagai senjata, maka ketakutan akan hilang sendirinya.
Bacaan Chua Soi Lek tersasar apabila hanya menumpukan kepada isu Negara Islam sepanjang tempoh kempen. Persoalan dasar tidak dibangkitkan, kepincangan kerajaan BN sendiri tidak terjawab, tetapi asyik dengan tangan Normala Sudirman yang bersarung. Laporan Malaysiakini yang membuat tinjauan di situ selepas hari penamaan calon telah menunjukkan bahawa pengundi tidak ambil peduli isu salam, namun jelas Chua Soi Lek juga tidak ambil peduli laporan media.
Chua Soi Lek mungkin tertekan untuk mempertahankan kubu DUN Tenang. Mungkin beliau enggan mengalah sebelum terbukti silap. Akhirnya isu salam ini diperbesarkan sehingga menyinggung perasaan masyarakat Melayu-Muslim, dan Muhyiddin terpaksa menegurnya secara terbuka. Apabila isu ini diberi tumpuan yang lebih, malah tidak memihak kepada BN, Chua Soi Lek pula menuding jari kepada media. Reaksi ini memberi peluru percuma kepada PR untuk menyerang BN.
Gagal menggarap imaginasi komuniti Cina
Mungkin ada yang akan menghitung hari-hari yang tertinggal untuk Chua Soi Lek dalam hayat politiknya setelah kecundang dalam PRK Tenang. Namun, kekalahan MCA ini jauh daripada kesilapan percaturan strategi politik, malah kepimpinan Chua. Masalah yang menimpa MCA adalah kegagalan MCA menggarap imaginasi komuniti Cina dalam kerangka Barisan Nasional.
Apabila rakyat semakin celik untuk membezakan antara "gula" dengan "dasar", apabila "ketakutan" diyakini dengan "fakta", apabila "politik baru yang mahukan harmoni" menggantikan "politik untuk mencetus permusuhan", maka MCA gagal melakukan apa-apa untuk mengembalikan sokongan komuniti Cina.
Model BN yang mempertanggungjawabkan UMNO untuk menjaga kepentingan Melayu, MCA untuk Cina dan MIC untuk India semakin ditolak. Ramai orang yang agak tidak senang, termasuk komuniti Cina apabila MCA cuba menakutkan pengundi Cina dengan nilai Islam. Malah, apa yang terharu buat semua adalah apabila perbidaan baju merah "TUKAR" dalam majlis PR menyaksikan seorang Cina yang mendapat baju itu dengan RM1000 menghadiahkannya kepada seorang Melayu yang gagal membida kerana menawarkan harga RM400.
Keputusan PRK Tenang mungkin tidak menceriakan PAS, malah mungkin mencungkil kegelisahan dalaman kerana pola pengundian sedemikian tidak memanfaatkan PAS yang lebih banyak bertanding di kawasan desa majoriti Melayu. Namun, apa yang mungkin boleh direnungi pemimpin PAS adalah, sanggupkah PAS kembali kepada politik lama, yang pada satu hari nanti akan menyaksikan kesudahan seperti Chua Soi Lek-MCA?
*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan