TEMERLOH: Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man mendesak satu siasatan dibuat terhadap kecuaian Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran serta agensi di bawahnya ekoran kesilapan mencetak 400,000 naskah buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1 sehingga terpaksa ditarik balik.
Katanya, parti itu mahu Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang juga Menteri Pelajaran bertanggungjawab dengan kecuaian serius tersebut sehingga melibatkan kehangusan wang rakyat berjumlah RM4 juta serta boleh mengganggu konsentrasi pelajar.
“Isunya Kementerian Pelajaran cuai, kenapa perkara yang sebesar ini tidak diteliti, jadi kita mahu satu siasatan terperinci dan TPM mesti bertanggungjawab," tegasnya.
Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata demikian selepas majlis mengedarkan sumbangan ‘angpau’ dan buah limau mandarin kepada mesyarakat Cina sempena sambutan tahun baru Cina di Mentakab, dekat sini.
Media pada 28 Januari 2011 melaporkan, Kementerian Pelajaran menarik balik 400,000 buku teks KSSR bahasa Inggeris tahun 1 sekolah kebangsaan kerana mengandungi pelbagai kesalahan dan menggantikan dengan buku teks cetakan baru, Mac depan.
Keseluruhan kos dianggarkan bernilai RM4 juta.
Dalam pada itu, Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Negeri Pahang, Roslan Zainal berkata, kerugian akibat kecuaian seperti ini bukan kali pertama berlaku di bawah kementerian yang sama.
Katanya dalam satu kenyataan media, rakyat Malaysia masih belum dapat memaafkan kerugian yang dianggarkan RM5 bilion akibat kegagalan Dasar Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris.
“Jika jumlah kerugian akibat kegagalan beberapa projek infrastruktur pendidikan di seluruh negara sejak era Tun Dr Mahathir diambil kira, maka kementerian ini boleh dianggap di antara kementerian yang menyumbang kepada kerugian wang rakyat dalam jumlah yang sukar dimaafkan.
“Jika pembaziran dan kecuaian-kecuaian tersebut dapat dielakkan, wang dalam jumlah demikian sudah pasti dapat disalurkan untuk manfaat yang lebih besar dan sepatutnya. Antaranya ialah menaikkan geran per kapita kepada semua sekolah di seluruh negara bagi menampung kos pengurusan operasi yang meningkat saban tahun. Jika ini dilakukan sudah tentu dapat mengurangkan bebanan dan tekanan ibu bapa yang pada masa sama berdepan dengan kenaikan kos hidup yang drastik dan menggigit,” katanya.
Justeru, PR Pahang menggesa Perdana Menteri mengambil tindakan tegas ke atas Tan Sri Muhyiddin dan pihak berkaitan ekoran kecuaian ini kerana RM4 juta adalah jumlah yang amat besar.
“Jangan hanya berani bertindak ke atas rakyat jembel tetapi berlepas tangan apabila kesalahan dilakukan oleh pihak atasan. Jadikan kes ini salah satu penanda aras (benchmarking) program transformasi Malaysia yang dilaung-laungkan. Buktikan dengan tindakan, berhentilah daripada sekadar menambah sesak ruang maklumat negara dengan pelbagai slogan retorik populis semata-mata.” |
Tiada ulasan:
Catat Ulasan