PETALING JAYA : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menayangkan klip video yang menunjukkan dengan jelas bagaimana polis bertindak dengan niat mendatangkan kecederaan kepada peserta himpunan aman Bersih 2.0 di KL Sentral, 9 Julai lalu.
Ia memperlihatkan bagaimana tembakan dilepaskan tanpa provokasi peserta demonstrasi seperti yang didakwa polis sebelum ini.
Bahkan, klip video itu dengan jelas memaparkan Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid mengarahkan anggotanya mensasarkan tembakan gas pemedih mata ke arah peserta, meskipun dalam keadaan mereka telah dikepung.
Beliau juga dilaporkan tidak memberikan sebarang amaran sebelum melepaskan tembakan tersebut.
Bercakap ketika menayangkan video berkenaan di ibu pejabat PKR, naib presiden parti itu, N Surendran berkata, dalam video ini jelas menunjukkan bagaimana arahan diberikan oleh Wan Abdul Bari supaya tembakan disasarkan kepada peserta himpunan.
"Sebelum tembakan disasarkan, terdapat arahan daripada pegawai bertugas kepada FRU yang mengarahkan tembakan gas dilepaskan 'ke bawah, bawah, bawah'. Mengikut prosedur polis tembakan seharusnya dilepaskan ke atas dan tidak menghala kepada orang awam untuk menyuraikan mereka."
"Wan Bari juga mengeluarkan arahan 'reporter tepi, kalau tak nak kena, jadi mereka memang mempunyai niat untuk menembak,"kata beliau.
Oleh itu menurut Surendran, tindakan polis itu boleh diklasifikasikan sebagai cubaan membunuh dan menyalahi prosedur operasi standard yang dibenarkan, sebaliknya polis sepatutnya melepaskan tembakan pada paras 45 darjah ke arah ruang udara dan bukannya menembak tepat pada sasaran.
Justeru, Surendran berkata, Pakatan Rakyat menolak sepenuhnya kenyataan polis sebelum ini bahawa anggota keselamatan itu hanya menggunakan keganasan paling minimum dalam meleraikan himpunan aman tersebut.
Bersama-sama beliau semasa sesi menayangkan video tersebut ialah ahli parlimen Subang, Sivarasa Rasiah dan anggota Lawyers for Liberty Fadiah Nadwa Fikri.
Video yang ditayangkan ialah hasil rakaman Free Malaysia Today dan TV Selangor yang menyanggah sama sekali kenyataan polis sebelum ini.
Mengulas lanjut mengenai kejadian di KL Sentral, Surendran turut menggesa polis bagi menyiasat niat disebalik arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Brickfields dan bagaimana tembakan masih dilepaskan meskipun ahli parlimen Batu Tian Chua dan peserta yang lain telah bertempiaran lari.
"Kami juga mahu polis menyiasat tujuan arahan yang dikeluarkan 'bawah, bawah, bawah yang boleh menyebabkan kecederaan kepada peserta. Arahan yang dikeluarkan secara jelas telah melanggar undang-undang.
"Jadi pihak polis telah memutar-belitkan fakta dengan memberitahu punca tembakan dilepaskan adalah kerana Tian Chua dan peserta demonstrasi telah melakukan provokasi adalah pembohongan semata-mata. Video yang kami tunjukkan adalah jelas dari segi 'time-line' bagaimana tiada provokasi berlaku,"katanya lagi.
KL Sentral merupakan antara lokasi menjadi fokus pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat berhimpun sebelum cuba bergerak ke kawasan Stadium Merdeka.
Khamis lalu, Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Salleh Mat Rashid berkata, enam pasukan penyiasat polis telah menjalankan siasatan mereka berhubung dakwaan tindakan keras yang digunakan untuk menangani perhimpunan 9 Julai dan tidak menggunakan kekerasan ketika menangani perhimpunan Bersih 2.0.
Namun apa yang digambarkan jelas bertentangan dengan kisah sebenar.
Selain puluhan orang awam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pembantu peribadinya,Fayyadh Afiq Albakqry, ahli parlimen Shah Alam, Khalid Samad dan Ketua Cabang Klang, Yew Boon turut mengalami kecederaan.
Fayyadh patah tulang pipinya manakala Yew pula mengalami luka kecil di bahagian pipi kirinya terkena kanister gas pemedih mata.
Malah paling menyedihkan, seorang peserta himpunan aman, Baharuddin Ahmad meninggal dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan