HALAMAN SANTAI

Jumaat, 29 Julai 2011

Bersatu bela mangsa pencabulan hak asasi

Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Kumpulan Malaysia for Beng Hock (MFBH) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) menyeru setiap lapisan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama untuk bersama-sama menuntut keadilan dan menyokong perjuangan membela rakyat yang menjadi mangsa pencabulan hak asasi manusia.

Penyelaras MFBH, Chong Kok Siong dan Penyelaras Suaram, Yap Heng Lung dalam kenyataan bersama hari ini berkata, untuk rekod laporan Suruhanjaya Diraja untuk kes Teoh Beng Hock telah membuat kesimpulan bahawa kematian mendiang disebabkan membunuh diri.

Bagi mereka, laporan yang hanya mengambil kira faktor-faktor seperti jangka masa siasatan yang lama, faktor tidak diberikan makanan, siasatan (soalan) yang berulang-ulang serta faktor “paksaan” untuk memberi kenyataan adalah tidak boleh diterima.

Justeru, laporan tersebut telah dikecam bukan sahaja dari parti politik, masyarakat sivil malah mendapat kritikan daripada Majlis Peguam.

“Ibu kepada Teoh Beng Hock menyatakan bahawa Suruhanjaya Pencengah Rasuah Malaysia yang membawa Beng Hock untuk siasatan dan ditemui meninggal dunia di bangunan SPRM. Oleh itu, SPRM perlu bertanggungjawab sepernuhnya terhadap kes kematian mendiang Teoh Beng Hock,” kata mereka kepada Harakahdaily.

Secara jelasnya, kata mereka laporan Suruhanjaya Diraja hanya untuk menyebelahi SPRM dengan menutup fakta sebenar pembunuhan Beng Hock.

Menurut mereka juga, laporan yang mendapat kritikan tersebut bukan sahaja mengecewakan masyarakat Malaysia malah ia akan menyebabkan rakyat hilang kepercayaan terhadap institusi tersebut.

Ia juga, kata mereka sangat mengecewakan kerana laporan tersebut tidak dapat menemui dan menuntut keadilan bagi ahli keluarga mendiang.

“Dalam isu Akta Darurat (EO), kami juga membantah tindakan polis yang menggunakan Akta Darurat untuk menahan enam orang aktivis PSM,” tambah mereka.

Sehingga hari ini, polis masih tidak dapat menunjukkan bukti yang kukuh menunjukkan keenam-enam orang mempunyai niat untuk mengancam ketenteraman masyarakat.

Tambah mereka, tindakan menahan seseorang tanpa apa-apa kesalahan yang munasabah tidak boleh diterima oleh semua masyarakat malah ia merupakan satu tindakan pencabulan hak asasi manusia.

“Kami khuatir tentang keselamatan peribadi enam tahanan tersebut. Ini kerana kes-kes yang melibatkan kematian dalam tahanan polis serta faktor tahap kesihatan salah seorang tahanan, Dr. Jeyakumar dan status seorang lagi tahanan wanita, Saras Vathy amat membimbangkan.

“Justeru, kami sekali lagi menyeru rakyat Malaysia berdiri teguh, bersama-sama mendokong aspirasi bagi menuntut keadilan dan menunjukkan tanda protes dan tidak puas hati kita kepada pihak polis, SPRM dan kerajaan umumnya,” ujar mereka lagi.

MFBH dan Suaram akan menganjurkan vigil (candlelight vigil) bagi memperingati mendiang Teoh Beng Hock dan enam tahanan EO yang juga merupakan aktivis PSM pada jam 9 malam esok di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor.

Tiada ulasan: