PETALING JAYA — Pakatan Rakyat (PR) yang memenangi 10 daripada 11 kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Mac 2008 hari ini menggesa kerajaan pusat mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi Kuala Lumpur supaya ia seimbang dalam pembangunan ekonomi dan politik.
Wilayah Persekutuan hanya menyediakan kerusi Parlimen dan tiada kerusi peringkat Dewan Undangan Negeri.
Gesaan itu diulangi ketika Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menyambut ulang tahun ke-37 penubuhannya hari ini.
Naib Presiden PKR Chua Tian Chang atau lebih mesra dikenali Tian Chua berkata, kebanyakan negara termasuk negara-negara yang ‘menindas’ seperti Turki juga mengdakan pilihan raya kerajaan tempatan bagi ibu negara masing-masing.
Katanya, penduduk di bandar-bandar utama di negara Asean seperti Indonesia, Thailand dan Filipina juga memilih Datuk Bandar mereka menerusi pilihan raya.
“Datuk Bandar New York dan London juga dipilih (menerusi pilihan raya),” kata beliau.
“Oleh itu, kami mengajak Menteri Wilayah Persekutuan dan Kerajaan Tempatan Datuk Raja Nong Chik (Raja Zainal Abidin) menyertai kami untuk mengadakan satu kajian bagi melaksanakan pilihan raya kerajaan tempatan di Kuala Lumpur,’ kata Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada sidang media hari ini.
Kata Nurul Izzah, pihaknya mengulangi pendirian Pakatan Rakyat untuk mempunyai seorang Datuk Bandar dan ahli-ahli majlisnya yang dipilih, yang dapat berkhidmat dengan penuh akauntabiliti kepada warga bandar raya ini.
Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, rancangan Barisan Nasioanl (BN) melaksanakan Greater KL/Lembah Klang sebagai inisiatif Bidang Kunci Ekonomi Kebangsaan (NKEA) seharusnya dipertingkatkan dengan memberi hak kepada warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur memilih Datuk Bandar mereka.
“Pakatan Rakyat percaya bahawa pembangunan ekonomi sendiri tidak mencukupi untuk menjadikan Kuala Lumpur satu model transformasi negara tanpa pembaharuan politik yang diperlukan dengan segera, katanya lagi.
“Dengan pilihan raya kerajaan tempatan, saluran menjadi lebih langsung. Kini, penguatkuasaan dan perkhidmatan adalah di bawah DBKL, tetapi mereka tidak secara langsung bertanggungjawab kepada rakyat,” kata Nurul Izzah kepada The Malaysian Insider kemudian.
Tian Chua yang juga Ahli Parlimen Batu menggesa agar diadakan saluran interaksi yang lebih baik antara Raja Nong Chik dan ahli-ahli Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
“Sehingga sekarang, kami tidak ada dialog bersemuka dengan menteri bagi Wilayah Persekutuan,” kata beliau pada sidang medianya.
“Kami hanya ada satu dialog dengan Datuk Bandar tiga kali setahun,” katanya.
Awal tahun lalu Pulau Pinang dan Selangor mengumumkan langkah kedua-dua kerajaan negeri mahu mengadakan pilihan raya kerajaan tempatan tetapi tidak dapat melaksankanannya kerana undang-undang negara tidak membenarkan mereka berbuat demikian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan