HALAMAN SANTAI

Ahad, 31 Julai 2011

Permata Perlu Peruntukan Lebih-Permata atau PERMATA?

Staff Berita Semasa

permata Permata Perlu Peruntukan Lebih Permata atau PERMATA?


Rosmah Mansor, memberitahu media dalam semasa berada di Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di Pokok Sena,bahawa program Permata memerlukan peruntukan yang lebih lagi.

Ini adalah kerana terdapat ramai ibu-bapa yang menyambut baik program Permata ini, namun dengan fasiliti yang terhad,serta hanya boleh menampung 50 pelajar sahaja pada satu-satu masa, ianya tidak dapat menampung permintaan buat masa ini.

“Saya sangat berharap supaya kerajaan dapat menambah peruntukan untuk program Permata ini kerana ia mendapat permintaan yang ramai daripada ibu bapa dan sekarang setiap pusat hanya dapat menampung lebih kurang 50 pelajar,”

Untuk makluman, pusat PAPN berjumlah sebanyak 28 buah yang ditubuhkan di bawahan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK 10),termasuk di Guar Chempedak yang dijangka dibuka seawal tahun 2012 nanti.

Mengenai tenaga pengajar di PAPN, beliau berkata, setakat ini ia mencukupi kerana mendapat permohonan terus daripada graduan yang baru menamatkan pengajian sama ada di peringkat diploma atau ijazah.

“Tenaga pengajar tiada masalah sebab kita dapat banyak permohonan terutama daripada mahasiswi yang baru tamat pengajian dalam bidang Early Childhood Education dan mereka diberi kursus khas sebelum mula mengajar,” katanya.

Sementara itu ketika berucap, Rosmah Mansor berkata, PPN tidak mempunyai kepentingan politik, sebaliknya penubuhan pusat itu adalah demi masa depan kanak-kanak dalam memastikan mereka mendapat pendidikan yang baik, efektif serta berkualiti tanpa memerlukan belanja yang besar.

Buat masa ini, kami tidak dapat melihat impak sebenar program Permata ini secara keseluruhannya.Adakah ianya berkesan atau tidak,ianya masih terlalu awal untuk dimuktamadkan.Walau apapun, sekiranya program Permata ini benar-benar dapat menghasilkan sesuatu yang baik, ianya wajarlah diteruskan.

Dan sekiranya kewujudannya tidak membawa apa-apa perubahan, elok sahaja Program Permata ini tidak diteruskan lagi.Teruskan sahaja dengan Tabika Kemas dan Perpaduan.Ianya juga tidak pernah kurang menghasilkan ramai rakyat Malaysia yang cerdik dan intelek,pada kos yang lebih rendah.

P.S. Ada beza Permata dan “PERMATA”.

Chin Huat: Bebaskan Malaysia dari penjajahan ketakutan dan keganasan!

Lim Hong Siang


Meskipun Tanah Malaya merdeka dari penjajahan British pada tahun 1957, dan seterusnya untuk Sabah dan Sarawak pada tahun 1963, namun pada hakikatnya negara Malaysia tidak pernah bebas dari penjajahan ketakutan dan keganasan. Kita bukan sebuah negara merdeka, selagi kita boleh dipukul polis pada bila-bila masa.

Demikianlah kata-kata ahli jawatankuasa BERSIH 2.0, Wong Chin Huat ketika berucap dalam candle light vigil, sebagai solidariti kepada keluarga mendiang Teoh Beng Hock untuk mencari kebenaran.

"Kita turun ke jalan raya untuk mencari demokrasi, namun akhirnya kita menemui negara," kata Wong Chin Huat, yang mendakwa bahawa tanggal 9 Julai 2011 menandakan kelahiran Malaysia 2.0. Teruja dengan sambutan hadirin, beliau memimpin untuk melaungkan "Merdeka!"

Wong Chin Huat berkata, tahanan EO6 kehilangan kebebasan untuk kira-kira 30 hari, dan mendiang Teoh Beng Hock kehilangan nyawanya pada usia 30 tahun - kedua-duanya berlaku dalam zaman pemerintahan Najib Razak. Beliau menaruh harapan agar rakyat Malaysia tidak perlu lagi bertoleransi kepada keganasan pada masa depan, hanya kerana alasan bahawa masyarakat kita terdiri daripada berbilang kaum.

Kira-kira 600 orang menyertai candle light vigil yang diadakan oleh Malaysians for Beng Hock di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KL-SCAH), semalam. Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga, Presiden KL-SCAH Tan Yew Sing, wakil NGO, pemimpin politik seperti Teo Nie Ching, Ean Yong Hian Wah, Jenice Lee, Sivarasa Rasiah, Zuraida Kamaruddin dan lain-lain lagi turut hadir untuk memberi solidariti kepada ahli keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Ambiga: EO6, BERSIH, TBH semuanya menuntut keadilan


Pengerusi BERSIH 2.0 Ambiga Sreenevasan berkata, kita tidak akan melupai Teoh Beng Hock. Malah, kita gagal menggantikan Teoh Beng Hock sebagai seorang suami, anak dan abang yang baik kepada ahli keluarganya. Beliau berkata, usaha menuntut pembebasan EO6, BERSIH 2.0, hinggalah kembalikan kebenaran untuk Beng Hock - kesemuanya menuntut satu perkara, iaitu keadilan, dan mendukung semangat negara hukum (rule of law).

Zuraida Kamaruddin mengakui bahawa dirinya turut merasai kesedihan apabila dimaklumkan kematian Teoh Beng Hock. Beliau pernah bertemu dengan Teoh Beng Hock di pejabat EXCO Selangor, Ean Yong Hian Wah. Beliau mendakwa dirinya nampak harapan apabila bertemu dengan orang muda seperti Teoh Beng Hock.

Ahli parlimen Serdang, Teo Nie Ching dan EXCO Selangor merangkap ADUN Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah menolak kesimpulan Suruhanjaya Siasatan Kematian Teoh Beng Hock bahawa mendiang mati kerana membunuh diri. Mereka merakamkan penghargaan kepada orang ramai kerana tidak melupai Teoh Beng Hock sepanjang dua tahun ini, malah menyeru agar rakyat terus mendesak agar kebenaran dikembalikan kepada keluarga Teoh.

*Lim Hong Siang ialah Editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. Sebahagian kandungan daripada tulisan di atas diterjemahkan daripada laporan MerdekaReview, edisi bahasa Cina.

Empat perkara untuk Najib pulih wibawa

Roketkini.com


KUALA LUMPUR– Sekadar membebaskan enam ahli Parti Sosialis Malaysia yang ditahan di bawah Ordinan Darurat tidak akan memulihkan imej Datuk Seri Najib Razak yang sudah hilang kewibawaannya sebagai Perdana Menteri.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata tidak ada sesiapa yang akan berterima kasih kepada Najib kerana membiarkan penangkapan PSM6 atas tuduhan-tuduhan yang tidak munasabah serta memalukan nama negara di peringkat antarabangsa.

Beliau mencadangkan Perdana Menteri supaya melaksanakan empat perkara penting untuk memastikan Malaysia tidak menjadi bahan ketawa dunia.

Pertama, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara perlu meminta maaf secara terbuka kepada PSM6 kerana ditahan secara tidak adil, manakala Najib pula perlu menggugurkan empat pengisytiharan Darurat sejak 34 hingga 47 tahun lalu di samping memansuhkan Ordinan Darurat serta undang-undang zalim yang lain.

Kedua, menarik balik pengharaman Bersih 2.0 serta menamatkan “demam kuning” pihak berkuasa yang telah menangkap warga-warga yang memakai t-shirt kuning Bersih, dan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pilihan raya bebas, adil dan bersih bagi membuat cadangan-cadangan bernas menjelang pilihan raya umum akan datang.

Ketiga, kerajaan perlu mengambil tindakan tegas terhadap lidah rasmi UMNO, iaitu Utusan Malaysia, yang sejak beberapa bulan lalu telah menghasut kebencian kaum dan agama, yang menjadikan Utusan sebagai ancaman terbesar untuk kempen 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Najib.

Keempat, mendakwa di mahkamah pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah disahkan oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja mengenai kematian Teoh Beng Hock (TBH) sebagai mereka yang telah melakukan kesalahan dan jenayah termasuk berbohong kepada inkues TBH dan RCI TBH.

Menurut Kit Siang, satu skuad penyiasat khas juga perlu ditubuhkan untuk mencari punca sebenar kematian TBH kerana walau pun RCI TBH memutuskan bahawa ia adalah “bunuh diri”, banyak penemuan terbaru hasil RCI TBH yang perlu disiasat, selaras dengan jaminan Najib pada Julai 2009 bahawa kerajaan akan memastikan segala-galanya disiasat sepenuhnya.

“Hanya apabila Najib bersedia untuk melaksanakan empat perkara asas ini, barulah beliau ada harapan untuk memulihkan kewibawaannya yang sudah teruk tercalar sejak lima minggu lalu akibat kezaliman terhadap Bersih 2.0 dan PSM6,” katanya.

Jeyakumar bimbang diperangkap polis

Nigel Aw


Beberapa jam selepas dibebaskan daripada tahanan mengikut Ordinan Darurat semalam, ahli parlimen Sungai Siput Dr D Jeyakumar berkata beliau khuatir polis akan memerangkapnya dan rakan-rakan lain supaya dapat menahan mereka secara berterusan.

psm eo6 release pc 290711 jeyakumar"Apabila kita beri kenyataan kepada polis, mereka tanya kami mengenai lawatan luar negara kami. Saya pernah ke Senegal (untuk) Forum Sosial Dunia, ke Australia (untuk) Perikatan Sosialis Dunia dan M Saraswathy pula pernah ke Vietnam.

"I bimbang mereka akan kaitkan - Parti Komunis Vietnam, Parti Komunis Senegal, saya fikir mereka berusaha ke arah itu untuk memerangkap kami.

"Saya amat takut mereka akan menggunakan alasan itu bagi menggerunkan rakyat Malaysia, (bagi berkata) oh ada plot komunis dalam Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan nasib baik kita sudah berjaya tangkap orang-orang ini,” katanya.

Jeyakumar yang diiringi bapanya, Dr T Devaraj bercakap kepada Malaysiakini malam semalam selepas menghadiri majlis menyambut pembebasannya dan lima yang lain di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor (KLSCAH).

Menurut Jeyakumar, meskipun secara fizikal, beliau dilayan dengan baik, namun kurungan berseorangan menimbulkan ketakutan di dalam dirinya tetapi beliau bertekad untuk bertahan.

psm eo6 release 290711 jeyakumar speech"Saya amat takut mereka akan mencipta cerita (seperti cuba lancarkan peperangan ke atas Yang di-Pertuan Agong) dan gunakan alasan itu untuk menangkap orang lain atau membatalkan pendaftaran parti. Saya juga bimbang mereka akan tahan saya untuk dua tahun, saya cukup tertekan kerana tidak ada hubungan dengan dunia luar...

"Pada sebelah petang, saya buat senaman ringan (di dalam sel) dan apabila berjumpa IO (pegawai penyiasat), saya akan memikirkan soalan (di minda saya), (cuba memikirkan) ke arah mana yang mereka cuba menghala,” katanya.

Mata ditutup, tangan digari

Menceritakan kehidupan seharian mereka selama 28 hari dalam kurungan, Jeyakumar berkata selain perjumpaan dengan polis untuk disoal-siasat dan pembantu perubatan untuk rawatan kesihatannya, tidak banyak yang boleh dilakukan.

psm eo6 release 290711 group photo"Kami bersarapan pada jam 7.30 pagi, (mereka beri kami) roti dan teh-O dan kira-kira 30 minit kemudian, kami dibawa berjumpa dengan pembantu perubatan untuk diperiksa tekanan darah dan diberi keperluan perubatan kami.

"Setiap kali kami dibawa keluar, mata saya ditutup dan digari - setiap hari. Malah ketika dibawa ke klinik, kita tidak akan tahu ke mana kita sedang tuju, hanya selepas sampai di klinik, penutup mata akan dibuka.

“Selepas itu, antara jam 9.30 dan 11.30 pagi, IO akan datang, ada kala pagi, petang dan kadang-kadang dia langsung tidak datang dan ada hari pula dia datang dua kali sehari.

"Selepas IO selesai, kami dibawa semula ke sel (untuk makan tengahari). Makanannya bagus, kami diberi nasi putih dengan ayam atau ikan. Pada jam 2 hingga 2.30 petang, kami dibawa semula berjumpa IO dan kembali semula ke sel pada jam 5.30 petang,” katanya.

Di sebalik pengalaman ngeri itu, Jeyakumar berkata beliau tidak gentar dengan penahanan itu dan label komunis yang cuba dikaitkan dengan dirinya. Katanya, beliau masih teguh pendirian dan kerja-kerjanya dengan PSM.

Momokan

"Ini momokan (kerajaan). Bila kami bentuk parti ini (PSM) kerana berpendapat perlu ada kumpulan yang memperjuangkan masalah rakyat Malaysia yang ada kalanya dipinggirkan kerana tekanan pembangunan.

“Ketika itu, kami bekerja di sektor estet, banyak pembangunan (berlaku) dan ramai orang yang diberhentikan kerja dengan pampasan kecil (dan) tiada rumah yang sewajarnya, jadi mereka dirikan kawasan setinggan. Beberapa tahun kemudian, apabila kawasan itu dibangunkan, mereka dihalau keluar.

psm released in penang bersih 1"Kami menjadi parti sosialis bukan kerana teori bahawa kami akan belajar mengenai komunisme dan berkata ia idea yang baik. Kami melihat apa yang berlaku pada peringkat akar umbi, dan perlu membela golongan terpinggir ini.

"Dan apabila kami memperjuangkan isu itu dan mengketengahkannya, kami kemudiannya sedari ia terletak di bawah sosialisme,” katanya.

'Idris Jala kekal jika Pakatan ambil alih Putrajaya'

Nigel Aw


Apa perbezaan di antara Model Baru Ekonomi (MBE) kerajaan BN dengan Buku Jingga Pakatan Rakyat?

“Kemahuan politik (political will),” kata pengarah strategik PKR Rafizi Ramli dalam panel diskusi perbincangan Persidangan Pemimpin Pelajar ke-5 di Kuala Lumpur.

ukec forum 300711 speakers public policy tony pua idris jalaKatanya, besar kemungkinan Pakatan akan mengekalkan sesetengah elemen dalam MBE jika gabungan itu berjaya menguasai Putrajaya kerana kedua-dua rancangan itu mempunyai persamaan.

Menurut Rafizi, tindakan itu termasuk mengekalkan perkhidmatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala - yang dipilih oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak untuk melaksanakan pembaharuan ekonominya.

"Saya tidak boleh bercakap bagi pihak Pakatan, tetapi saya pasti jika kita berjaya ke Putrajaya, besar kemungkinan Idris Jala akan kekal di mana beliau berada,” katanya.

NONENamun, Rafizi menegaskan apa yang membezakan BN dan Pakatan ialah 'kemahuan politik' membawa perubahaan meskipun kepentingan parti masing-masing mungkin terjejas.

“Sebahagian besar prinsip asas MBE hampir sama (dengan Buku Jingga) tetapi ia bergantung kepada sama ada sesuatu kerajaan itu mempunyai kemahuan politik untuk merungkaikan perjanjian (yang berat sebelah dengan sektor swasta),” kata Rafizi.

Idris, yang juga menjadi ahli panel diskusi itu menyapa komen Rafizi dengan mengukirkan sebuah senyuman.

"Terima kasih, (sekurang-kurangnya) kita ada satu perjanjian di sini,” katanya.

Forum bertajuk 'Menjana Malaysia Ke Hadapan Melalui Program Transformasi' ini juga menyaksikan pertikaman lidah dan suasana hangat membabitkan Idris, Rafizi dan ahli parlimen PJ Utara Tony Pua berhubung apa yang perlu dilakukan Malaysia bagi melepasi perangkap menjadi negara penduduk berpendapatan sederhana.

tony pua ukec student summitAhli panel keempat diskusi ini adalah ahli jawatankuasa pusat MCA Ti Lian Ker.

Pua (kiri) juga melahirkan sentimen yang sama dengan berkata program pembaharuan BN pada dasarnya baik, tetapi kerajaan seringkali gagal memastikan pelaksanaanya.

"Dokumen adalah hampir sama tetapi bezanya adalah kemahuan politik. Tanapa kemahuan politik, semua dokumen tidak berguna. Sebagai contoh, konsep 1Malaysia dalam GTP (Government Transformation Programme), saya pasti 99 peratus mereka di dalam bilik ini menerima konsepnya.

“Tetapi apabila kita mempunyai pemimpin kanan negara seperti timablan perdana menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) berkata beliau mendahulukan bangsanya sebelum sebagai rakyat Malaysia, maka semua itu menjadi bercanggah. Ahli politik mesti mempercayai polisi yang digubal mereka sendiri jika mereka mahu melaksanakannya,” kata Pua.

Sarasvathy: Saya mungkin boleh mati dalam tahanan

Kow Gah Chie


Sebaik sahaja timbalan presiden PSM M Sarasvathy dibebaskan daripada tahanan di bawah Ordinan Darurat, dia teramat gembira sekali kerana dia tahu dia mungkin boleh mati akibat serangan jantung sewaktu dalam tahanan selama 28 hari.

psm eo6 release pc 290711 sarasvathy"Saya diserang sakit teruk di dada kiri saya yang saya syaki adalah serangan sakit jantung. Saya fikir saya akan mati ketika itu," katanya.

"Kesakitan yang teruk sehingga saya tidak boleh bernafas. Ini
adalah pengalaman pertama saya seperti itu," katanya tersenyum pahit apabila ditemuramah oleh Malaysiakini beberapa jam selepas pembebasannya.

Sarasbathy mempunyai alasan untuk merasa takut sedemikian, ekoran rekod serangan jantung dalam keluarganya.

"Ibu saya dan kedua-dua adik saya mengalami serangan sakit jantung. Saya merasa teramat sakit di dada ketika di dalam lokap," dakwa Sarasvathy, 58. Bilik kurungan 'berhantu'

psm eo6 release 290711 group photoSarasvathy berkata, dia mengadu sakit dada dan dihantar ke Hospital Besar Kuala Lumpul sebanyak dua kali - pada 15 Julai dan hari berikutnya.

Sarasvathy juga berkata, kali pertama mengadu sakit dada, dia dihantar ke hospital untuk rawatan perubatan.

Dalam perjalanan pulang, katanya, seorang pegawai memberitahunya yang bilik kurungannya 'berhantu'.

"Ianya antara pukul 1 pagi hingga 2 pagi. Pegawai itu kata ada hantu lelaki yang suka melawat tahanan wanita," katanya.

SB gagal 'brainwash' saya: Tahanan EO

Kow Gah Chie


Walaupun disoalsiasat berjam-jam setiap hari, namun pegawai Cawangan Khas (SB) gagal mempengaruhi tahanan EO yang baru dibebaskan, Choo Chon Kai, supaya meninggalkan perjuangannya.

NONESebaliknya, dalam banyak sesi tersebut sepanjang sebulan
ditahan, ahli jawatankuasa PSM yang berusia 33 tahun itu - yang dibebaskan Jumaat lalu - lebih komited kepada perjuangan untuk Malaysia yang adil dan demokratik.

"Tidak ada (penderaan) fizikal... hanya kaedah 'brainwash' untuk melumpuhkan semangat saya. Mereka menyentuh butiran terperinci mengenai kehidupan saya," kata Choo, ketika ditemuramah Malaysiakini selepas dia dibebaskan.

Katanya, pegawai polis cuba meyakinkannya supaya meninggalkan perjuangannya, tetapi ia membuat dirinya semakin kuat dalam mempercayainya dirinya.

Menurut Choo, mereka bertanya maklumat ketika dia bersama pertubuhan hak asasi manusia - Suaram - beberapa tahun lalu, dan juga selepas dia menyertai PSM pada tahun 2005.

Choo bersama-sama dengan lima lagi rakannya dari PSM ditahan ketika kempen 'Udahlah BN, Bersaralah' di Pulau Pinang pada 25 Jun.

Seminggu kemudian, keenam-enam mereka ditahan di bawah Ordinan Darurat, yang membenarkan tahanan tanpa bicara.

Kesemua mereka dibebaskan Jumaat lalu, selepas ditahan selama 28 hari.

Menurut Choo, polis juga menyoalsiasat mengenai kunjungnnya ke Bangkok.

Salahuddin, Mahfuz fail saman kerajaan

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: Dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Datuk Mahfuz Omar masing-masing telah mengambil keputusan untuk memfailkan saman terhadap Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kerajaan BN berhubung penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka pada 9 Julai lalu.

Tindakan saman tersebut akan dilakukan menerusi syarikat peguam Faiz Fadzil & Co dan akan dikendalikan bersama peguam Zulhazmi Sharif.

Menurut Salahuddin, tindakan tersebut diambil memandangkan penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap mereka sempena himpunan aman Bersih 2.0 di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu adalah tidak sah.

Katanya, penahanan yang dilakukan oleh pihak polis terhadap beliau dan Mahfuz itu adalah di luar kawasan yang diwartakan sebagai kawasan larangan untuk dimasuki oleh mereka.

"Saya dan Datuk Mahfuz ditangkap oleh pihak polis pada jam 11.50 pagi 9 Julai di sekitar KL Sentral. Kemudian saya ditahan di lokap polis di Balai Polis Jinjang dan dibebaskan pada jam 9.30 malam 9 Julai.

"Sepanjang berada dalam tahanan, pihak polis pun tak ambil apa-apa keterangan daripada kami. Kami juga tak diberitahu sebab-sebab penahanan kami itu.

"Tindakan pihak polis terhadap kami itu adalah tindakan yang tidak wajar dan ia ternyata satu penahanan yang tidak sah sebab itulah saya mahu mengambil tindakan sivil terhadap pihak polis, KDN dan kerajaan BN," katanya kepada Harakahdaily.

Ekoran tindakan di luar undang-undang yang dilakukan oleh pihak polis ke atas beliau dan Mahfuz itu, beliau telah membuat laporan polis pada 11 Julai lalu di Balai Polis Petaling, Brickfields, Kuala Lumpur jam 1.01 petang.

Dalam laporannya itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian menyatakan, pada 9 Julai 2011 lalu lebih kurang pukul 11.50 pagi, beliau bersama Datuk Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berada di KL Sentral untuk menghadiri satu sidang akhbar di Hotel Hilton.

Apabila tiba di KL Sentral di sebelah hentian bas ke LCCT, mereka berjalan kaki menaiki tangga ke tingkat atas KL Sentral dan setibanya di pintu masuk KL Sentral, seorang anggota polis lelaki berbangga Melayu menahan mereka.

"Saya dan Datuk Mahfuz telah dibawa oleh anggota polis tersebut bertemu pegawai polis berbangsa India dan pegawai tersebut menyatakan saya dan Datuk Mahfuz ditahan," katanya.

Seorang pegawai polis lelaki berbangsa Melayu, katanya, telah bertanya kepada beliau, adakah beliau tahu terdapat perintah melarang beliau memasuki Kuala Lumpur?

"Saya kemudiannya telah menghubungi peguam saya memaklumkan saya telah ditahan dan ditangkap. Walau bagaimanapun, saya tidak dimaklumkan ke mana saya hendak dibawa. Saya bersama Datuk Mahfuz kemudiannya dibawa ke Lokap Polis Jinjang," ujarnya.

Sepanjang ditahan, beliau tidak dibenarkan menghubungi dan bertemu peguam dan keluarganya dan ini adalah bertentangan dengan Seksyen 28A (2) Kanun Prosedur Jenayah.

"Saya juga tidak diambil sebarang kenyataan oleh pihak polis sepanjang penahanan saya. Saya telah dilepaskan pada lebih kurang jam 9.30 malam. Penahanan saya oleh pihak polis adalah 'mala fide', tidak mengikut Perlembagaan dan melanggar Hak Asasi saya," katanya.

Sementara itu, peguam Zulhazmi ketika ditemui menjelaskan, tindakan saman daripada anak guamnya itu akan difailkan oleh beliau minggu depan atau awal Ogos ini.

Selain Salahuddin dan Mahfuz, jelasnya, tindakan saman ke atas PDRM, KDN dan kerajaan BN berhubung penahanan pada 9 Julai lalu juga akan dilakukan oleh Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.

EO6: Tak perlu ucap terima kasih

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Harun Taib menegaskan bahawa tidak perlu untuk mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana membebaskan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan berita yang menyatakan bahawa pihak polis membebaskan 6 aktivis PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).

“Kita mengalu-alukan pembebasan tersebut tetapi tak perlu kita ucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana penahanan tersebut bertentangan dengan Perlembagaan yang memberikan jaminan hak kebebasan kepada rakyat,” tambah beliau yang juga Adun Manir.

Kata beliau, nampaknya kerajaan sedar dan terpaksa akur terhadap kesalahan mereka dan akhirnya terpaksa membebaskan aktivis tersebut.

Beliau berkata, aktivis tersebut mempunyai haknya yang dijamin oleh Perlembagaan dan kerajaan tidak berhak merampas hak tersebut.

Lynas: Jangan nak untung, rakyat tergadai

Hazayani Zakaria


KUALA LUMPUR: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) mendesak Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menghentikan segera projek pembinaan loji Lynas di Gebeng.

SMM yang menubuhkan Gerakan Mahasiswa Selamatkan Rakyat (GMSR) khusus untuk membawa isu ini menuntut kerajaan agar mempamerkan keseriusan dalam isu Lynas dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan berbanding ekonomi dan teknologi.

Pengerusi GMSR, Mohd Ramzulnasri Kamarusaman berkata, pihaknya menyokong penuh pendirian penduduk Gebeng yang menolak loji memproses nadir bumi tersebut.

Mengulas lanjut beliau berkata,hasil kaji selidik yang dibuat dalam Jelajah Mahasiswa di Gebeng pada 25 dan 26 Jun lalu, didapati hampir 99 peratus daripada 400 responden yang ditemui menolak pembinaan loji Lynas di tempat mereka.

"Walaupun pihak Lynas telah memberi penjelasan demi penjelasan berhubung konflik yang berlaku namun mahasiswa berpendirian untuk mendahulukan rakyat kerana keselamatan mereka dan kesihatan mereka merupakan perkara yang sangat penting untuk diambil kira," katanya pada sidang media di hadapan bangunan Maju Junction, dekat sini hari ini.

Selain itu SMM turut menyeru badan-badan bukan kerajaan (NGO) agar turut sama memberi fokus dalam konflik ini.

"Seperti mana banyak NGO boleh bersatu dalam tuntutan Bersih 2.0 sehingga mampu mencetuskan gelombang perubahan, maka rakyat Gebeng juga perlu diberikan perhatian yang sama," katanya.

Tambahnya, anak muda turut seharusnya turut serta memperjuangkan hak rakyat gebeng untuk mendapat kembali kesejahteraan hidup mereka.

"Bagi mahasiswa adalah tidak keterlaluan jika rakyat memohon untuk sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan bagi menyiasat isu ini kerana isu keselamatan tidak kurang pentingnya berbanding isu lain yang melanda negara," katanya.

Sementara itu, Pengerusi SMM, Ahmad Syukri Abd Razab berkata, mahasiswa tidak akan berdiam diri selagi kerajaan tidak mendengar rintihan hati rakyat.

"Ini bukan aksi kita yang terakhir,kita akan terus bersuara dan menjalankan program-program penerangan sehingga projek ini dihentikan

"Mahasiswa memang sentiasa berhubung dengan NGO seperti Save Malaysia dan Badar untuk membincangkan perkembangan lanjut," katanya.

Terdahulu, mereka seramai 15 orang menemui orang ramai disekitar bandaraya bagi bagi memberi penerangan berkenaan isu Lynas.

Mereka mengedarkan risalah khas berhubung isu ini dan berkongsi pandangan dengan masyarakat mengenai isu-isu setempat mahupun nasional yang menimpa masyarakat termasuklah isu-isu terkini seperti isu Bersih 2.0 dan penggunaan biometrik dalam pilihan raya akan datang.

Ditanya respons orang ramai berhubung isu yang dijelaskan mereka, Ramzulnasri berkata rata-rata mereka yang ditemui tidak tahu tentang isu Lynas.

"Majoriti orang ramai yang kami temui tadi tidak tahu apa itu Lynas apatah lagi nasib penduduk Gebeng setelah kilang itu dibina.

"Melihat kepada respons mereka tadi,adalah menjadi tanggungjawab kami untuk terus menerangkan isu ini hingga rakyat faham," katanya.

Mereka bergerak daripada stesen transit aliran ringan (LRT) Masjid Jamek ke sekitar Jalan Tun Razak dan pusat membeli belah Sogo.

Ianya merupakan program kedua selepas jelajah ke Gebeng Jun lalu yang menyaksikan Shukri dan seorang lagi anggota GMSR ditahan polis.

Anak Kelantan diseru pulang mengundi PRU 13

Nazri Abdullah


PETALING JAYA, 30 Julai: Atas dasar tanggungjawab untuk mengekalkan kerajaan Islam, seluruh anak Kelantan di perantauan diseru untuk pulang ke negeri itu pada pilihan raya umum ke-13 nanti.

Seruan itu dinyatakan Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika merasmikan Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung di Stadium MBPJ, Kelana Jaya di sini petang tadi.

Beliau yang juga Mursyidul Am PAS berkata, rakyat negeri itu perlu pulang mengundi walau di mana mereka berada dan dengan apa cara sekalipun.

"Kalau ada duit naik kapal terbang, kalau tidak naik kereta, kalau tak dapat juga naik bas.

"Saya tak boleh jamin nak bayar duit, kena tanya bendahari la, kalau ada kita bagi," katanya di hadapan kira-kira 2,000 anak-anak Kelantan yang hadir.

Turut hadir pada majlis perasmian itu kesemua ahli mesyuarat kerajaan negeri termasuk Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaakob, Ahli-ahli parlimen dan Adun-adun Kelantan.

Selain mereka, wakil kerajaan negeri Selangor, Yaakob Sapari yang juga Exco Pembangunan Pertanian, Pengurusan Alam dan Usahawan negeri turut bersama.

Ketua Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zaid Ibrahim juga hadir pada majlis tersebut.

Mengulas lanjut, menteri besar Kelantan itu juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada anak-anak Kelantan di perantauan ekoran kepulangan mereka pada pilihan raya umum 2008.

Kepulangan mereka itu jelasnya telah membantu kemenangan PAS untuk terus memerintah negeri itu.

Mengimbau kembali sejarah empat tahun lalu, beliau berkata kedudukan PAS di Kelantan agak genting sebelum PRU 2008 apabila hanya berkelebihan satu kerusi berbanding BN iaitu 23 PAS dan 22 BN.

Bagaimanapun, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU 2008 itu telah menyebabkan PAS kembali memperteguh kedudukan dengan mendapat 38 kerusi.

Sehubungan itu, kepulangan anak-anak Kelantan pada PRU akan datang sangat-sangat diharapkan.

Tolak biometrik

Dalam pada itu beliau sekali lagi menegaskan menolak hasrat kerajaan menggunakan sistem biometrik pada PRU ke-13 akan datang.

Menurutnya sistem itu bukan sahaja diragui banyak pihak malah terdedah dengan manipulasi oleh pihak yang berkepentingan.

"Umno guna biometrik bagi orang luar (dapat kerakyatan) boleh mengundi. Orang Bangladesh pun boleh mengundi nanti.

"Ini bukti Umno yakin orang Melayu dah tolak dia. Kalau PM (perdana menteri) menang pilihan raya pun nanti, kita kata ini PM Bangladesh," katanya disambut ketawa hadirin.

Sistem biometrik yang digunapakai kepada warga asing juga tegasnya boleh mengancam rakyat negara ini dari sudut kerjaya mereka.

Ini kerana, kebanyakan majikan tentunya akan mengambil orang asing bekerja kerana gaji mereka lebih murah.

Oleh itu, beliau mahu kerajaan menilai semula cadangan itu ataupun kembali kepada tuntutan asal Bersih 2.0 iaitu menggunakan dakwat kekal bagi menghalang penipuan undi berganda dan undi hantu.

Sementara itu, Himpunan Anak Kelantan D'Perantauan yang berlangsung satu hari yang bermula jam 9 pagi tadi menyaksikan hampir 10,000 rakyat Kelantan berkunjung ke stadium itu.

Selain dapat bersemuka dengan anggota exco kerajaan negeri dan wakil rakyat yang lain, orang ramai juga boleh mengenali lebih dekat anak syarikat di bawah kerajaan negeri yang turut serta mengadakan pameran mereka hari ini.

Hadirin juga turut dihidangkan nasi gulai kawah serta pelbagai buah-buahan tempatan yang rata-ratanya disumbang oleh anak-anak Kelantan sendiri.

Bebas tahanan EO bukti p'raya makin dekat

Fakhri Ali


PERMATANG PAUH: Kerajaan disaran supaya tidak sewenang-wenangnya mengenakan tuduhan yang tidak berasas terhadap rakyat negara ini, sekiranya tidak sehaluan dengan kehendak mereka.

Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada surau dan masjid dalam Parlimen Permatang Pauh di Kubang Semang, Penanti, petang semalam.

Mengulas mengenai pembebasan enam aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan baru-baru ini setelah ditahan di bawah Ordinan Darurat sejak 2 Julai lalu, beliau berkata, pembebasan mereka adalah kemenangan rakyat yang berjuang selama ini bagi menuntut keadilan dalam negara.

"Sepatutnya, sebagai pemerintah, kerajaan mendakwa mereka lebih awal di mahkamah, dan bukannya meletakkan mereka dalam keadaan bersalah dengan pelbagai tuduhan yang melampau.

"Apabila rakyat bangun dan menuntut keadilan, pemerintah masih lagi dungu tanpa berbuat apa-apa. Setelah keadaan terdesak dan melihat kepada kerugian yang akan mereka terima nanti, barulah tindakan pembebasan akan dilakukan.

"Ini semua adalah salah satu dari mesej awal, bahawa pilihan raya semakin hampir. Kerajaan akan cuba mengambil hati rakyat dengan bersandiwara bagi mengaburi mata rakyat, seolah-olah mereka memberi perhatian terhadap nasib rakyat," tegasnya lagi.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden PKR, juga menyatakan tiada apa yang harus dibanggakan dengan pembebasan tersebut, kerana tindakan kerajaan menahan mereka juga adalah menyimpang dari peraturan sedia ada yang memberi hak kebebasan bersuara kepada setiap rakyat dalam negara ini.

Hadir bersama dalam majlis tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man dan kepimpinan PAS serta PKR Permatang Pauh.

Mansuh undang-undang penahanan pencegahan

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) memperbaharui saranan agar kerajaan memansuhkan kesemua undang-undang penahanan pencegahan.

Pengerusinya, Tan Sri Hasmy Agam berkata, ia perlu digantikan dengan satu undang-undang baru yang berfungsi menurut keperluan keselamatan negara di samping mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sehubungan itu, katanya, Suhakam mengalu-alukan pembebasan enam ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969 selama 28 hari sejak 2 Julai lalu.

Katanya, Suhakam berpuas hati kerana kerajaan telah memberi maklumbalas positif terhadap saranan yang telah dibuat oleh banyak pihak, termasuklah dari Suruhanjaya supaya keenam-enam tahanan tersebut dibebaskan.

“Sesungguhnya adalah menjadi harapan kami agar penahanan secara arbitrari tidak berulang di masa hadapan kerana ianya bertentangan dengan masyarakat yang bebas dan berdemokrasi,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Kesemua enam anggota PSM yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Ordinan Darurat dibebaskan kira-kira jam 5.30 petang Jumaat lepas.

Mereka terdiri daripada ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu dibebaskan di balai polis Jinjang.

Ibu: ‘Aleesha’ tak sempat pakai baju kurung Pahang baru

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA TERENGGANU— Ibu Mohd Ashraf Hafiz Abdul Aziz atau lebih mesra dipanggil “Aleesha”, yang meninggal dunia awal pagi ini terkilan anaknya itu tidak sempat mencuba baju kurung baru yang ditempah untuk dipakai pada sambutan Aidilfitri nanti.

“Arwah tempah baju kurung itu dengan sepupunya dan minta sepupunya menjahit baju kurung Pahang dalam masa satu hari, dan baju itu sempat disiapkan dalam masa ditetapkan.

“Namun, dia tidak sempat untuk melakukan perincian labuci di baju tersebut dan memakai baju kurung warna merah hati itu,” katanya yang hanya ingin dikenali sebagai Yah, 51, ketika ditemui di Rumah Mayat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Mohd Ashraf Hafiz, 26, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, 5 pagi tadi.

Allahyarham yang mengalami kemurungan dikejarkan anggota keluarga ke hospital pada 3 pagi kelmarin setelah mengalami muntah teruk. Dia disahkan mengalami masalah serangan jantung yang tidak stabil atau “unstable angina with cardiogenic shock” dan tekanan darah rendah.

Mohd Ashraf Hafiz yang berasal dari Seberang Takir, di sini, menimbulkan kontroversi apabila mengemukakan permohonan untuk menukar nama di dalam MyKad kepada Aleesha Farhana Abdul Aziz setelah beliau melakukan pembedahan menukar jantina di Thailand dua tahun lalu.

Permohonan itu dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Bagaimanapun, pada 18 Julai lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu menolak permohonan itu setelah mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Menurut ibunya lagi, sebelum meninggal arwah anaknya selalu menyebut perkataan “tidak sempat”.

“Arwah selalu menyebut perkataan tidak sempat nak berjumpa ahli keluarga, tak sempat nak raya, tidak sempat nak perbaharui lesen memandu dan tidak sempat memakai baju kurung yang baru ditempahnya,” katanya dipetik Bernama Online hari ini.

Sementara itu ayah Mohd Ashraf Hafiz, Abdul Aziz Ahmad, 60, berkata dia reda dengan pemergian anak ketiganya itu dan menganggap mungkin itu yang terbaik untuk Allahyarham.

“Dia seorang anak yang baik, manja dan rapat dengan semua ahli keluarga. Semasa menghembuskan nafas terakhir, saya, ibunya dan dua adiknya ada di sisi,” katanya.

Katanya bedah siasat di hospital itu mengambil masa kira-kira sejam setengah.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seberang Takir 4.30 petang tadi dengan dihadiri sanak saudara dan rakan-rakannya.

Sebelum itu, solat jenazah diadakan di surau hospital HSNZ dan sekali lagi di Surau Haji Wan Muda, Seberang Takir.

PRU-13: PKR, DAP tidak positif idea PAS Selangor kongsi kerusi


KUALA LUMPUR— Pakatan Rakyat Selangor tidak menyambut baik cadangan PAS agar komponen perikatan itu ada wakil di setiap kawasan Parlimen bagi memperlihatkan kesatuan mantap mereka menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Sebaliknya, The Malaysian Insider difahamkan rakan PAS - PKR dan DAP — mahu mengekalkan semua kerusi yang dimenangi pada pilihan raya umum 2008, menolak idea bertukar-tukar kerusi.

Pakatan Rakyat Selangor pada pilihan raya umum 2008 memperoleh 17 dari 22 kerusi Parlimen dan 30 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor Khalid Samad mengesahkan perkara itu sambil berkata beliau ada mencadangkan agar setiap Parlimen di negeri terkaya itu mempunyai calon-calon daripada kalangan parti lain untuk kerusi DUN.

Idea itu diketengahkan semasa mesyuarat yang membincangkan pembahagian kerusi pada minggu lalu.

Pakatan Rakyat sudah mula mengadakan perbincangan mengenai pembahagian kerusi ketika spekulasi menyebut pilihan raya umum akan diadakan dalam waktu terdekat.

Mandat semasa hanya akan berakhir April 2013.

“Cadangannya adalah jika PAS bertanding di kerusi Parlimen, PKR dan DAP akan bertanding kerusi DUN. Ini akan membantu kita bekerjasama dan memperlihatkan gabungan tiga parti yang berbeza,” kata Khalid yang juga Yang Dipertua PAS kawasan Shah Alam kepada The Malaysian Insider.

Ahli Parlimen Shah Alam ini juga berkata cadangan itu hanya dibangkitkan di Selangor tetapi ia boleh dilaksanakan di negeri-negeri lain terutamanya di kawasan yang Pakatan Rakyat tewas.

Pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini berkata akan sepakat dan membuktikan parti perikatan itu lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) selepas hasil gabungan pada 2008 menyaksikan mereka menang lima negeri.

The Malaysian Insider difahamkan sementara itu cadangan tersebut selari dengan usaha Pakatan Rakyat bergerak sebagai gabungan yang padu dan ia tidak mustahil untuk dilaksanakan.

“Ada banyak kawasan di mana calon dari DAP atau PAS yang tidak diterima pengundi,” kata sumber itu.

Difahamkan PKR kurang tertarik dengan cadangan itu, yang mana satu-satunya negeri yang dikuasai parti tersebut.

Dalam mesyuarat itu PKR telah mengatakan jika DAP tetap tidak diterima di Kelantan dan calon PAS di Pulau Pinang, maka Selangor tidak seharusnya menjadi bahan kajian.

NGO kaum India tubuh Intraf, garis tujuh inisiatif


KUALA LUMPUR— Sekitar 60 pertubuhan bukan kerajaan kaum India menubuhkan gabungan baru, Barisan Tindakan Transformasi dan Hak Asasi (Intraf) dengan mengetengahkan tujuh inisiatif untuk dipanjangkan kepada kedua-dua kerajaan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat.

Gabungan itu mengadakan mesyuarat pertamanya semalam dengan meminta kedua-dua kerajaan pusat dan negeri termasuk yang diterajui Pakatan Rakyat melaksanakan tujuh inisiatif, antara lain mengiktiraf undang-undang perlindungan minoriti Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu 1948 dan dasar ekonomi khusus bagi kaum India.

Inisiatif-inisiatif lain ialah kerajaan membiaya kesemua sekolah Tamil di negara ini, melaksanakan peperiksaan kemasukan universiti yang seragam, menggubal dasar-dasar pengupayaan golongan belia, mewujudkan kementerian khas bagi kaum minoriti dan perwakilan yang adil dalam proses membuat keputusan.

Intraf yang turut dianggotai pertubuhan bukan kerajaan yang diketuai bekas pemimpin Hindraf, yang pernah ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri, mengadakan mesyuarat pertamanya secara kebetulan pada hari Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan peruntukan jawatan menteri kedua bagi masyarakat India menerusi MIC.

“Apa yang kami menekankan di sini ialah inisiatif, bukannya tuntutan... bermakna kami juga mahu bersama-sama dalam proses penggubalan dan pelaksanaan inisiatif ini.

“Dulu kami menuntut dan menyerahkan kepada kerajaan agar melaksanakannya, tetapi mulai sekarang tidak lagi, kami mahu sertai dalam proses pelaksanaan,” kata Setiausaha Eksekutif Intraf Gobi Krishnan ketika ditemui malam tadi.

Kata beliau, meskipun gabungan ini mewakili pertubuhan bukan kerajaan masyarakat India tetapi sebahagian inisiatif yang digariskan akan membantu kesemua kaum minoriti negara ini.

“Kami akan menyediakan kertas keras membabtikan setiap inisiatif pada mesyuarat kedua September ini,” kata beliau.

Menyentuh mengenai peruntukan jawatan menteri kedua kepada masyarakat India, kata Gobi, pihaknya berharap Najib akan mewujudkan satu unit khas bagi kaum India di Jabatan Perdana Menteri ataupun kementerian khas bagi kaum-kaum minoriti negara ini.

“Jawatankuasa Kabinet sedia ada tidak efektif sangat, jadi kita berharap unit khas atau kementerian khusus akan diwujudkan selepas ini, (Presiden MIC) Datuk G Palanivel boleh mengetuainya,” kata beliau lagi.

Pegawai Jakim: Wahabi dan Syiah sumber ancaman utama, perlu dibendung


KUALA LUMPUR— Seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berkata Wahabi dan Syiah merupakan ancaman utama kepada keselamatan negara dan pihak berkuasa perlu memberi perhatian secara menyeluruh untuk membendung kedua-dua fahaman itu agar tidak membawa kepada pemikiran radikal.

“Ancaman pemikiran terbesar di negara kita sekarang ialah Wahabi dan Syiah... pemikiran yang ekstrem... (kerajaan) perlu bendung bagi mengharmonikan amalan fahaman Sunah Waljamaah di Malaysia,” kata Zamihan Mat Zin, yang kini merupakan Penolong Pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras di Institut Latihan Islam Malaysia, agensi di bawah penyeliaan Jakim.

Zamihan, yang menjadi perhatian di sebalik polemik fahaman Wahabi sejak tahun lalu berkata, “jika tidak dibanteras, ia berpotensi untuk mengganggu-gugat sistem etika pengurusan hal ehwal Islam di Malaysia.”

Zamihan berkata mengikut kajiannya fahaman Wahabi dan Syiah masing-masing mempunyai pengikut sekitar sejuta orang.

Dalam satu pertemuan di pejabatnya di Bandar Baru Bangi baru-baru ini, Zamihan memberitahu The Malaysian Insider, jika dibiarkan ia akan “menyuburkan gejala ekstremisme agama sebagaimana berlaku di Pakistan, Afghanistan, Iraq, Indonesia dan Chechnya.”

Sambil menarik perhatian kepada tindakan sesetengah pihak melakukan perkara itu dengan sokongan pihak luaran, beliau menambah, ada pendakwah yang menerima bantuan kewangan dalam bentuk elaun daripada menerusi kedutaan asing di sini untuk mengadakan aktiviti yang boleh menyuntik fahaman.

“Ada pendakwah menerima elaun bulanan, dalam jumlah besar... memang ada bukti. Memang pihak berkenaan akan menafikan, kalau saudara tanya mereka mesti menafikan, tetapi kami ada bukti,” kata beliau lagi.

Dalam ulasan sebelum ini, Zamihan mempertahankan tindakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sambil menegaskan, isu amalan Wahabi menjadi semakin serius.

Zamihan juga mendakwa sebelum ini bahawa amalan fahaman Wahabi berleluasa dengan mendapat perlindungan dan campur tangan ahli-ahli politik, malah menular ke agensi-agensi agama di peringkat nasional dan negeri.

MKN telah mengadakan mesyuarat khas Isnin lalu bagi membincangkan perkara tersebut. Difahamkan mesyuarat merumuskan pihak-pihak dipercayai ada kaitan dengan amalan Wahabi akan berakhir dengan pembabitan dalam terorisme.

Mesyuarat itu susulan kepada pertemuan tahun lalu yang membincangkan isu berkenaan amaln Wahabi di peringkat pusat pengajian tinggi dan di Bukit Aman.

Ia telah menyenaraikan beberapa nama pemimpin yang popular negara ini termasuk tokoh-tokoh ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Mereka ialah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno termasuk Fathul Bari Mat Jahya.

Zamihan menjadi perhatian ekoran pendedahan media tahun lalu susulan satu sesi taklimat yang mengaitkan beberapa tokoh agama dan politik iaitu Asri, Juanda, bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mempunyai kaitang dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Bagaimanapun dalam penjelasan kepada The Malaysian Insider ketika itu, Zamihan menafikan dakwaan bahawa beliau pernah mengaitkan Presiden PAS, bekas menteri besar Perlis dan mufti Perlis dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Berdasarkan laporan The Malaysian Insider semalam, Juanda Jaya melahirkan rasa lega kerana Putrajaya tampil dengan penjelasan mengenai isu Wahabi termasuk penegasan bahawa Arab Saudi tidak mempelopori keganasan dan ajaran sesat di negara .ini menerusi fahaman itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata kerajaan tidak pernah menganggap negara di rantau Asia Barat termasuk Arab Saudi sebagai negara yang mempelopori keganasan dan ajaran sesat.

Sebaliknya kata Jamil Khir, kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan negara di rantau itu kerana tiada bukti yang boleh mengaitkan mana-mana negara dengan aktiviti keganasan.

“Bagi pihak kerajaan, kita sentiasa menjaga hubungan yang terjalin antara negara luar termasuk Arab Saudi, Jordan, Iraq dan sebagainya.

“Selain itu, kita ambil pendekatan berhati-hati agar unsur-unsur keganasan tidak cuba dibawa masuk ke negara ini kerana ia akan membawa perpecahan,” kata beliau.

Jamil Khir berkata secara umumnnya keganasan pada waktu ini bukan atas nama kumpulan atau negara tetapi ia kadang-kadang datang daripada individu-individu tertentu.

Pertemuan dengan Zamihan berlangsung sehari sebelum kenyataan rasmi Jamil Khir itu.

Ditanya mengenai dakwaan berkaitan amalan Wahabi dengan hubungan diplomatik, Zamihan berkata, ini bukan soal hubungan dua hala akan terjejas ataupun sebaliknya.

Tetapi kata beliau, ia berkaitan dengan soal membantu menjaga keselamatan dan kepentingan bersama.

“Kalau anda datang ke sini, anda kena jaga sensitiviti kami. Begitu juga apabila kami pergi ke negara anda, kami kena menjaga sensitiviti dengan tidak membawa fahaman kami.

“Saya pasti mana-mana negara pun akan mengambil tindakan atau menghalau keluar jika rakyat negara lain membawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara dikunjungi,” kata beliau.

“Misalnya jika rakyat Iraq datang ke Malaysia dan membawa dadah, dan jika kita tangkap... adakah ia akan menjejaskan hubungan dua hala, hubungan diplomatik. Saya rasa tidak, jadi begitu juga dalam soal fahaman agama ini. Jangan bawa fahaman yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi sambil menambah, “ini bukan tuduhan, tetapi hakikat yang berlaku.”

“Mana-mana negara pun kena penyakit ini,” kata Zamihan yang turut berkata beliau telah membangkitkan isu ini sejak tahun 2006.

Australia pintas pencari suaka, kumpulan pertama dihantar Ke Malaysia

THE MALAYSIAN INSIDER

MELBOURNE — Sebuah bot yang sarat dengan pencari suaka telah dipintas di barat laut Australia hari ini dan penumpangnya akan menjadi kumpulan pertama orang asing yang akan dihantar ke Malaysia di bawah perjanjian pertukaran pendatang antara kedua-dua negara.

Dalam kenyataan hari ini, kerajaan Australia berkata bot berkenaan yang membawa 54 pencari suaka dan dua anak kapal dipintas HMAS Ararat di barat laut Scott Reef di Laut Timor.

Perjanjian yang dimeterai kerajaan kedua-dua negara Isnin lepas memperuntukkan bahawa Malaysia akan mengambil 800 pencari suaka, manakala Australia pula akan mengambil 4,000 orang pelarian tulen dalam tempoh empat tahun.

Menurut laporan Bernama Online, Menteri Imigresen Chris Bowen memberitahu Sky News bahawa pencari suaka itu akan dibawa ke Pulau Krismas sebelum diterbangkan ke Malaysia tiga hari kemudian setelah semua urusan mengenainya selesai dilaksanakan.

Bowen bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kanak-kanak, khususnya yang tidak diiringi waris, yang menjadi penumpang bot itu, akan turut dihantar ke Malaysia.

“Tidak ada sebarang pengecualian. Tapi, kami akan buat penilaian terhadap setiap individu sama ada dia wajar dipindahkan ke Malaysia serta tindakan atau perlindungan tambahan yang perlu diberi kepadanya semasa berada di sana kelak,” kata beliau.

Beliau berkata kerajaan telah menambah jumlah anggota keselamatan, pasukan penilaian, Polis Persekutuan Australia dan kaunselor di Pulau Krismas untuk mengendalikan pencari suaka yang enggan menaiki kapal terbang untuk dihantar ke Malaysia.

Bowen berkata oleh kerana urusan pertukaran pendatang itu merupakan perkara baru, maka kerajaan akan mengamalkan pendekatan “tunggu dan lihat”.

“Bagaimanapun, sekiranya 800 orang berkenaan tidak tiba, Australia akan tetap mengambil 4,000 orang pelarian dari Malaysia sejajar dengan keputusannya meningkatkan jumlah pengambilan orang pelarian atas dasar peri kemanusiaan,” kata beliau.

Sabtu, 30 Julai 2011

Syabas EO6

Aziz Muda


KUALA LUMPUR: PAS mengucapkan syabas kepada enam orang aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang dibebaskan dari tahanan polis jam 5.30 petang semalam.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, PAS mengucapkan 'syabas' kepada keenam-enam mereka di atas ketahanan mereka menghadapi segala dugaan sepanjang berada dalam tahanan pihak polis.

Menurut beliau, berada dalam tahanan polis atas Ordinan Darurat (EO) bukanlah sesuatu yang mudah sehingga terpaksa menghadapi pelbagai dugaan, tetapi kejayaan mereka menghadapinya pasti membanggakan semua pihak termasuk para pemimpin PAS.

Katanya, selain terpaksa mempunyai kekuatan mental dan fizikal pada diri sendiri, mereka juga terpaksa merasai sama kesusahan yang ditanggung oleh isteri, anak-anak atau seluruh keluarganya.

"Pada hal, mereka ditahan tanpa sebarang kesalahan. Mereka sebenarnya ditahan kerana nak halang penyertaan mereka dalam himpunan aman Bersih 2.0 anjuran Bersih di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

"Ini bermakna mereka sebenarnya bukan ditahan di bawah EO, tetapi ISA, tetapi diselindungkan di bawah EO bagi mengelabui mata orang ramai," katanya ketika ditemui Harakahdaily, semalam.

Mereka yang ditahan itu terdiri daripada Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar, anggota jawatankuasa PSM pusat, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy, Setiausaha Bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu.

Tindakan penahanan ke atas mereka ditentang keras oleh PAS, PSM, PKR, DAP atau Pakatan Rakyat, Bersih 2.0 dan ratusan NGO di tanah air, di samping Dr D Jeyakumar sendiri yang turut menunjukkan protes kentalnya dengan mengadakan mogok lapar mulai semalam bagi menentang pendirian pihak polis berhubung penahanan ke atas mereka.

Mereka yang dikenali sebagai PSM6 itu pada mulanya ditahan bersama 24 orang lain atas dakwaan mahu 'melancarkan perang terhadap Agong', tetapi pada jawapan balas permohonan afidavit habeas corpus berhubung pembebasan mereka, polis mendakwa mereka sebagai penggerak utama Bersih 2.0.

Permohonan habeaus corpus itu bagaimanapun ditangguhkan kepada 5 Ogos, lima hari selepas tahanan 30 hari mereka berakhir tetapi polis berhak melanjutkannya selama 30 hari lagi.

Mereka ditahan secara tidak sah di bawah EO selama 28 hari dan dibebaskan pada jam 5.30 petang semalam di Balai Polis Jinjang.

Sepanjang tempoh penahanan mereka, peguam dan aktivis masyarakat tidak putus-putus membuat desakan terhadap pihak polis agar membebaskan mereka. Antara protes yang diadakan termasuklah mengadakan perhimpunan dengan menyalakan lilin di beberapa tempat pada setiap malam termasuk di pintu depan Ibu Pejabat Polis di Bukit Aman.

Pembebasan mereka disambut dengan penuh kegembiraan oleh seluruh para pemimpin Pakatan Rakyat, Bersih 2.0 dan puluhan NGO di tanah air.

Sebagai meraikan pembebasan mereka, lebih 50 orang aktivis PSM, parti politik dan NGO menunggu ketibaan mereka di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Wilayah Persekutuan (KLSCAH), di sini, sejak petang semalam.

Bekas tahanan pertama tiba di KLSCAH, Dr D Jeyakumar kira-kira jam 8.15 malam semalam dengan kenderaan yang dipandu peguam, Edmund Bond dan disambut dengan laungan ‘Hidup-hidup, Hidup Rakyat’, manakala Choo Chon Kai, M. Sukumaran, M Sarasvathy, AP Letchumanan dan R Sarat Babu tiba sekitar jam 8.45 malam.

Antara kepimpinan Pakatan Rakyat yang turut menyambut pembebasan mereka termasuklah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar yang turut menyeru hadirin supaya meneruskan perjuangan untuk menghapuskan EO. Turut berada di KLSCAH termasuklah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Keadaan di dalam dewan penuh dan di luar dewan, vigil terus diadakan bagi memperingati Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini yang meninggal dunia ketika dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam satu kenyataan media berkata, berikutan pembebasan mereka itu, tindakan selanjutnya ke atas mereka akan ditentukan oleh Jabatan Peguam Negara.

Menurut Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian, pembebasan mereka itu adalah hasil perjuangan rakyat. Jadi pembebasan mereka itu adalah kemenangan rakyat.

"Namun dugaan mereka yang berjuang di luar tahanan tentunya tidak sama dengan dugaan yang terpaksa dihadapi oleh keenam-enam aktivis PSM itu.

"Kita sememangnya amat kagum dengan ketabahan keenam-enam mereka. Jadi, sudah sewajarnyalah keenam-enam mereka itu disambut dengan ucapan 'syabas' oleh setiap rakyat negara ini yang sedang berjuang menuntut keadilan," tegas beliau.

Dengan pembebasan mereka itu, katanya, PAS turut berharap agar mereka dapat bersama Pakatan Rakyat dalam menghadapi pelbagai dugaan dalam perjuangan pada masa akan datang.

Isu Baharuddin: Shuhardi nafi sembunyi, tak mahu bantu siasatan polis

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR— Shuhardi Md. Isa, lelaki yang didakwa berlakon sebagai Allahyarham Baharudin Ahmad yang meninggal dunia dalam perhimpunan haram di ibu negara pada 9 Julai lalu, hari ini menafikan dirinya bersembunyi, melarikan diri dan enggan bekerjasama dengan polis.

Shuhardi yang ditemui pada satu sidang akhbar di sini, sebaliknya berkata beliau tidak pernah menerima sebarang surat rasmi memintanya menghadirkan diri bagi membantu siasatan dari mana-mana balai polis.

“Bukankah polis lebih profesional dan tahu segala prosuder jika mahu seseorang itu memberi keterangan berhubung apa-apa kes? Saya tidak bersembunyi, datanglah ke rumah saya dengan tertib. Saya akan bekerjasama dengan mereka (polis),” katanya.

Shuhardi yang juga Setiausaha Agung Persatuan Usahawan Konsultan dan Pengarah Islam Malaysia (Uruskop) menjelaskan, beliau terpaksa tampil memberi penjelasan berhubung kekeliruan kematian Allahyarham Baharudin kerana ia jelas menjatuhkan maruah dirinya.

“Saya masih hidup... yang meninggal Allahyarham Baharudin. Saya ingat perkara ini dah selesai dan saya tidak perlu tampil beri keterangan kerana ada blogger-blogger yang mengeluarkan gambar saya dengan mengatakan saya adalah Allahyarham Baharudin, telah meminta maaf kepada saya.

“Tapi semalam bila saya lihat komen Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar yang berkata saya dipercayai menyembunyikan diri, saya terpaksa mendedahkan perkara ini,” katanya.

Beliau berkata polis sepatutnya menyiasat mereka yang mengeluarkan kenyataan mengelirukan mengenai dirinya daripada menumpukan siasatan ke atas dirnya sendiri.

“Saya yakin pihak polis mampu membuat siasatan berdasarkan maklumat dalam internet tanpa perlu melibatkan saya. Malah saya rasa polis sepatutnya siasat mereka yang keluarkan kenyataan keliru mengenai mereka. Saya rasa sepatutnya saya yang menyaman mereka (blogger) yang salah dengan mengaitkan nama saya itu,” katanya.

“Tetapi kerana kenyataan maaf dan pembetulan fakta yang dibuat seawal 10 Julai, maka saya menganggap perkara ini tidak perlu diperpanjangkan, malangnya kira-kira seminggu selepas peristiwa Bersih itu, pihak polis dan media masih mengaitkan nama saya,” katanya.

Beliau berkata kekeliruan tersebut terlebih dahulu telah dijelaskan oleh anaknya menerusi “facebook” dengan menjelaskan bahawa gambar yang disiarkan bukanlah gambar Shuhardi yang pengsan dalam perhimpunan tersebut.

Bapa kepada dua isteri dan 10 anak ini mendakwa tidak berkomplot dengan mana-mana pihak tertentu untuk berlakon dalam apa jua “aksi” kematian serta tidak mengenali Allahyarham Baharudin sendiri.

“Saya juga tidak kenal dengan mana-mana wartawan atau jurugambar yang datang buat liputan.Saya bukanlah “desperate” untuk dapatkan sogokan yang tidak bermaruah kerana Alhamdulillah saya hidup mewah,” katanya.

Suhardi berkata beliau bersedia memberikan kerjasama dengan pihak polis dan boleh dihubungi di talian 012-3900740.

Lim: Enam pemimpin PSM bebas tapi wibawa Najib masih cacat

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Lim Kit Siang mengingatkan Datuk Seri Najib Razak bahawa kredibilitinya sebagai Perdana Menteri masih “compang-camping” ekoran cara pentadbiran beliau mengendalikan beberapa isu semasa manakala pembebasan enam pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) semalam tidak mampu membawa apa-apa perubahan.

“Ia adalah kegagalan paling besar kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri, menyebabkan kewibawaannya compang-camping — itu sebabnya kenyataan beliau semalam bahawa pembebasan enam pemimpin PSM, yang ditahan di bawah Ordinan Darurat, adalah ekoran peruntukan undang-undang, menjadi bahan senda,” kata Penasihat DAP ini.

Pemimpin veteran pembangkang ini memberitahu, Najib tidak betul jika beliau beranggapan bahawa kredibilitinya sudah pulih dengan pembebasan enam pemimpin PSM semalam.

Justeru kata ahli Parlimen ini, Najib perlu mengambil empat tindakan dengan segera jika mahu memulihkan kredibilitinya.

Kata Lim (gambar), Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar perlu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada kesemua enam pemimpin PSM dan memansuhkan Ordinan Darurat dan undang-undang pencegahan yang lain dan Najib juga sewajarnya menarik balik pengharaman Bersih 2.0 dan menggugurkan pendakwaan ke atas mereka yang ditahan kerana memakai kemeja-T warna kuning Bersih 2.0.

Selain itu Lim juga meminta Najib mengadakan suruhanjaya diraja bagi mewujudkan sistem pilihan raya yang bebas dan adil.

Lim juga menuntut Najib mengambil tindakan keras ke atas Utusan Malaysia kerana terus membawa tulisan-tulisan berbaur hasutan dan bahaya selain mencetuskan ketegangan kaum.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga menggesa Perdana Menteri mengenakan tindakan ke atas pegawai-pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia yang disenaraikan dalam lapoan suruhanjaya diraja berkaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.

“Hanya apabila Najib bersedia untuk menangani empat isu ini, maka beliau boleh memulihkan kredibiliti, yang terjejas teruk sejak lima minggu lalu ekoran kesilapan kerajaan menangani perhimpunan Bersih 2.0,” kata Lim lagi.

Semalam, Najib berkata kerajaan menerima baik keputusan polis membebaskan enam aktivis PSM dan keputusan itu dibuat berdasarkan pengamatan dan siasatan yang dilakukan oleh polis.

Bagaimanapun, beliau berkata terpulang kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya terhadap enam aktivis tersebut.

Mereka yang dibebaskan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar, 56, setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, A.P.Letchumanan, 49, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, 33 dan M.Sukumaran, 50, timbalan pengerusi PSM, M. Sarasvathy, 58, dan pemimpin pemuda, R.Sarat Babu, 25.

Mereka ditahan pada 2 Julai lepas di Seberang Prai, Pulau Pinang mengikut Seksyen 3 (1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan).

Shahrizat sedih tak sempat bantu Ashraf

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Menteri Pembangunan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil melahirkan rasa sedih tidak sempat memberi bimbingan kepada Mohd Ashraf Abdul Aziz yang ingin menukar namanya kepada Aleesha Farhana apabila pemuda itu meninggal dunia awal pagi tadi. Mohd Ashraf meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah Kuala Terengganu, pukul 5 pagi tadi setelah mengalami masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Shahrizat (gambar) berkata kementerian itu sudah sejak awal menawarkan bimbingan kepada Ashraf kerana berasa prihatin dengan kedudukan pemuda berusia 25 tahun itu, bagaimanapun takdir Allah mendahului segala-galanya.

“Kita dari mula lagi kita amat rasa perihatin kerana kedudukan beliau. Pendekatan kami di kementerian buat ialah pendekatan kebajikan dan tidak menghukumkan orang,” katanya dipetik Bernama Online. “Kita sebaliknya cuba memahami dan membimbing sesiapa juga yang memerlukan bimbingan, terutamanya kepada mereka yang terjebak dalam keadaan terdesak seperti kes Ashraf ini tetapi apakan daya ajalnya sudah tiba,” tambahnya. Beliau turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan berharap mereka dapat bersabar dan menerima takdir itu dengan hati yang terbuka.

“Kita harap keluarganya menerima takdir ini dengan hati terbuka dan jika keluarganya memerlukan bantuan, diharapkan dapat menghubungi saya (Shahrizat) atau pejabat Jabatan Kebajikan Masyarakat secepat mungkin,” katanya.

Menurut beliau, ajal yang telah ditentukan Allah tidak memungkinkan pihaknya yang menawarkan bantuan bimbingan kepada Mohd Ashraf dapat ditunaikan kerana pemergian mengejutkan itu.

Allahyarham yang sebelum ini membibitkan kontroversi selepas memohon kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar namanya, menghembuskan nafas terakhir selepas menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu akibat masalah jantung dan tekanan darah rendah.

Pada 18 Julai lalu, permohonan Mohd Ashraf untuk menukarkan nama dalam Mykadnya kepada nama wanita iaitu Aleesha ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas mengambil kira tiga faktor iaitu kromosom, kewujudan alat kelamin semasa pemohon dilahirkan dan kewujudan organ dalaman.

Lelaki itu membuat permohonan berkenaan 25 Mei lepas dan telah menjalani pembedahan menukar jantina di Thailand pada 2009 setelah disahkan layak dari seri psikologi oleh Pusat Perubatan Pantai.

Permohonan dibuat bagi memudahkannya diterima masuk ke universiti tempatan untuk menyambung pelajaran dan kesukarannya menjalani kehidupan sebagai seorang wanita.

Shahidan: Jamil Khir jelaskan dakwaan tentang Wahabi, terorisme tak benar



Jamil Khir masih belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu Wahabi. — Foto fail


KUALA LUMPUR— Putrajaya dipercayai telah memaklumkan satu mesyuarat penting bahawa sememangnya tidak wujud ancaman keselamatan didakwa dibawa oleh Wahabi, susulan polemik terbaru mengenai isu itu sejak awal minggu ini, kata bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim.

Shahidan berkata, berdasarkan pada maklumat yang beliau peroleh, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom ada memaklumkan bahawa “tiada perkara sedemikian” di negara ini.

Bagaimanapun Shahidan enggan menyebut bila dan lokasi menteri itu menyatakan pendirian tersebut.

Usaha The Malaysian Insider untuk mendapatkan pengesahan Jamil Khir juga tidak berhasil, malah beliau belum memberikan kenyataan rasmi mengenai isu berkenaan.

Jamil Khir memutuskan untuk enggan mengulas isu berkenaan Selasa lalu ketika didampingi wartawan pada satu majlis di ibu negara.

“Mengikut keterangan Datuk Seri Jamil Khir, beliau cuma tidak mahu menyatakan perkara ini secara terbuka setakat ini, tetapi menjelaskan bahawa tiada perkara sedemikian.

“Menurut beliau, pendapat mengatakan Wahabi menjadi ancaman dan menjurus ke arah aktiviti pengganas... ini adalah pendapat individu sahaja, ia telah dibuat di tempat yang tidak sepatutnya dibuat iaitu MKN (Majlis Keselamatan Negara),” kata Shahidan sambil menekankan “majoriti Muslim Malaysia mengamalkan mazhab Syafie.”

Kata Shahidan, mengikut maklumat terbaru diterimanya, mesyuarat Isnin lalu tidak sepatutnya membincangkan perkara tersebut tetapi diteruskan dengan memfokus isu yang kini hangat diperkatakan.

Satu lagi sumber memberitahu The Malaysian Insider bahawa pasukan keselamatan memutuskan amalan Wahabi memang wujud di negara ini, tetapi dakwaan bahawa ia menjadi ancaman ke atas keselamatan negara bukan sesuatu yang membimbangkan buat masa sekarang.

“Memang ada amalan Wahabi, tetapi ia bukan di peringkat yang amat membimbangkan,” kata sumber itu yang tidak mahu identitinya didedahkan.

Malah katanya, maklumat yang digunakan dalam pembincangan Isnin lalu adalah berdasarkan pada perkembangan setakat Februari lalu.

Isu mengenai amalan Wahabi pernah muncul di media massa April lalu dengan memfokus kepada kerajaan negeri Perlis.

Bagaimanapun sumber itu mengakui tindakan mengaitkan isu itu dengan Arab Saudi ada membawa kesan ke atas hubungan kedua-dua negara.

The Malaysian Insider difahamkan mesyuarat Isnin lalu yang hanya memfokus pada isu Wahabi ada menimbulkan dakwaan wujudnya “kesesatan Saudi.”

Dalam kenyataannya, Shahidan juga berkata “isu ini tidak patut dihidupkan semula, yang bertujuan menunjukkan siapa yang kuat.”

Sehubungan itu, Shahidan yang juga ahli Majlis Tertinggi Umno menyambut baik kenyataan Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, Isnin lalu yang menyatakan sokongan kepada bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang didakwa antara mereka yang disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau oleh pihak berkuasa agama negeri.

Turut disenaraikan ialah Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan sekumpulan 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu.

Difahamkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi Umno semalam ada dibangkitkan isu semasa ini.

Dalam satu kenyataan kepada The Malaysian Insider Selasa lalu, Shahidan menggesa pihak berkuasa menyelesaikan isu Wahabi dan kini dikaitkan dengan aktiviti pengganas diselesaikan sama sekali dan tidak mahu terus dibangkitkan lagi.

Beliau merupakan salah seorang daripada empat pemimpin politik dan agama dinamakan dalam senarai “dikehendaki” dalam isu fahaman Wahabi awal tahun lalu.

Bagaimanapun Shahidan sudah beberapa kali menafikan dakwaan sedemikian dan pernah mencabar pihak-pihak yang mempertikaikannya agar mengemukakan bukti.

Jumaat, 29 Julai 2011

SPR berdepan krisis kepercayaan?

Salhan K Ahmad


Timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar hanya mampu mendepa tangan dan mengangkat bahu ketika ditanya mengenai masalah birokrasi dalam membersihkan daftar pemilih.

Wan Ahmad memberi reaksi sedemikian ketika mengulas mengenai amalan sedia ada yang mewajibkan waris pengundi yang meninggal dunia supaya memaklumkan kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) apabila keadaan itu berlaku.

Jelasnya, JPN hanya dapat mengemaskini data berkenaan apabila mendapat laporan daripada waris berkenaan – yang membolehkan SPR mengemaskini data berhubung pengundi berkenaan.

"Tapi bawah sistem sedia ada, balai polis yang mengeluarkan permit mengkebumi jenazah tidak dirangkaikan dengan JPN.

"Kita tidak boleh hanya padamkan nama orang dalam daftar pemilih," katanya lagi yang mengundang keluhan daripada kira-kira 300 orang yang hadir di majlis forum anjuran Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (Proham) itu.

Bercakap dalam debat pusingan kedua bersama pengerusi BERSIH Datuk S Ambiga, Wan Ahmad turut menjelaskan bahawa SPR berusaha membersihkan sehingga 7,000 nama pengundi yang meninggal dunia daripada daftar pemilih setiap bulan.

Menjawab soalan berhubung cadangan supaya pemilih didaftarkan secara automatik sebaik mencapai usia layak mengundi pula, Wan Ahmad berkata cadangan berkenaan boleh dikemukakan kepada kerajaan.

"Tetapi dalam sistem sekarang, kerajaan perlu setuju dengan pindaan itu dahulu, barulah rang undang-undang itu boleh didrafkan oleh Peguam Negara.

"Kita mungkin fikir perkara itu betul tapi ada orang yang berfikiran berlainan," katanya lagi yang menambah rakyat juga perlu diberi hak untuk memilih sama ada mereka mahu mendaftar sebagai pemilih.

Jawapan itu nyata tidak memuaskan hati beberapa orang yang hadir sehingga ada yang mencabar Wan Ahmad supaya bertindak meletak jawatan atas dasar prinsip sekiranya cadangan mereka enggan diterima oleh kerajaan.

Wan Ahmad turut dicabar sekali lagi supaya mendedahkan cadangan pindaan yang dikemukakan olehnya kepada kerajaan sebelum ini agar dapat memulihkan persepsi yang timbul terhadap badan pengurus pilihan raya itu.

Pengerusi jawatankuasa hak asasi manusia Majlis Peguam, Andrew Khoo berkata, SPR perlu tegas dalam mengemukakan pindaan itu atas dasar prinsip.

Seorang lagi yang mengemukakan soalan, bekas hakim kanan Datuk KC Vohrah berkata, Peguam Negara tidak berhak untuk menentukan perkara yang betul atau salah bagi pihak SPR.

"Saya tidak faham mengapa Peguam Negara perlu draf undang-undang anda. Sepatutnya anda pergi kepada peguam negara dan pertahankan pendirian anda," kata Vohrah lagi yang merupakan bekas penasihat kanan di Jabatan Peguam Negara.

Terdahulu, moderator forum berkenaan, Tan Sri Ramon Navaratnam turut meminta hadirin supaya mengangkat tangan sekiranya mereka melihat SPR sebagai badan yang tidak bebas.

Hampir kesemua yang hadir di majlis berkenaan mengangkat tangan apabila ditanya sedemikian.

Wan Ahmad dalam penjelasannya kemudiannya sekadar berkata, permintaan itu terlalu besar dan para hadirin sepatutnya perlu lebih munasabah.

"Anda perlu munasabah kerana kita bekerja dalam sistem. Hakim juga boleh tekankan apa saja reformasi tapi kita perlu bekerja di dalam sistem," katanya lagi dalam forum yang turut disertai peguam veteran Datuk Mohd Shafee Abdullah.

Perangi kos hidup, satu lagi janji manis Najib

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: Setelah berdepan pelbagai keluhan dari rakyat berhubung bebanan kos hidup yang tinggi, terbaru Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pula mahu memerangi kos kehidupan rakyat.

Perangi Kos Kehidupan Yang Kian Meningkat merupakan satu lagi tambahan dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diumumkan Perdana Menteri kelmarin.

Bagaimanapun ianya dilihat todak banyak beza dengan apa yang dijanji kerajaan sebelum ini yang sehingga kini masih terus terbeban dengan kos hidup yang terus meningkat.

Ketua Penerangan PAS Perak, Drs Khalil Idham Lim ketika diminta mengulas perkara itu berkata, janji terbaru Najib itu seperti biasa hanya sebagai "gula-gula politik" untuk menghadapi pilihan raya umum ke-13.

Menurutnya, kenyataan itu sendiri membuktikan bahawa pentadbiran BN yang diterajui Najib masih gagal menjadikan rakyatnya hidup dengan selesa biarpun pelbagai program telah dijanjikan.

Ianya termasuk slogan 1Malaysia-rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan, juga gagal dirasai rakyat.
.
"Najib mengambil langkah ini kerana angin pilihan raya umum 13 telah makin terasa dan makin hampir, maka janji politik yang bersifat gula-gula PRU ini muncul secara tiba-tiba walhal pada hakikatnya beliau (Najib) sebenarnya gagal unruk membela dan menyelesaikan masalah rakyat bawahan," katanya.

Tambahnya lagi, bebanan yang ditanggung rakyat pada hari ini adalah disebabkan kelemahan pengurusan kerajaan malah ditambah lagi dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa sehingga merugikan wang rakyat berbilion ringgit.

"Sesuatu yang baru cuba dijanjikan kepada rakyat demi untuk terus berkuasa," ujarnya yang juga Adun Titi Serong.

Pulih imej selepas Bersih 2.0

Beliau juga tidak menolak kemungkinan pengumuman Najib itu sebagai "damage control" selepas berdepan dengan kebencian rakyat ekoran tindakan kerajaan dalam menangani peserta himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.

Sejak himpunan itu jelasnya, kebencian rakyat khususnya anak muda kian membuak sehingga wujudnya pelbagai laman peminat di Facebook yang mahukan perdana menteri itu meletak jawatan.

"Perdana Menteri sekali lagi mahu perbodohkan rakyat serta mahu mengambil semula hati rakyat yang telah membenci kerajaan Umno BN setelah terdedahnya kezaliman kerajaan terhadap rakyat yang berhimpun secara aman baru-baru ini," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, beliau mahu rakyat menilai sejauh mana keberkesanan pentadbiran negara dalam menjaga kebajikan rakyatnya.

Badar kesal, pejabat MB Pahang kosong sambut mereka

Helmi Ibrahim


KUANTAN: Badan Bertindak Anti Rare Earth Refinery (Badar) menyatakan rasa kesal dan amat berdukacita di atas sikap yang di tunjukkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob dalam menangani isu Lynas yang sarat di rundung kontroversi yang tidak berkesudahan.

Ini dapat di lihat melalui keengganan MB untuk menerima delegasi Badar yang berkunjung bagi menghantar memorandum bantahan di pejabat Menteri Besar di Wisma Sri Pahang pada Rabu 27 Julai lepas.

“Kita sudah menghantar surat sebanyak dua kali bagi mendapatkan tarikh pertemuan dengan Menteri Besar iaitu pada 14 Julai dan hari ini 27 Julai 2011. Surat pertama kami dibalas secara rasmi dengan memaklumkan bahawa Menteri Besar mempunyai jadual yang telah di atur terlebih awal dan meminta agar kami mencadangkan satu tarikh cadangan yang baru.

"Namun apabila kami mencadangkan tarikh baru, kami di maklumkan melalui telefon bahawa tiada pertemuan khusus bagi isu Lynas dan MB akan bertemu dengan orang ramai pada sesi umum selepas hari raya nanti,” jelas Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia, Zulkefly Mohamad Omar yang juga Penasihat Badar.

Justeru, mereka mengambil keputusan untuk mengunjungi juga pejabat Menteri Besar pada tarikh yang di tetapkan di sebabkan oleh beberapa perkembangan terkini berhubung isu Lynas yang memerlukan tindakan segera di buat.

Namun mereka hampa apabila mendapati pejabat MB kosong, cuma yang ada hanya kerani sahaja dan tiada siapa yang sanggup menerima memorandum penduduk Balok.

“Ini jelas menunjukkan sikap tidak rasional Menteri Besar dalam menangani isu ini di mana beliau seharusnya mengarahkan wakilnya menerima kedatangan penduduk dan mendengar luahan hati mereka. Seolah-olah ada sesuatu yang ingin di sembunyikan oleh beliau dan justeru itu cara terbaik ialah mengelak dari berdepan dengan penduduk," kata beliau kesal.

Bagi beliau, sikap beliau juga jelas bertentangan dengan pendirian Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang menerima baik kedatangan Badar dan mengadakan sesi perbincangan dua hala.

Ini seolah-olah mengiayakan lagi pengakuan MITI bahawa kerajaan gagal untuk bersikap telus dengan rakyat berhubung isu Lynas ini namun MITI di katakan telah berusaha untuk memperbaiki keadaan tersebut.

"Tetapi sikap Menteri Besar Pahang ini jelas bertentangan dengan pendirian MITI. Adakah ini satu gambaran betapa bercelarunya perjalanan projek ini, tiada penyelarasan antara kerajaan pusat dan negeri?” soal Penasihat Badar itu.

Pihaknya mengharapkan Menteri Besar dapat menyatakan setakat mana kuasa beliau dalam isu ini kerana mereka tahu setiap pelaburan harus melalui Menteri Besar dan yang paling penting adalah yang berkaitan dengan kelulusan tanah.

Kenyataan yang mengatakan projek ini adalah bidang kuasa kerajaan pusat adalah kenyataan yang amat tidak bertanggungjawab, tambahnya.

"Beliau tidak patut berlepas tangan dan memandang ringan isu ini kerana ianya bukan hanya melibatkan rakyat dan negeri Pahang tetapi melibatkan seluruh negara kerana pengecualian cukai terhadap Lynas selama 12 tahun menyebabkan kantung negara kehilangan hasil yang sepatutnya di nikmati oleh seluruh rakyat Malaysia,” tambahnya.

MPK diarah jangan terima


Dalam pada itu Badar turut mengunjungi pejabat Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) pada tengaharinya bagi maksud yang sama dan juga bagi mendapatkan penjelasan lanjut MPK berhubung beberapa kemusykilan yang timbul hasil dari perbincangan dengan MITI tempohari.

(Delegasi Badar yang diketuai penasihatnya semasa sidang Media di pejabat MPK)

Walau bagaimanapun delegasi Badar turut di halang untuk bertemu dengan Yang Di Pertua MPK.

Menurut pegawai Perhubungan Awamnya Puan Haslinda, mereka di arahkan untuk tidak memberikan apa-apa kenyataan berhubung isu Lynas dan ini merupakan arahan dari kerajaan negeri.

Mengulas isu berkenaan, Tuan Haji Zulkefly menyifatkan larangan untuk bertemu dan mendapat penjelasan dari kakitangan awam merupakan gambaran terhadap sikap tidak telus kerajaan negeri.

"Kenapa perlu takut untuk berdepan dengan rakyat seandainya kerajaan dan agensinya berada di pihak yang benar?" tanya beliau.

Badar tegasnya dengan sokongan padu dari Lajnah Alam Sekitar PAS Malaysia akan meneruskan usaha-usaha yang telah di atur dan tetap bertegas bahawa Lynas mesti di hentikan segera.

DAP ketepikan Cina utamakan Melayu, dakwa MCA

Harakahdaily


PULAU PINANGi: Rakan karib Umno, MCA hari ini membelasah DAP kerana memberikan semua kontrak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang kepada orang Melayu, Bumiputera dan India Muslim tapi tidak kepada orang Cina dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Wanita MCA Pulau Pinang Tan Cheng Liang menempelak DAP yang didakwa mereka mengetepikan kaum Cina dalam penanugerahan kontrak JPS Negeri Pulau Pinang sejak mengambil alih tampuk pemerintahan negeri tersebut pada tahun 2008.

“Tiada seorang pun kontraktor Cina dalam lima kawasan yang dianugerahkan projek JPS Negeri. Ini bukti bahawa walaupun dengan sokongan orang Cina untuk Lim Guan Eng dan DAP, hak orang Cina semakin terhakis selepas DAP berkuasa.

"Ini kerana DAP berpandangan ke hadapan dan sedar bahawa mereka tidak boleh mengharapkan sokong orang Cina selama-lamanya untuk mengukuhkan kuasa politik mereka di pilihanraya umum akan datang, tapi saya harap cubaan mereka untuk memberikan imej yang baik kepada semua kaum tidak dilakukan dengan menggadaikan hak orang Cina,” tulis beliau dalam satu kenyataan yang dipaparkan di laman web MCA.

Merujuk kepada kenyataan Guan Eng, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang pada 27 Julai yang lalu, Tan mengatakan kekesalannya apabila semua projek JPS Negeri diberikan kepada orang Melayu, Bumiputera dan India Muslim, di mana antara penerimanya 20 peratus adalah wanita.

“Oleh itu, saya terkejut dan saya tidak dapat memahami mengapa tiada satupun kontrak diberikan kepada mana-mana kontraktor Cina.

"Saya percaya bahawa kontraktor Cina sedar akan tender projek itu dan telah mengemukakan permohonan. Oleh itu, adakah kerajaan negeri menganggap permohonan mereka tidak lengkap?” soal beliau.

Pada pendapat Tan, kerajaan pimpinan Guan Eng sepatutnya adil kepada semua kaum dan tidak sewenang-wenangnya memberikan kontrak kepada kaum Bumiputera untuk membuat parti tersebut kelihatan ‘adil’.

Tan juga memberikan amaran secara tidak langsung kepada kerajaan Pulau Pinang dengan memberikan peringatan bahawa kontraktor-kontraktor bukan Cina yang dilantik mungkin ada masalah kredibiliti dalam menyiapkan kerja mereka dan menyeru kerajaan negeri berhati-hati ketika memilih kontraktor.

“Mereka juga harus memastikan kontraktor yang dilantik boleh menyiapkan projek tersebut dan tiada masalah yang wujud kepada infrastruktur negeri untuk menjaga kebajikan dan keselamatan rakyat,” tambah beliau.

Kenyataan Tan hari ini sekaligus telah memberi tamparan dan menidakkan tindakan Kimma, Umno dan media tradisional khususnya yang seringkali menuduh kerajaan DAP Pulau Pinang telah menganiaya orang Melayu.

Teliti semula pembuangan pelajar di Mesir

Hazayani Zakaria


PUTRAJAYA: Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) hari ini mendesak kerajaan Malaysia meneliti kes pembuangan pelajar Malaysia di Mesir kerana terlibat dengan perhimpunan Bersih 2.0 di sana.

Seorang pelajar Darul Ifta', Firdaus Mazlan dibuang universiti kerana disyaki menjadi penggerak kepada perhimpunan Bersih 2.0 di Mesir sedangkan beliau merupakan pelajar semester akhir.

Desakan tersebut dibuat dalam satu memorandum yang diserahkan kepada Wisma Putra Kementerian Luar Negeri, dekat sini hari ini.

Memorandum tersebut turut membantah tindakan Jabatan Penuntut Mahasiswa Kaherah (JPMK) yang mengambil tindakan menarik balik biasiswa terhadap mahasiswa yang terlibat dengan perhimpunan tersebut.

Selain itu, Gamis juga membantah tindakan kedutaan Malaysia yang ingin mengharamkan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kerana didakwa menghasut mahasiswa menyertai perhimpunan Bersih 2.0.

Naib Presiden Korporat dan Pengantarabangsaan Gamis, Abdul Razak Omar berkata, Gamis tidak mahu isu kebajikan pelajar Malaysia di luar negara dicemari dengan campur tangan politik.

"PMRAM hanyalah sebuah badan yang menguruskan kebajikan pelajar Malaysia di Mesir, tidak ada campur tangan politik. Kami tidak mahu isu kebajikan pelajar dilibatkan dalam mana-mana isu politik," kata beliau selepas penyerahan memorandum tersebut.

Sehubungan itu, Gamis menggesa Wisma Putra membuat kenyataan secara terbuka berhubung pendirian mereka dalam isu melibatkan mahasiswa ini.

"Kita minta Wisma membuat respons melalui media mengenai tuntutan kita dan nyatakan pendirian mereka," katanya.

Tiada laporan daripada kedutaan

Sementara itu, Razak berkata, pihak Wisma Putra memberitahu Gamis bahawa mereka tidak menerima laporan daripada Kedutaan Malaysia di Mesir berhubung perkara ini.

Mereka juga mendakwa kes buang universiti dan kebajikan mahasiswa terletak di bawah tanggungjawab KPT.

"Kami minta Wisma Putra berbincang dengan pihak KPT mengenai perkara ini," katanya.

Sementara itu, setiausahanya, Akram Ikrami Taib Azamuddin berkata, pihaknya juga akan menyerahkan memorandum yang sama kepada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar memainkan peranan dalam kes melibatkan kebajikan mahasiswa Malaysia di luar negara.

"Selain menunggu maklum balas daripada pihak Wisma Putra berhubung tuntutan kami, Gamis juga akan menyerahkan memorandum ini ke KPT dan memohon KPT campur tangan," katanya.

Selain itu, pihaknya juga sedang merancang untuk mengadakan majlis solat hajat melibatkan mahasiswa Islam di seluruh kampus di negara ini sempena Ramadhan ini.

"Kami akan mengambil tindakan selanjutnya dengan mengadakan majlis solat hajat besar-besaran dan berdoa agar tekanan terhadap semua mahasiswa kita di Mesir dihentikan dan dapat meneruskan pengajian tanpa sebarang masalah," katanya.

Turut bersama dalam penyerahan itu ialah Naib Presiden Gamis, Azahal Bangsawan, Ketua Penerangan, Mohd Yusuf Hadhari, Pengerusi Majlis Dakwah dan Kebajikan, Mohd Ridhuan Che Hussein.

Kenapa Najib takut sangat guna dakwat celup

Harakahdaily


KUALA LUMPUR: “Sebenarnya, kenapa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak takut hendak menggunakan celup dakwat?” tanya AJK PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Katanya, hanya orang salah sahaja yang takut menggunakan celup dakwat yang terbukti ekonomik dan telus untuk mengatasi penipuan.

“Perlu diingatkan kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib dan SPR, zaman hendak menipu rakyat sudah berlalu,” katanya.

Baginya, Najib cuba hendak mengalih isu konon pembangkang akan tolak apa sahaja yang kerajaan buat.

Tambahnya, ini dengan andaian jika kerajaan perkenal celup jari maka pembangkang akan tuntut biometrik.

Ini, ujarnya satu tuduhan yang liar dan cuba mengalih isu yang sebenar kerana penipuan perjalanan pilihan raya semakin terserlah.

Beliau beberapa keraguan penggunaan biometrik, antaranya penggunaan biometrik bukan boleh menyelesaikan masalah pengundian dua kali, ia hanya hendak mengesahkan kad itu palsu atau tidak.

Ini, tegasnya bukan isu dan tuntutan Bersih.

“Apakah data di Jabatan Pendaftaran Negara dan SPR telah dibersihkan? Berapa ribu orang yang sudah mati masih ada di dalam daftar pemilih?” soalnya.

Apabila ditanya kepada SPR, katanya mereka menjawab kerana waris tidak memberi surat mati menyebabkan nama di dalam daftar masih ada.

Jika zaman kecanggihan IT, SPR gagal untuk online dengan Jabatan Pendaftaran Negara, tanya beliau apa yang hendak diharapkan senarai pemilih yang bersih.

Beliau juga mempersoalkan apa jaminan sistem biometrik yang boleh dionline serentak dengan Jabatan Pendaftaran Negara pada hari pilihan raya.

“Adakah kemampuan, pengkalan data dapat berfungsi dengan baik?” tanya beliau lagi.

Katanya, cuba bayangkan sekarang guru-guru Kementerian Pelajaran Malaysia yang sibuk untuk isi markah secara online mengalami masalah kerana kelembapan server kementerian sedangkan bilangan guru lebih 500 ribu sahaja.

Justeru, ujarnya cuba bayangkan bagaimana fungsi biometrik untuk hendak menampung keperluan pada hari pilihan raya yang hampir 10 juta pengundi.

Beliau menambah, ada setengah jari tidak boleh dikesan melalui alat tersebut.

Soalnya, apakah itu bukan satu penganiayaan kepada rakyat yang berhak untuk mengundi.

Menurutnya, mereka akan dinafikan hak kerana alat tersebut tidak boleh diakses di jari mereka.

“Apakah mampu biometrik digunakan di kawasan pedalaman terutama Sabah dan Sarawak yang masih tidak ada kelengkapan elektrik?” tanya beliau lagi.

"Inilah kuasa rakyat" - Dr. Jeyakumar

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr. D Jeyakumar menyifatkan pembebasan beliau bersama lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) dari tahanan Ordinan Darurat (EO) sebagai kuasa rakyat.

Beliau berkata demikian sewaktu disambut ahli-ahli PSM dan aktivis di perkarangan Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur Selangor (KLSCAH) malam ini.

“Terima kasih semua. Jika tidak kerana anda semua, kami masih di dalam. Ini kuasa rakyat. Bukan kerana polis yang membebaskan kami,” katanya.

Beliau merupakan bekas tahanan pertama tiba di KLSCAH, kira-kira jam 8.15 malam selepas dibebaskan di balai polis Jinjang kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Beliau yang tiba dengan kenderaan yang diapndu peguam, Edmund Bond disambut dengan laungan ‘Hidup-hidup, Hidup Rakyat.’

Lebih 50 orang aktivis PSM, parti politik dan NGO menunggu di KLSCAH sejak petang tadi bagi menyambut keenam-enam mereka yang ditahan sejak 28 hari yang lalu.

Kira-kira jam 8.45 malam, kesemua mereka iaitu setiausaha bahagian PSM Sungai Siput, AP Letchumanan, anggota jawatankuasa pusat, Choo Chon Kai, M. Sukumaran, timbalan pengerusi PSM, M Sarasvathy, dan pemimpin pemuda, R Sarat Babu tiba di sana dan disambut dengan penuh kegembiraan.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar turut menyambut pembebasan EO6 dan menyeru hadirin supaya meneruskan perjuangan untuk menghapuskan Ordinan Darurat.

“Kita perlu pastikan institusi dalam negara tidak blagi diperkotak-katikkan oleh kerajaaan yang mahu memerintah selama-lamanya,” kata Nurul Izzah.

Turut berada di KLSCAH adalah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga.

Keadaan di dalam dewan penuh dan di luar dewan, vigil terus diadakan bagi memperingati Teoh Beng Hock dan Ahmad Sarbaini yang meninggal dunia sewaktu dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiap hari sejak penahanan mereka, acara nyalaan lilin dijalankan di pintu masuk di lokasi tertentu termasuk pintu depan Bukit Aman manakala Dr Jeyakumar melancarkan mogok lapar semalam sebagai protes terhadap penahanan tidak sah itu.