HALAMAN SANTAI

Selasa, 1 Februari 2011

Islam Mahathir dengan Islam Nik Aziz

Analisa Harakahdaily

Ketika berperang kata-kata dengan Menteri Mentor Singapura, Lee Kuan Yew, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara tiba-tiba menghunuskan keris beliau kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana keengganannya untuk turut serta menghentam Kuan Yew.

Mahathir, tiba-tiba ingin muncul sebagai hero membela Islam dalam menghentam Kuan Yew, yang baru menerbitkan buku terbarunya bertajuk ‘Lee Kuan Yew: Hard Truths to Keep Singapore Going’ menyeru umat Islam di republik itu tidak terlalu berpegang kuat kepada ajaran Islam bagi membantu proses integrasi dan pembangunan negara tersebut, selain mengkritik cara Mahathir melayani pengganti-penggantinya selepas bersara menjadi Perdana Menteri.

Nik Aziz, bagaimanapun enggan terlibat dalam pertengkaran dua pemimpin tersebut, dengan mengatakan bahawa ada orang Melayu-Islam yang turut menolak Islam.

“Kuan Yew hanya cakap jangan pegang Islam kuat sangat berbanding dengan orang Melayu di negara kita yang buang semua (Islam) dan ambil kebangsaan,” Nik Aziz dipetik sebagai berkata.

Ekoran kenyataan Nik Aziz, Mahathir terus menuduh beliau sebagai tidak menyokong Islam kerana lebih utamakan peluang untuk memburuk musuh politiknya di Malaysia daripada mempertahankan serangan terhadap Islam dan penganutnya oleh Kuan Yew.

Namun begitu, serangan Mahathir terhadap Nik Aziz penuh dengan hipokrisi dan kemunafikan Umno, terutama ketika dilihat berlatarkan insiden-insiden terbaru cukup untuk menunjukkan Umno selektif dalam "membela Islam" dan untuk keuntungan politik semata-mata.

Contoh terbaru sifat hipokrisi ini terserlah ketika kempen pilihanraya kecil DUN Tenang yang baru berakhir, di mana Umno gagal untuk memberikan sebarang teguran terhadap pemimpin-pemimpin MCA yang menyerang amalan Islam semata-mata untuk menakutkan pengundi Cina terhadap PAS – satu misi, yang akhirnya gagal dengan teruknya berdasarkan keputusan pilihanraya di mana undi Cina kekal di tangan PAS.

Tiada seorang pun pemimpin Umno, termasuklah Mahathir yang tampil ke depan untuk mengkritik Presiden MCA, Chua Soi Lek atas penghinaan terang-terangan beliau terhadap Muslimat yang enggan bersalam dengan kaum lelaki bukan muhrim.

Disokong dengan kesenyapan Umno dan bermati-mati untuk tidak memohon maaf, Chua yang pernah ditangkap bertelanjang bulat dalam skandal video seksnya, telah secara angkuh mempertahankan kenyataannya. Dan ketika dikritik atas sifat jahilnya terhadap budaya lain, Chua membalas bahawa ‘there was nothing great’ (Apa yang hebat sangat) untuk mengenali amalan agama Islam.

"So what is so great about that? That is your religious values which I don't know. How am I to know when I'm not practising that religion?”

"I have the right to say that it's basic manners to shake hands with people. That's my values. Understand? You also must value my value, which is good manners, which includes shaking hands," Chua dipetik sebagai berkata.

(Apa yang hebat sangat tentang itu? Itu amalan agama kamu yang saya tak tahu. Macammana saya nak tahu jika saya tak pratikkan agama itu?

(Saya mempunyai hak untuk mengatakan bahawa ini adalah sikap sopan-santun yang asas untuk bersalam dengan orang lain. Itu nilai saya. Faham? Kamu mesti juga menghormati nilai saya, iaitu sikap sopan-santun yang baik, termasuk bersalam)

Dalam isu perpecahan umat Islam di negara ini, Mahathir sekali lagi lupa memandang cermin apabila menyalahkan PAS dan Nik Aziz sebagai pemecahbelah orang Islam kepada tiga kumpulan yang menjadi penghalang terbesar kepada ‘perpaduan Melayu’, apabila sejarah jelas menunjukkan bahawa siapa yang memecahkan politik orang Melayu pada tahun 1988 dan 1998.

Pada tahun 1988, pertarungan hebat Mahathir dengan bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah untuk menjadi Presiden Umno telah memecahkan Melayu Umno kepada dua, dengan terbentuknya parti Semangat 46 yang menjadi kepada pemangkin kepada gabungan parti pembangkang yang pertama, Angkatan Perpaduan Ummah antara PAS dan Semangat 46 (serta Hamim dan Berjasa).

Satu dekad kemudian, orang Melayu, dan orang Malaysia pada keseluruhannya dilanda kemelut apabila Mahathir mengambil keputusan untuk membuang Anwar Ibrahim daripada kabinetnya, dengan tuduhan-tuduhan yang paling dahsyat yang tidak pernah dilihat dalam sejarah politik orang Melayu.

Ini membuka kepada lanskap politik yang baru dengan pembentukan Parti Keadilan Rakyat, yang kini menjadi salah satu daripada tiga komponen parti terpenting dalam Pakatan Rakyat bersama DAP dan PAS.

Dalam meneruskan hujahnya, Mahathir juga menyoal, teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam apabila mereka memastikan negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam dan juga menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan.

Mahathir, sudah tentunya tidak mengiktiraf masalah yang paling jelas pada saat ini yang mengganggu pemimpin “nasionalis Melayu” iaitu rasuah dan salahguna kuasa yang kian berleluasa.

“Hasil perjuangan nasionalis Melayu negara sekarang diperintah oleh orang Melayu Islam. Mereka mengharamkan arak dalam majlis rasmi Kerajaan, menerap nilai-nilai Islam dalam pemerintahan, membekalkan wang kerajaan untuk kegiatan-kegiatan agama Islam, memudahkan orang Islam buat kerja haji, mendirikan masjid-masjid, menubuhkan Universiti Islam, Bank Islam, Takaful, badan-badan dakwah, mengharamkan loteri nasional dan berbagai-bagai lagi yang disuruh oleh agama Islam.

"Teruk sangatkah orang nasionalis ini dalam mengamal ajaran Islam?” kata Dr Mahathir, sekali lagi menunjukkan kejahilannya dalam politik Islam.

Mahathir akan menjadi orang terakhir untuk menerangkan samada korupsi berleluasa, kebocoran dan ketirisan besar-besaran, penyalahgunaan kuasa dan diskriminasi terhadap bangsa lain melalui slogan bauran Ketuanan Melayu juga sebahagian daripada "amalan Islam" yang disebutnya.

Sebaliknya, Nik Aziz nampak lebih konsisten dengan mesejnya bahawa Islam adalah penyelesaian kepada masalah-masalah negara, dan untuk beliau, tiada alasan untuk pemimpin Melayu-Islam untuk menolak Islam dalam pentadbiran mereka.

Untuk membuktikan keIslaman, mereka hanya perlu menghentikan rasuah, salahguna kuasa, kebocoran kewangan, ketidakadilan dan diskriminasi terhadap kaum lain.

Walaupun ramai yang nampak bahawa ini adalah satu percubaan (daripada buku politik Mahathir) untuk mengalihkan padangan orang Melayu kepada satu “common enemy” (musuh bersama) daripada kepincangan dan masalah yang sedang dialami negara kita, serangan Dr Mahathir mungkin mempunyai agenda yang lebih besar iaitu untuk membantu Umno untuk menyingkirkan musuh yang paling digeruni mereka, iaitu Nik Aziz.

Apa tidaknya, Nik Aziz telah menjadi batu sandungan (penghalang) terbesar kepada idea perpaduan Mahathir dan ipar-iparnya di Perkasa, dan mematikan Nik Aziz juga akan melumpuhkan segala usaha menjadikan Parti Islam SeMalaysia sebagai pengganti Umno pada pilihanraya umum yang akan datang.

Tiada ulasan: