HALAMAN SANTAI

Khamis, 23 Jun 2011

Siasat pelaburan 1MDB Petrol Saudi Limited

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) digesa menyiasat transaksi pembelian dan penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited oleh 1MDB dengan PetroSaudi Interrnational yang agak mencurigakan berdasarkan laporan juruaudit.

Transaksi itu melibatkan pengumuman keuntungan RM425 juta untuk operasi tahun pertama berakhir 31 Mac 2010 oleh Perdana Menteri selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB pada 8 Oktober 2010 dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Sharol Halmi pada 12 Oktober 2010.

Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keuntungan tersebut diperolehi antara lain hasil penjualan pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited, syarikat usahasama di antara 1MDB dengan PetroSaudi International Limited.

Menurut beliau, dalam transaksi itu, 1MDB melabur dalam 1MDB PetroSaudi Limited sebanyak RM3.5 billion yang dibuat secara tunai.

Katanya, tidak sampai 5 bulan kemudian, 1MDB menjual semula pelaburan itu kepada rakan usahasama mereka, PetroSaudi International Limited dengan harga RM4.1 billion dan memperolehi keuntungan RM615 juta.

"Walau bagaimanapun, bayaran untuk penjualan pelaburan ini dibuat sama ada secara ansuran atau bayaran tertangguh selama 11 tahun.

"Ini bermakna perolehan RM4.1 billion ini hanya dapat diperolehi sepenuhnya menjelang 31 Mac berdasarkan transaksi penjualan ini dibuat pada hari akhir penutupan akaun 1MDB pada 31 Mac 2010," katanya pada sidang media di lobi bangunan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, menurut beliau, keupayaan 1MDB memperolehi balik RM4.1 billion itu amat disangsikan berdasarkan nota khas yang dibuat oleh juruodit dalam laporan auditnya ke atas akaun 1MDB yang berakhir 31 Mac. 2010 lalu.

Katanya, nota tersebut menjelaskan Juruaudit KPMG semata-mata bersandar kepada perakuan pengurusan 1MDB bahawa PetroSaudi International Limited mempunyai kedudukan kewangan yang baik dan berupaya memenuhi kesemua tuntutan kewangan, seperti yang terkandung dalam dokumen Perjanjian Jaminan Korporatnya.

"Juruaudit KPMG sendiri tidak memberi kepastian sama ada hutang tertunggak RM4.1 billion berupaya dibayar oleh PetroSaudi International Limited kerana ia bukan jaminan Bank atau kerajaan," katanya.

Susulan gesaan yang dibuat ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2011 itu, beliau telah menulis surat kepada PEC 22 Jun 2011 memohon disiasat 6 perkara menurut peruntukan Peraturan Mesyuarat 77 (1).

Antara perkara yang digesa disiasat oleh PEC itu termasuklah mengenai penilaian kedudukan kewangan, pemegang saham, nominee dan pengurusan PetroSaudi International Limited sama ada mempunyai keupayaan membayar hutang RM4.1 billion kepada 1MDB seperti yang didakwa oleh pengurusnya.

Menyiasat sumber 1MDB perolehi untuk membayar pelaburan dalam 1MDB PetroSaudi Limited sebanyak RM3.5 billion secara tunai, sama ada ia hasil penerbitan bon yang dijamin oleh kerajaan.

Menyiasat penilaian yang dibuat oleh pengurusan 1MDB ke atas 1MDB PetroSaudi Limited apabila membuat keputusan melabur sebanyak RM3.5 billion dalam usahasama itu.

Menyiasat adakah kerajaan terdedah kepada jaminan atau pinjaman dalam pelaburan yang dibuat 1MDB.

Menurut Anwar, beliau menggesa PEC menyiasat kes itu kerana ia melbatkan Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan selaku Pengerusi Lembaga Penasihat 1MDB dan penerbitan bon sebanyak RM5 billion yang dijamin kerajaan.

"Difahamkan bon sehingga RM15 billion akan diterbitkan untuk membiayai pelaburan 1MDB.

"Dalam pengamataan akaun 6 bulan pertama 2011 hingga 1 September 2010, saya dapati 1MDB mengalami kerugian sebanyak RM158.3 juta," katanya.

1MDB dianugerahkan konsesi tanah paling berharga di Kuala Lumpur iaitu Pengkalan TUDM di Sungai Besi seluas 196.6 hektar sementara Pengkalan TUDM akan dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Pembangunan Pengkalan TUDM di Sungai Besi itu melibatkan usahasama di antara 1MDB sebanyak 30 peratus, Lembaga Tabung Angkatan Tentera sebanyak 30 peratus dan Desmond Lim dari Malton Berhad sebanyak 40 peratus.

Katanya, dalam kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan hartanah itu akan dibangunkan sebagai Bandar Malaysia untuk memperkukuhkan daya saing Kuala Lumpur bagi menarik pelabur tempatan dan asing.

"Pembangunan yang diumumkan hanya melibatkan yang memberi pulangan besar kepada pelabur. Langsung tidak disebut atau disediakan dalam pelan induk pembangunan perumahan untuk warga kota yang berpendapatan rendah dan penyediaan perumahan untuk bekas tentera yang amat memerlukan perumahan di ibu kota ini," ujar beliau.

Tiada ulasan: