MUADZAM SHAH— Ketika sedang menikmati kenaikan harga getah, rezeki para penoreh kini terbantut ekoran berlakunya banjir.
Misalnya pendapatan Arifin Samsudin dari Kampung Meripoh dekat sini sedikit terbantut sejak musim hujan sekarang.
“Saya sudah dua minggu tidak dapat ke kebun akibat hujan. Terpaksa duduk di rumah saja sejak kawasan rumah dan kebun saya dinaiki air,” katanya.
“Ramai orang lain keluar menangkap ikan pula. Tetapi saya tidak ada bot dan tak pandai berenang, hanya boleh duduk di rumah saja,” tambahnya.
Arifin, 46, berkata sebelum musim hujan beliau mampu meraih lebih RM1,000 dalam tempoh dua minggu dengan menoreh di kebun getahnya seluas 0.8 hektar.
Kamarudin Mat Yus, 49, juga mengalami nasib yang sama tidak dapat menoreh di kebunnya yang seluas 2.42 hektar setelah ditenggelami air sedalam satu meter.
“Saya telah membeli barang dapur selepas melihat keadaan hujan yang tidak berhenti-henti. Tapi saya jangka ia tidak akan bertahan lama, tetapi mujur ada bantuan makanan daripada kerajaan,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Ibam, Datuk Mohd Sahfri Abd Aziz, bersama kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah menghulurkan bantuan berbentuk makanan, kit kesihatan selain selimut dan tikar kepada penduduk yang terbabit dengan banjir.
Seramai 260 penduduk di Kampung Meripoh, Kampung Dong dan Kampung Samak terputus hubungan selepas air Sungai Keratong, Sungai Buan dan Sungai Jeram melimpah sehingga melitupi jalan yang menghubungkan kampung tersebut dengan kawasan lain.
Pihak bomba melaporkan arus sungai semakin deras.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan