HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

Tahanan EO sakit jantung, dipaksa tandatangan dokumen soal siasat

KEADILAN DAILY

KUALA LUMPUR: Parti Sosialis Malaysia (PSM) membantah tindakan polis memaksa ahlinya yang ditahan dibawah Ordinan Darurat (EO) menandatangani dokumen soal siasat, ketika berada dalam keadaan sakit jantung.

Timbalan Pengerusi PSM, M Sarasvathy turut mengadu kepada keluarganya yang dia dipaksa menandatangani dokumen setebal 62 muka surat tanpa memahami isi kandungannya.

“Tindakan ini tidak sah. Sekiranya beliau dikehendaki menandatangani sebarang dokumen ia harus dilakukan di hadapan peguam,” kata Setiausaha Agung PSM, S Arutchelvan.

Menurut Arul, Sarasvathy dimasukkan ke hospital pada 17 hingga 19 Julai lalu akibat serangan jantung, selepas mengadu mengalami sakit dada dan tidak dapat tidur.

“Beliau diberikan ubat Cardioprin dan mendapati apabila memakan ubat ini mengakibatkan sakit kepala dan sakit perut,” jelas Arul.

Ketika itulah katanya, Sarasvathy diberikan dokumen soal siasat tersebut, dan dipaksa menandatanganinya.

“Kini beliau (Sarasvathy) khuatir dengan implikasi tindakan itu. Dia tidak dapat memahami apa yang terkandung dalam dokumen itu kerana berada dalam keadaan sakit,” kata Arul.

Justeru beliau berkata satu laporan polis dibuat pada 27 Julai 2011 di Balai Polis Dang Wangi bagi menuntut siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

Sarasvathy adalah antara enam individu yang ditangkap di bawah EO pada 2 Julai lalu. Selain beliau, lima lagi yang ditahan ialah Ahli Parlimen Sungai Siput,Dr D Michael Jeyakumar, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan Ketua Pemudanya, Sarat Babu.

Mereka bersama 24 yang lain ditahan di Tangkak Johor semasa program ‘Udah lah..bersaralah’, menjelang himpunan Bersih pada 9 Julai lalu.

Tiada ulasan: