HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

Buktikan Wahabi Itu Fahaman Pengganas - JIM

Ditulis oleh Hadri Yaziz


SHAH ALAM : Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) berpendirian ulamak tidak seharusnya dikaitkan dengan mana- mana fahaman terutamanya isu pengganas.

Justeru pengerusinya, Zaib Kamaruddin menegaskan Majlis Keselamatan Negara (MKN) perlu bertanggungjawab menjawab dan membuktikan penglibatan kesemua individu yang disenaraikan berpotensi menjadi pengganas, seperti yang didakwa.

Beliau yang dihubungi Tv Selangor berkata Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM) yang membangkitkan isu tersebut, sejak awal tahun lalu harus menjelaskan kepada masyarakat tentang kesan fahaman itu samada dari sudut Feqah atau institusi gerakan.

Ini kerana menurut beliau Wahabi ternyata bukan sebuah pertubuhan yang didaftar di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS) seperti Al-Maunah dan Jemaah Islamiah (JI) yang dikaitkan dengan pengganas.

Namun jelas beliau sekiranya sesetengah pihak menganggap fahaman Wahabi bertentangan dengan pegangan As-Sunnah Wal-Jamaah maka ianya perlu dibincangkan di peringkat tertinggi sebelum bertindak 'melabel' mana- mana individu.

"Kalau misalnya dikatakan individu tersebut mempunyai ciri-ciri (Wahabi) sedemikian, kita perlu melihat adakah ianya salah atau bertentangan dengan Islam.

"Jadi saya mendapati masalah label begini digunakan dengan bebas tanpa (disiasat) betul-betul," kata beliau.

MKN dalam satu mesyuarat baru- baru ini dikatakan telah meminta agensi- agensi agama negeri dan para mufti memantau perkembangan fahaman Wahabi.

Antara individu yang disenaraikan untuk dipantau termasuk bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin, Mufti Perlis Dr Juanda Jaya dan 40 ulama muda yang menyertai Pemuda Umno tahun lalu.

Dr Juanda dalam kenyataannya kepada The Malaysian Insider hari ini menyifatkan ianya sebagai tuduhan liar selain menuntut penjelasan kerajaan mengenai perkata itu.

Katanya beliau sudah menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai perkembangan terbaru, namun masih belum mendapat sebarang respon.

Zaid kemudian berpendapat bahawa tuduhan yang dilemparkan kepada bekas mufti dan mufti Perlis itu tidak munasabah memandangkan kedua- dua mereka merupakan pemimpin agama yang dihormati selain menjalani kehidupan normal.

"Bagi saya tindakan yang tidak bertanggungjawab kalau kita melabel orang dengan sewenang-wenangnya.

Justeru beliau menggesa agar kerajaan benar- benar memastikan samada kesemua individu tersebut berpegang kepada amalan Wahabi kerana sekiranya tidak, maka ianya akan menimbulkan syak wasangka oleh masyarakat.

"Bagaimana boleh melabel Dr Asri atau Dr Juanda yang menjadi mufti sebagai Wahabi? Adakah mereka ini turut dikaitkan dengan terrorisma sedangkan kita tahu kehidupan mereka amat telus bagi saya," ujar beliau.

Ekstremis Islam dan pakar letupan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI), Nordin Mat Top antara individu yang pernah dikaitkan dengan ajaran Wahabi.

Beliau dipertanggunjawabkan terhadap serangan Hotel JW Marriot Jakarta (2003), Kedutaan Australia di Jakarta (2004), Bali (2005) dan Hotel Ritz Carlton (2009).

Nordin mati pada 17 September 2009 dalam satu serangan oleh pasukan polis Indonesia di Jawa Tengah.

Sehubungan dengan itu Zaid yang menganggap tuduhan yang dilemparkan kepada individu yang tersenaraikan adalah serius selain berisiko tinggi apatah lagi cuba dikaitkan dengan terrorisma.

"Langkah seterusnya perlu dipastikan samada mereka benar-benar Wahabi atau tidak. Jadi (perkara) akan bawa masalah dan menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat yang tidak sewajarnya dibebankan dengan perkara tersebut," ujar beliau lagi.

Tiada ulasan: