HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

Konsulat Malaysia tidak tahu laksana undi pos

Oleh: Ahmad Fadli


KUALA LUMPUR: Konsulat Malaysia di luar negeri mempunyai pengetahuan yang amat sedikit dalam cara mengendalikan undi pos membabitkan pengundi yang berada di luar negara, menurut satu culaan yang dijalankan MyOverseasVote (MOV).

MOV ditubuhkan untuk mengembalikan hak mengundi kepada hampir sejuta rakyat Malaysia yang dianggarkan menetap dan bekerja di luar Malaysia.


MOV mendedahkan, setiap 21 daripada konsulat yang dicula mempunyai peraturan yang berbeza untuk mendaftarkan pengundi dan mereka juga tidak dilengkapkan borang yang secukupnya untuk mendaftarkan pelajar luar negara sebagai pengundi pos.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hanya membenarkan pelajar sepenuh masa, pegawai kerajaan dan anggota pasukan keselamatan untuk mendaftar sebagai pengundi pos pada masa sekarang.

“Jawapan tentang butiran pendaftaran dan proses pengundian sebenar berbeza dari satu kedutaan/Pesuruhjaya Tinggi/konsulat dengan yang lain,”

“Paling teruk, staf konsulat mengakui mereka tidak tahu tentang undi pos dan menunggu arahan dari SPR dan juga Kementerian Luar Negeri,” kata MOV dalam kenyataan mereka.

MOV mendapati sesetengah kedutaan akan mengepos Borang A kepada pemohon undi pos dan ia perlu dikembalikan semula kepada kedutaan. Yang lain, seperti di Sydney mengarahkan agar borang itu dikembalikan terus kepada SPR.

Borang A adalah borang permohonan untuk mendaftar sebagai pemilih yang perlu diisi mana-mana rakyat Malaysia yang mendaftar sebagai
pengundi di pejabat pos di seluruh negara.

“Borang A untuk pengundi biasa dan pengundi pos boleh dimuat turun dari laman web SPR. Namun, sesetengah kedutaan tidak menerima borang itu sementara yang lain tidak tahu apa yang perlu dibuat dengannya,” kata MOV.

“SPR juga nampaknya tidak tegas mahupun konsisten dengan dengan cara untuk menyemak senarai pemilih yang meletakkan status mereka sebagai pelajar. Justeru, kami tidak yakin bahawa ‘keselamatan’ adalah alasan sebenar menghalang rakyat Malaysia yang bekerja atau bersara di luar negeri daripada mengundi.

“Semua rakyat Malaysia yang tinggal di seberang laut dan layak sebagai pengundi biasa sewajarnya layak untuk mengundi dengan undi pos,” kata MOV.

MOV kini giat menjalankan kempen untuk mengembalikan hak semua rakyat Malaysia di seberang laut untuk mengundi tanpa mengira pekerjaan mereka.

Mereka sedang berusaha untuk mencabar Peraturan Pilihan Raya 2002 (Pendaftaran Pengundi) yang dianggap bersikap diskriminasi kerana menetapkan hanya anggota pasukan keselamatan, pegawai kerajaan, pelajar dan pasangan mereka yang tinggal di luar negeri layak untuk mendaftar dan mengundi sebagai pengundi pos.

Tiada ulasan: