HALAMAN SANTAI

Selasa, 22 Februari 2011

Krisis Libya: Pesawat pejuang serang lokasi demo, lebih 100 lagi maut

THE MALAYSIAN INSIDER


Seorang juruterbang Libya berdiri di sisi pesawat pejuangnya Mirage F1 selepas mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa di Valletta, Malta semalam (waktu Malta). — Foto Reuters

LONDON — Pesawat-pesawat perang Libya, negara terbaru di utara Afrika yang berhadapan dengan kebangkitan rakyat sejak seminggu lalu, menggugurkan bom di banyak lokasi di Tripoli semalam, demikian menurut laporan stesen TV Al-Jazeera.

Perkembangan ini disaksikan susulan tekanan meningkat ke atas pemimpin mereka Kol Muammar Gaddafi, yang memerintah sejak lebih empat dekad lalu.

Libya merupakan negara jiran Mesir, yang presidennya Hosni Mubarak digulingkan awal bulan ini.

Kelmarin anak lelaki Muammar memberi amaran kerajaannya akan mempertahankan negara itu daripada demonstrasi sehingga peluru dan anggota pasukan keselamatan terakhir, malah memberi amaran perang saudara akan tercetus.

“Apa yang kami saksikan hari ini tidak dapat dibayangkan langsung. Kapal perang dan helikopter menggugurkan bom demi bom. Ramai, ramai yang terbunuh,” kata seorang penduduk tempatan yang dikenali sebagai Adel Mohamed Saleh.

Ketika ditanya sama ada tindakan mengebom masih diteruskan, dia yang juga seorang aktivis dipetik Reuters berkata: “Ia masih berterusan, (serangan) berterusan.”

Laporan itu diperoleh awal pagi ini (waktu Malaysia).

Bagaimanapun tiada sumber bebas yang dapat mengesahkan kesahihan laporan itu.
Seorang lagi yang hanya dikenali sebagai “Victory” memberitahu
msnbc.com bahawa “kami boleh mendengar serangan bom setiap 15 minit. Kami tidak tahu dari mana.”

Dalam pada itu, satu lagi laporan Reuters dari Valletta pula menyebut, dua juruterbang tentera udara Libya telah membelot semalam dan menerbangkan pesawat masing-masing ke Malta dengan tidak mahu mematuhi arahan pihak berkuasa kerajaan.

Laporan itu memetik pegawai Malta menyebut mereka telah memaklumkan pihak berkuasa negara itu bahawa diarahkan supaya mengebom penunjuk perasaan.
Kedua-dua juruterbang itu, berpangkat kolonel, meninggalkan sebuah pangkalan tentera udara di Tripoli.

Salah seorang daripada mereka memohon suaka politik di Malta.

Malah laporan berasingan Reuters juga menyebut pertempuran di ibu negara Libya semalam menyebabkan seramai 160 orang terbunuh.

Menurut badan pemerhati Human Rights Watch semalam seramai 233 orang telah terbunuh sejak demonstrasi yang bermula awal minggu lalu.

Tiada ulasan: