HALAMAN SANTAI

Khamis, 28 Julai 2011

PM: Kibar bendera tanda sanggup pertahan negara

Salhan K Ahmad

Perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata rakyat Malaysia perlu mengibarkan Jalur Gemilang bagi menunjukkan bahawa mereka sanggup mempertahankan negara daripada "orang yang berniat jahat."

Tanpa menyatakan individu yang dimaksudkan "berniat jahat" itu, Najib juga berkata ancaman yang perlu dihadapi pada masa kini bukan lagi penjajahan dalam bentuk ketenteraan.

NONESebaliknya, warga Malaysia kini lebih terdedah dengan ancaman "penjajahan minda dan jati diri," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya sebelum melancarkan program Kembara Merdeka Jalur Gemilang Ramadan 2011 di Kuala Lumpur petang ini.

Turut hadir dalam majlis yang diadakan di KL Sentral itu ialah timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, anggota jemaah menteri dan juga ketua setiausaha negara Tan Sri Sidek Hassan.

Dalam pada itu, Najib turut menyebut rasional mengenai empat prinsip yang diketengahkan dalam sambutan kemerdekaan tahun ini – perpaduan nasional, perjuangan untuk kepentingan negara, tumpuan kepada nilai keharmonian dan juga "keluhuran akal budi."

Turut diedarkan dalam majlis berkenaan ialah risalah berhubung demonstrasi – dipercayai berkaitan dengan kumpulan yang berhimpun di Kuala Lumpur pada 9 Julai lalu.

Risalah bertajuk "tolak kumpulan pengacau" itu juga menyebut, rakyat perlu menolak demonstrasi jalanan kerana ia merupakan "budaya asing yang tidak memperdulikan hak rakyat untuk hidup dengan tenang dan selesa."

Risalah yang diterbitkan oleh Jabatan Penerangan itu juga menyebut, rakyat perlu berwaspada dengan "elemen subversif" yang "akan menimbulkan kebencian rakyat terhadap pemerintah."

Bagaimanapun, risalah kecil setebal enam halaman itu turut menggariskan Perkara 10 dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung "kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuh persatuan."

Tiada ulasan: