KELAB GREENBOC
Politik Malaysia Belum Matang
SHAH ALAM : Kematangan politik di negara ini masih pada tahap rendah sebagaimana yang dizahirkan dengan keengganan pemerintah bekerjasama dengan pembangkang untuk menuntut sistem pilihan raya yang telus dan adil, menurut Pengerusi Bersih, Datuk S. Ambiga.
Ambiga berkata usaha Bersih untuk menggembeling suara pemerintah dan pembangkang dalam menzahirkan hasrat rakyat yang mahukan proses pilihanraya lebih baik tidak berjaya apabila Barisan Nasional enggan memberikan kerjasama.
Parti pemerintah dan aparatus kerajaan seterusnya menyelar Bersih sebagai pertubuhan haram dan alat pembangkang untuk menggulingkan BN menerusi demostrasi jalanan.
"Kita jemput semua parti politik dan kerajaan sedia (supaya) menjadi pemangkin (pembaharuan) tetapi hanya pembangkang tampil dan sokong, selain pertubuhan bukan kerajaan dan rakyat Malaysia. Adakah ini kerana kita tidak cukup matang untuk berkerjasama dengan pembangkang untuk reformasi pilihan raya," ujar beliau.
Ambiga yang dijemput khas oleh Sinar Harian disamping Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar dan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berbincang mengenai halatuju sistem pilihan raya di negara ini.
Forum bertajuk "Apa Selepas 9 Julai" antara lain membincangkan secara terbuka isu lapan tuntutan Bersih 2.0 selain cadangan pelaksanaan biometrik oleh SPR.
Ambiga seterusnya mengecam SPR kerana enggan berunding dengan gabungan Bersih 2.0 atas alasan gabungan itu mendapat kerjasama pihak pembangkang.
"SPR tidak patut cakap tidak mahu bincang dengan Bersih sebab kerjasama dengan pembangkang. SPR sepatutnya melangkaui parti-parti politik," ujar beliau.
Sebelum itu Wan Ahmad yang dihujani pelbagai soalan daripada bersabit sikap pasif SPR menangani salah laku pilihan raya.
Beliau sering memberi jawapan bahawa kuasa SPR terbatas untuk meminda peruntukan undang-undang sedia ada mahupun mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan.
Mengulas jawapan Timbalan Pengerusi SPR itu, Ambiga berkata badan itu mempunyai kuasa untuk menubuhkan pasukan penguatkuasa yang dipertanggungjawabkan membuat laporan tentang mana-mana pihak yang didapati melanggar akta pilihan raya.
Ambiga merujuk kepada beberapa bukti salah laku yang dikesan pada Pilihan Raya Negeri Sarawak yang lalu, namun tidak diambil tindakan oleh SPR.
"SPR sepatutnya ke hadapan untuk menasihati kerajaan. SPR perlu mengemukakan kepada orang awam tentang apa yang dicadangkan dan kita akan sokong cadangan itu," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan