KUALA LUMPUR — Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat berkata pihaknya kesal dengan kelembapan kerajaan khususnya Wisma Putra dalam memberi respons balas ekoran krisis politik di Mesir yang turut memberi kesan kepada rakyat Malaysia terutama pelajar.
Sehubungan itu, Ketua Angkatan Muda PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin menggesa kerajaan menyegerakan bantuan makanan kepada para pelajar dan mengambil langkah-langkah lain yang sewajarnya.
Selain itu, beliau menggesa kerajaan membawa pulang pelajar dengan segera melalui penerbangan dibawa oleh Malaysia ataupun secara alternatif menggunakan kapal milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) atau kapal-kapal swasta boleh dimanfaatkan.
“Angkatan Muda yakin dan percaya bahawa rakyat Malaysia seluruhnya tidak mempunyai ruang untuk berkompromi dengan kelembapan tindakan yang berpotensi mengancam nyawa pelajar-pelajar Malaysia di sana,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan.
Gesaan itu sebahagian daripada desakan pelbagai pihak agar Wisma Putra bertindak segera membantu pelajar-pelajar Malaysia di Mesir.
Pemuda Barisan Nasional juga memberikan gesaan sedemikian semalam.
Seramai 11,319 pelajar Malaysia didaftarkan secara rasmi menuntut di Mesir dalam pelbagai disiplin terutama dalam bidang perubatan dan agama.
Dalam jumlah ini lebih daripada 70 peratus pelajar terlibat dengan kawasan darurat terutama di Kaherah.
“Keadaan makin meruncing apabila Presiden Hosni Mubarak tetap berkeras untuk mengekalkan kuasa diktaktornya, rakyat semakin bangkit dan pihak penjenayah mengambil kesempatan untuk merompak dan membakar bangunan.
“Dalam keadaan yang meruncing ini, adalah mustahil untuk para pelajar mendapatkan bekalan makanan dan kewangan memandangkan kedai semuanya ditutup. Pihak Angkatan Muda telah menghubungi wakil Angkatan Muda di Mesir dan pihak pelajar sendiri, mendapati bahawa keadaan di sana semakin teruk akibat daripada lambatnya bantuan daripada kerajaan Malaysia dan kedutaan,” katanya.
Shamsul Iskandar berkata, bekalan makanan tidak mencukupi dan tidak menyediakan kemudahan pengangkutan untuk pulang atau keluar daripada kawasan darurat.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan sedang menimbang menggunakan kapal serba guna TLDM yang sedang bertugas di Teluk Aden, Timur Tengah, untuk operasi pemindahan pelajar-pelajar Malaysia yang kini berada di Mesir.
Najib berkata, kapal terbabit akan diguna untuk memindahkan pelajar Malaysia di Mesir ke Jeddah, Arab Saudi, bagi membolehkan mereka menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.
Dalam pada itu, Bernama melaporkan, keluarga pelajar Terengganu yang sedang belajar di Mesir melahirkan rasa bimbang dan cemas tentang keselamatan pelajar berkenaan, sekali gus meminta mereka segera dibawa pulang.
Ketua Penolong Pengarah Yayasan Terengganu Razali Mahmud berkata ibu bapa terutamanya melahirkan rasa bimbang tentang keselamatan anak-anak mereka berikutan keadaan kucar-kacir yang berlaku di negara itu.
“Kita dapat maklumat yang keadaan di sana sudah ke tahap oren. Semalam Timbalan Menteri Luar A. Kohilan Pillay bersama beberapa pegawai dari Majlis Keselamatan Negara telah berlepas ke Mesir untuk menilai keadaan semasa di sana.
“Mereka tentu ada pelan untuk membawa keluar pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di negara itu ke negara-negara berdekatan seperti Jordan atau ke Arab Saudi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Razali berkata pihaknya faham di atas kebimbangan ibubapa dan penjaga terhadap keselamatan anak-anak mereka, namun kerajaan sedang mengambil langkah-langkah yang positif bagi mengatasi masalah itu.
Yayasan Terengganu menaja 247 pelajar yang menuntut dalam jurusan pengajian Islam dan Kedoktoran di Mansurah, Iskandariah dan Kaherah, Mesir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan